Jamung Tengah Malam

682 30 2
                                    


Entah mengapa, Uda Lamat yang pendiam dengan usianya yang muda beberapa tahuin dari datuk, masih mahu bercakap dengan datuk.

Paling membosankan perkara yang dikaitkan ialah tentang diri saya. Datuk ternyata terpengaruh dengan pendapat Uda Lamat.

"Bukan lari sebarang lari, perkara macam ni pernah saya alami masa saya muda-muda dulu," Uda Lamat memperkemaskan silanya. Paha kanan diletakkan diatas peha kiri. Jejari kakinya bergerak- gerak.

"Di mana?"

"Di kampung saya, anak buah saya sendiri yang mengalaminya. Menurut bomoh masa itu, anak buah saya diresapi roh jahat. Fasal tu dia buat perkara tak senonoh," lanjut Uda Lamat.

"Kesudahannya macam mana?" Tanya Datuk lagi.

"Mati."

Datuk terkejut, biji matanya terbeliak.

"Dia masuk ke hutan cari harimau, bawa parang mahu tetak tengkuk harimau, kesudahannya leher anak buah saya itu dipatahkan oleh harimau, saya berharap perkara macam itu tidak akan jadi pada cucu awak."

"Saya juga harap perkara buruk tak akan terjadi," datuk garu pangkal dagu. Mereka berhenti bercakap. Tiba-tiba rasa cemas dan takut menguasai diri saya. Ada bermacam-macam suara datang ke lubang telinga saya.

"Apa yang saya suruh awak buat tadi, semuanya itu, petua yang dibuat oleh orang tua lelaki saya pada anak buah saya yang mengalami perkara yang saya sebutkan tadi," cukup teratur Uda Lamat mengungkapkan kata-kata. Dan saya mula faham, apa yang dilakukan oleh nenek pada saya di bilik mandi tadi, adalah petua dari Uda Lamat.

"Ya, petua ni kadang-kadang menjadi kadang-kadang tidak," datuk menyanggah. Saya lihat Uda Lamat anggukkan kepala.

"Memang betul cakap awak. Satu perkara yang pasti, setiap kerja mesti kita mulakan dengan Bismillah. Kerja petua juga dimulakan dengan Bismillah sambil hati mengharapkan Allah yang maha besar menghilangkan penyakit."

"Betul, betul," datuk angguk kepala.

Uda Lamat hirup kopi yang disediakan oleh nenek. Malam kian larut, suasana terasa sunyi. Sesekali terdengar bunyi suara burung jampuk dan jeritan tikus liar di bawah rumah. Kesunyian malam yang kian tua itu membekalkan rasa dingin yang keterlaluan. Tetapi, saya masih mahu bertahan untuk berada di anjung dalam keadaan berbaring. Hati kecil saya bagaikan dipaksa-paksa untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara Uda Lamat dan datuk.

Saya rasakan kemesraan yang diperlihatkan oleh Uda Lamat itu, adalah sesuatu yang baru. Lelaki tua berkulit hitam, berbadan tegap, berambut putih yang mengelilingi botak di tengah kepalanya itu, tidak pernah merelakan dirinya menghabiskan masa malamnya di rumah orang. Biasanya, dia merasa bahagia menghabiskan waktu malamnya dengan salah seorang isteri mudanya. Semua orang tahu Uda Lamat ada empat isteri. Isteri pertamanya sudah berusia lebih dari lima puluh tahun.

Tetapi, tiga orang lagi isterinya, berusia sekitar tiga puluhan hingga empat puluhan. Ketiga-tiganya memiliki wajah yang menarik. Kekayaannya memiliki berekar-ekar tanah sawah dan kebun getah memberi peluang padanya mempunyai isteri muda. Satu keistimewaan Uda Lamat, tiga orang isteri mudanya cacat anggota, ada yang berjalan tempang, tangan kudung dan bisu. Satu hal yang pasti mereka memiliki raut wajah yang ayu.

Kata orang, Uda Lamat kahwin bukan kerana nafsu tetapi lebih banyak didorong oleh rasa simpati mahu menolong sesama insan yang cacat. Inilah yang membuatkan orang kampung mengkagumi dan menghormati Uda Lamat. Dan Uda Lamat pula tidak pernah merasakan dirinya besar kerana penghormatan itu. Malah, dia sendiri merasakan penghormatan itu tidak pernah wujud pada dirinya.

Jam di dinding rumah berbunyi dua belas kali. Satu teko kopi tanpa susu yang disediakan oleh nenek sudah habis diminum, sedangkan saya sudah dua kali terlelap. Bualan datuk dengan Uda Lamat kian mengendur. Tidak serancak tadi. Uda Lamat sudah beberapa kali menguap panjang.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 7)Where stories live. Discover now