Kura-kura Bermata Hijau

929 32 1
                                    


Mat Prai berhenti melangkah secara mengejut. Dia menoleh ke arah datuk dan saya dengan wajah yang pucat. Dia kelihatan berada di dalam
keadaan serba salah. Mat Prai seperti enggan meneruskan langkah, dia seperti mahu berpatah balik ke pondok durian. Badannya terus menggeletar seperti orang kena histeria.

"Kenapa Mat Prai," datuk segera menggoncangkan tubuhnya.

"Saya dah langgar pantang Ayah Alang."

"Nama orang itu tidak boleh disebut atau diberitahu pada orang, siapa yang langgar pantangnya boleh kena penyakit gila babi, ramai orang yang
menyebut namanya pada orang lain jatuh sakit.," sebaik sahaja selesai Mat Prai bercakap dia terus rebah atas rumput. Paling mengejutkan, bila Mat Prai terus baring atas rumput.
Dalam keadaan serba salah saya dongakkan muka ke langit melihat matahari yang memancar terang sedangkan awan putih bergerak tenang di dada langit. Angin bertiup menggugurkan dedaun kering. Datuk terus berusaha memberikan keyakinan pada Mat Prai bahawa apa yang dipercayainya itu adalah karut. Tetapi, Mat Prai tidak mudah mahu menerima apa yang datuk katakan itu.

"Aku nak tanya kamu satu perkara dalam dunia ini, baik di langit mahupun di bumi siapa yang berkuasa dan siapa pula yang menghidupkan dan mematikan manusia," datuk bertanya dengan lembut pada Mat Prai setelah semua usahanya yang dikemukakan pada Mat Prai sebentar ditolak mentah.

"Tentulah Allah yang maha besar," jawab Mat Prai penuh keyakinan. Dia terus duduk matanya menentang biji mata datuk.

"Kamu sudah tahu jawapannya, kalau sudah tahu kenapa kamu mesti takut dengannya. Percayalah dia tidak ada kuasa," datuk memberikan semangat.

"Tapi, ramai percaya dengannya," Mat Prai kelihatan maish ragu-ragu. Datuk terus gelengkan kepala sambil menarik nafas dalam-dalam.

Memang terlalu sukar untuknya memberikan semangat baru pada Mat Prai.

"Sekarang kamu sebut namanya berkali-kali, kamu maki dia. Aku nak tengok pantang larangnya berkesan atau tidak," datuk mendesak Mat Prai.

Cepat-cepat Mat Prai gelengkan kepala, mukanya bertambah pucat. Dan datuk terpaksa bertindak lebih tegas supaya Mat Prai mematuhi arahannya. Kali ini datuk tidak mahu meentang biji mata Mat Prai.

"Kamu nak ikut cakap aku atau aku tinggalkan kamu di sini. Biar aku balik ke kampung.

"Jangan, kerja Ayah Alang belum selesai lagi."

"Kalau kamu mahu aku selesaikan, dengar cakap aku."

"Baiklah Ayah Alang," ujar Mat Prai dan terus menyebut nama Suhaimi Keraba serta memaki hamunnya dengan semahu hati.

"Berhenti Mat, berhenti."

Mat Prai pun berhenti memaki hamun Suhaimi Keraba. Saya yang sudah tidak sanggup berdiri segera mencari tempat duduk. Sasaran saya
ialah batang buruk yang melintang di tepi denai.

"Sekarang kamu duduk diam," itu arahan datuk kepada Mat Prai. " Kita tunggu sampai sepuluh minit, kalau benar-benar orang yang pantang
namanya disebut itu berkuasa, dan boleh mendatangkan bala kepada kamu, tentu kamu mengalami sesuatu," sambung datuk sambil mengeluarkan jam saku dari bajunya.

"Nah kau tengok masanya," datuk menyerahkan jam saku kepada saya,

"sampai sepuluh minit beritahu aku." Saya segera patuh pada perintahnya itu.

Sepuluh minit sudah berlalu, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi pada diri Mat Prai. Saya pulangkan jam saku kepada datuk. Sebelum jam itu disumbatkan ke dalam poket. Datuk melihatnya sejenak untuk memastikan sama ada kiraan saya tepat atau sebaliknya.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 7)Where stories live. Discover now