Harimau Sembunyi Kuku

760 26 1
                                    


Buat seketika, tidak terucap sepatah kata dari kelopak bibir kami bertiga. Datuk memicit-micit pangkal pehanya, mungkin dia lenguh kerana terlalu lama duduk. Saya mengarahkan sepasang mata ke arah halaman rumah yang dipancar matahari. Hati bagai digeletek untuk mendengar penerangan selanjutnya tentang iman dari Uda Lamat.

"Tambah kopi lagi, Uda."

Datuk terus pegang teko lalu menuang kopi ke cawan Uda Lamat.
"Cukup, cukup," tahan Uda Lamat sambil memperkemaskan silanya Datuk berhenti menuang air kopi.

"Berborak begini sambil minum memang seronok," ujar datuk lalu menghirup air kopi. Uda Lamat angguk kepala sambil memandang ke aras saya.

"Apa macam Tamar, betul tak mereka tak ada iman?" tanya Uda Lamat. Saya jadi serba salah, sukar untuk memberikan penjelasan. Saya bukanlah orang yang pandai tentang agama.

"Entah, saya tak tahu," jawab saya spontan.

"Betul kau tak tahu?" Uda Lamat jegilkan biji mata ke arah saya. Perbuatannya itu membuat saya jadi serba salah. Apa yang buat saya terasa tidak kena belaka.

"Betul saya tak tahu, saya tak main-main," suara saya merendah. Memang terasa malu mengaku kebodohan sendiri di depan datuk dan Uda Lamat.

"Bagus, bercakap dengan jujur. Orang bodoh saja yang mengaku tahu terhadap perkara yang dia tidak tahu. Orang bijak tidak macam itu," ungkap Uda Lamat lalu menepuk bahu saya berkali-kali. Saya kembali bersemangat.

"Kamu memang budak yang bijak," sambung Uda Lamat memuji saya. Rasa megah datang ke dalam hati. Muka terasa kembang dan hati bertambah bangga. Saya mula berani angkat kepala. Berani tatap wajah datuk dan Uda Lamat.

Dua kali datuk batuk. Itu batuk pura-pura untuk menyindir saya, agar jangan mabuk kerana pujian. Sambil menghirup air kopi, Uda Lamat kemaskan sila.

"Kita percayakan Allah dan Rasul, ini adalah sebahagian dari rukun iman. Dan iman itu sendiri ertinya, kepercayaan yang terbit dari hati seseorang iaitu, mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa api yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah benar yang datangnya dari Allah Subhanahu Wataa’la," Uda Lamat angkat muka. Biji matanya tajam menyorot ke wajah saya.

Biasanya bila dia berkeadaan demikian, pasti mahu memulakan sebuah kuliah yang tidak dapat dijangka masanya sama ada panjang atau pendek.

"Maka," Uda Lamat tegakkan lutut kanan dan kepala lutut dijadikan tempat meletakkan telapak tangan, "ilmu yang dipelajari adalah untuk menyempurnakan pengenalan iman. Orang lelaki yang beriman dipanggil atau disebut Mukmin dan perempuan yang beriman disebut Mukminat," Uda Lamat telan air liur. Dia berhenti bercakap. Jejari tangan kanannya bergerak-gerak memukul lantai.

"Saya nak tambah sikit boleh tak?" Datuk angkat kepala. Renung muka Uda Lamat. Perlahan-lahan Uda Lamat mengangguk memberi jalan pada datuk.

"Iman dan Islam tak boleh diceraikan untuk mendapatkan kelepasan azab di hari akhirat nanti," kata datuk. Uda Lamat tegakkan ibu jari kanan. Lagi sekali dia anggukkan kepala, setuju dengan pendapat datuk.

Saya makin diamuk keresahan. Bila datuk dan Uda Lamat memulakan perdebatan semacam itu, ertinya saya harus duduk lama di sisi mereka. Saya terus berfikir apa yang patut saya lakukan untuk menjauhkan diri dari mereka.

"Kerana mereka tidak ada iman, semakin maju mereka bergerak mengikut arus kemodenan, semakin pincang masyarakat mereka jadi tidak tentu arah. Mereka kehilangan arah," itu hujah Uda Lamat, "mereka seperti mahu kembali ke zaman kuno," tambahnya seiring dengan senyum.

"Haa sebab itulah…," datuk angkat tangan kanan, matanya terbeliak,, "pakaian mereka tak tentu arah, berambut panjang, kalau menyanyi terjerit-jerit macam beruk kena belacan, tak payah nikah, jantan betina duduk sebilik, lahirkan anak haram, alasan mereka ini kebebasan dan ini kemajuan," sebaik sahaja datuk mengakhiri kata-kata tergambar kepuasan di wajahnya.
Hampir sahaja saya mahu ketawa melihat telatah datuk yang agak melucukan itu. Tetapi, nampaknya Uda Lamat sejalan dengan fikiran datuk. Buktinya yang paling nyata, dia sering sahaja anggukkan kepala dan mengharapkan datuk meluahkan buah fikiran selanjutnya. Datuk menggaru pangkal telinganya dua tiga kali. Mungkin otaknya berjalan memikirkan sesuatu.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 7)Where stories live. Discover now