"Kita pergi ke tempat sabung ayam", cadangan dan permintaan yang tidak pernah saya duga akan terucap dari mulut Najib. Saya berhenti melangkah. Secara mendadak sahaja saya membayangkan wajah datuk dan pesannya yang melarang saya pergi ke tempat menyabung ayam.
Kata datuk perbuatan manusia menyabung ayam adalah penyeksaan pada binatang. Allah melarang manusia menyeksa binatang dan dosa itu akan bertambah bila sabung ayam dijadikan judi. Mahu saya katakan perkara itu pada Najib. Entah mengapa, saya bagaikan tidak terdaya mahu meluahkan kata-kata itu.Saya bagaikan dipukau mengikut rentak langkah Najib. Kawasan sabung ayam itu bukannya dekat. Kami terpaksa naik bas menuju ke tempat yang bernama Air Terjun terletak dalam daerah Larut-Matang. Turun dari bas terpaksa jalan kaki meredah kawasan hutan yang berpaya kira-kira sebatu jauhnya.
Mungkin untuk kemudahan para penyabung ayam, kawasan yang berpaya itu dibina jalan kecil yang dibuat dari batang kayu bakau. Saya lebih suka menyebutnya sebagai titi atau jambatan tetapi Najib menyebutnya "Jati", kependekan dari atau gabungan dari nama Jalan dan Titi.Cuma orang-orang tertentu dan biasa berkunjung ke kawasan tersebut sahaja yang tahu mencari jalan rahsia itu. Dari gigi jalan raya, jalan kayu itu tidak akan dapat dilihat kerana dilindung oleh pepohon tebal. Di celah-celah rimbunan pepohon tersebut terdapat lorong kecil yang boleh dilalui oleh manusia, basikal dan motosikal.
Di penghujung lorong itu, terdapat kawasan lapang dengan beberapa buah bangsal yang dibina khas, beratapkan daun rumbia. Semua basikal dan motosikal orang yang mahu pergi ke tempat menyabung ayam ditinggalkan di situ. Bagi orang-orang yang datang dengan kereta, mereka menempatkan kereta di kawasan rumah orang yang terletak di sebelah kanan jalan raya, kira-kita dua rantai dari tempat kami turun dari bas.
Kerana jalan kayu bakau itu dicantum kan tiga dan kemudian diikat dengan akar kayu rotan, membolehkan orang yang berani dan keras semangat berbasikal atau bermotosikal di titi tersebut tetapi, jumlah orang yang berbuat demikian tidak ramai.
"Dalam paya ini banyak sawa rendam, ikan pun banyak", Najib memulakan cerita setelah sekian lama berdiam diri. Saya anggukkan kepala sambil melangkah dan memijak dengan hati-hati batang bakau beratur tiga.
Kawasan paya yang tidak berair, jadi tempat beburung dan biawak bermain. Ada ketikanya saya melihat ulat bergerak di kawasan tersebut. Semua yang saya lihat amat menyenangkan
serta menghiburkan. Najib yang kerap berkunjung ke tempat tersebut terus menceritakan keadaan sekitar pada saya dengan terperinci.Apa yang menakjubkan saya bila melihat bebunga teratai yang berkembang segar di pennukaan air. Kalau boleh saya mahu berhenti diatas titi kayu bakau untuk menikmati keindahan alam yang terpencil itu. Bila saya nyatakan hasrat tersebut itu pada Najib, dia segera membantah.
"Tak ada sesiapa yang dibenarkan berhenti?"
"Kenapa?", saya minta kepastian.
"Itu aku tak tahu, tetapi perkara itu sudah menjadi semacam syarat dan undang-undang. Tak ada seorang pun dibenarkan berhenti dalam perjalanan. Kalau ada melanggar, buruk padahnya. Penjelasan yang diberikan oleh Najib membuat saya ingin mengetahui padah yang akan terjadi. Sambil melangkah macam-macam yang saya fikirkan tentang padah buruk yang dikatakan oleh Najib.
"Apa padahnya Najib?", saya berhenti melangkah. Cepat-cepat Najib menolak tubuh saya supaya meneruskan perjalanan. Dari air mukanya, ternyata Najib tidak berkenan dengan tindakan yang saya lakukan.
"Apa padahnya, Najib?", saya mengulangi.
"Dipanah petir, dibaham harimau atau sebagainya", suara Najib tersangkut-sangkut. Langkahnya diperlahankan. Dia kelihatan bimbang dan seperti menyesal menjawab pertanyaan saya. Matanya merenung ke kawasan paya yang ada tanah dan ditumbuhi pepohon rendang.
"Kau tengok, Tamar", jari telunjuk Najib menunjuk ke arah pepohon rendang.
Saya terkejut, seekor ular sawa sebesar pemeluk bergerak di situ, menuju ke kawasan berpaya lalu berenang dalam paya. Perasaan saya jadi gementar, ular sawa itu menuju ke arah kami. Dan saya mula yakin tentang penunggu yang dikatakan oleh Najib.