Dalam irama pembacaan ayat-ayat suci itu, saya terdengar bunyi orang menumbuk padi dan berpantun.Terdengar kokok ayam dan hidung saya terbau nasi dan bau gulai. Saya dapati diri saya bagaikan berada di tengah-tengah sebuah perkampungan yang jumlah penghuninya bukan sedikit. Para penduduk sentiasa sibuk dan rajin berusaha. Taat pada perintah Allah. Semua yang saya rasakan itu tidak dapat saya lihat dengan mata kasar.
"Beberapa orang anak-anak cucu aku patah kaki dan tangan dan luka akibat perbuatan orang-orang yang kau ajak berjudi di sini", tambah Agam.
Sebaik sahaja Agam selesai bercakap terdengar suara budak-budak menangis menahan kesakitan.
"Kamu sihir aku", bantah Amjal Kamal.
"Tidak, kami makhluk Allah seperti kamu, kami minta sesuatu dari Allah", suara Agam lemah.
"Bohong", sergah Amjal Kamal.
"Ya, aku buktikan lihat sekarang", Agam meluruskan jari telunjuknya ke sebelah kanan.
"Ajaib sungguh", keluh saya dalam hati.
Najib tidak berkata apa-apa. Amjal Kamal bagaikan terpegun melihat apa yang wujud di depan matanya.
Semuanya terjadi tanpa diduga. Saya gosok kelopak mata dua tiga kali hingga terasa pedih. Bagaikan mimpi rasanya, melihat sebuah perkampungan yang besar, lengkap dengan masjid dan rumah yang bentuknya seperti rumah orang-orang Melayu, berdinding tepas dan beratapkan rumbia. Keliling kawasan rumah terdapat pokok pisang, cabai dan terung. Binatang ternakan seperti ayam, itik dan kerbau.
Para penghuni kampung tersebut, kebanyakannya berkulit cerah. Sama ada lelaki atau perempuan, bentuk tubuh mereka tetap besar dan tinggi. Sukar untuk mencari yang rendah. Pada hemat saya, rata-rata mereka berukuran sekitar lima kaki sepuluh inci atau lebih. Mereka nampak ramah sekali. Kanak-kanak yang berusia sekitar enam tahun, berkumpul di surau belajar membaca Quran. Mereka juga belajar hukum-hukum agama secara terperinci dari seorang lelaki yang berjubah hitam.
Hampir semua orang lelaki memakai jubah warna putih bersih, ada juga yang memakai serban dan songkok dibuat dari kain putih. Semua orang perempuan di perkampungan tersebut memakai mini telekung putih. Baju dan kain juga dari kain putih. Suasana sekitar kampung terasa damai. Semuanya kelihatan bersih, setiap halaman rumah sukar untuk mencari daun. Orang-orang tua duduk di anjung rumah membaca Quran atau berkasidah memuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat."Ini perkampungan, Islam", demikian hati kecil saya membuat kesimpulan. Saya segera bangun.
"Nak ke mana Tamar?" Najib terkejut.
"Aku nak masuk ke kampung tu, aku nak berkenalan dengan orang-orangnya", jelas saya.
"Jangan", Najib segera memaut tangan kanan saya.
"Kenapa?"
"Boleh jadi apa yang kita lihat tu, hanya bayangan saja. Kau mesti ingat kita berada dalam hutan. Dalam hutan begini macam-macam boleh jadi", Najib mengingatkan saya.
"Ah, aku nak pergi", saya membuat keputusan yang amat nekad. Saya cuba melangkah, tiba-tiba sahaja pangkal paha sebelah kanan saya terasa sakit. Kedua-dua belah bahu saya seperti dihempap dengan benda berat. Saya tidak terdaya berdiri dan terus jatuh. Apa yang saya alami, tidak mematahkan niat saya untuk pergi ke tempat tersebut. Makin berkobar-kobar semangat saya mahu pergi ke kampung tersebut, makin hebat sakit di pangkal paha kanan saya.
Bila saya membatalkan niat tersebut. Semua sakit yang saya deritai terus hilang. Perasaan saya terasa lapang dan lega. Jadi, saya mengambil keputusan melupakan terus hasrat yang bersarang dalam dada. Bila melihat saya pulih, Najib mengucapkan syukur pada Allah beberapa kali. Dia mengajak saya pulang. Ajakannya itu saya bantah terus, Najib terpaksa tunduk pada kemahuan saya.