Makhluk Aneh Di Dusun Durian

797 25 1
                                    


Waktu saya dan datuk berangkat ke Prai, nenek menghantar kami ke perhentian bas di pekan kecil. Nenek membekalkan buah tangan untuk keluarga Mat Prai, dua biji buah air serta beberapa bungkus tapai pulut. Buat saya dan datuk nenek bekalkan nasi lemak. Nenek tak suka kami makan di kedai yang belum pasti kebersihannya.

"Kami naik bas dari sini sampai Taiping saja," beritahu datuk kepada nenek.

"Dari Taiping ke Prai nak naik apa? Naik keretapi, bas atau teksi?" Nenek terus mendesak. Datuk kedutkan kening dan dahi.

"Kami nak naik teksi, biar cepat sampai ke Prai."

"Fasal berjalan, bukan main banyak duit awak," sindir nenek lalu disambut dengan ketawa oleh datuk. Saya cuma tumpang senyum sahaja. Alangkah bahagianya pasangan nenek dan datuk. Walaupun sudah tua, kemesraan dan kasih sayang mereka tetap segar.

Pekan kecil kami tinggalkan bersama doa restu daripada nenek. Tiga jam kemudian kami pun sampai di Prai, dari situ terus menuju ke rumah Mat Prai. Kami disambut dengan penuh mesra dan secara kebetulan pula, pada hari kami tiba itu Mat Prai mula mengambil cuti tahunannya selama seminggu.

"Memang tepat masanya. kami nak balik ke kampung di Balik Pulau. Sekarang musim durian. Ayah Alang boleh ikut kami. Lagipun Ayah Alang dah lama tak tengok keluarga di sini," Mat Prai yang berkulit hitam, anak jati Balik Pulau yang tinggal di Kampung Kongsi mengemukakan cadangan.

"Itu susah sikit Mat".

"Apa susahnya, semua tambang dan makan saya tanggung."

"Bukan fasal tu."

"Habis fasal apa?"

"Aku janji dengan Mak Alang kamu nak balik cepat," datuk berdalih. Saya agak kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh datuk itu. Kalau boleh saya mahu datuk menurut kata Mat Prai. Saya cukup berminat untuk pergi ke Balik Pulau. Sebuah daerah asing yang belum pernah saya jenguk.

"Tak mengapa, dia tahu kalau sudah pergi ke rumah saudara mara tentu makan masa lama. Lagipun di sana ada cerita baru," Mat Prai mula memujuk.

"Cerita apa Mat?"

"Saya dapat tahu ada cerita pelik di musim durian ni. Buah durian yang luruh malam hilang."

"Pelik apa, itu tandanya durian yang luruh dicuri orang," tingkah datuk lalu dia ketawa berdekah-dekah.

Dari gerak geri dan air muka Mat Prai, ternyata dia kurang senang dengan ketawa datuk luahkan.
Perlahan-lahan dia sandarkan tubuhnya ke dinding. Isterinya datang mengambil pinggan dan piring yang kosong. Sebenarnya, kami baru sahaja selesai makan tengah hari. Masakan yang disediakan oleh isteri Mat Prai memang menyelerakan. Tapi datuk makan sekadar untuk kenyang. Cuma saya sahaja yang bertambah.

"Begitulah, bila saya ceritakan semua orang ketawa, bila datang tengok dengan mata kepala sendiri, semuanya ternganga dan takut," ujar Mat Prai termengah-mengah, usia baru masuk empat puluh tahun. Ada tiga anak yang masih kecil.

Nampaknya, Mat Prai berusaha dengan sedaya upaya untuk memberikan keyakinan kepada diri datuk.

"Saya hampa juga bila Ayah Alang tak percaya," begitu hampa nada suara Mat Prai. Rasa kecewa terpamer di wajahnya. Sikapnya yang ditunjukan itu menimbulkan rasa simpati pada diri datuk.

"Kalau bukan dicuri orang, boleh jadi buah durian tu dimakan oleh harimau," kata datuk sambil renung muka Mat Prai. Cepat-cepat Mat Prai gelengkan kepala.

"Pelik juga, kalau tak dicuri, tak dimakan harimau, makhluk apa yang membahamnya?" Datuk kerutkan kening.

"Inilah yang menjadi masalahnya, Ayah Alang."

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 7)Where stories live. Discover now