Rahsia Sebuah Rumah Tinggal

797 30 0
                                    


Sejak kejadian itu, kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah. Lelaki India itu merasa amat kecewa dengan nasib malang yang menimpa dirinya. Akhirnya, lelaki India itu mengambil keputusan gantung diri dalam rumah hingga mati. Mulai dari tarikh itu, rumah yang sebuah itu terus kosong. Hanya anjing peliharaannya sahaja yang masih setia menunggu rumah.

Biasanya, kalau saya yang lalu di situ anjing peliharaan tidak menyalak atau mengejar saya. Mungkin anjing itu sudah biasa dengan bau badan saya.
Berdebar juga ketika melintas rumah kosong, maklumlah hari sudah samar-samar. matahari sudah berada di kaki langit. Pepohon getah yang rapat dan berdaun lebat membuat cuaca di jalan tanah merah yang saya lalui bertambah suram. Kalau saya ikut jalan raya (jalan jauh) saya tidak menghadapi masalah sesulit ini.

Angin yang bertiup terus menggerakkan dedaun dan reranting getah. Dedaun getah yang tua gugur ke bumi. Beberapa kali langkah saya terhenti, diganggu oleh monyet liar yang melompat di dahan getah. Saya kian mendekati rumah usang dan cara mendadak darah saya tersirap. Suara salakan anjing bertalu-talu membuat tubuh saya gementar.
Buah getah dan reranting getah berguguran, macam ada kuasa yang mengugurkan. Monyet-monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan macam dikejar sesuatu. Dedaun getah yang bergerak macam disentuh ribut mengeluarkan bunyi yang amat menggerunkan.

Dari celah-celah daun yang lebat itu, saya melihat ke dada langit. Awan nampak bersih, cahaya matahari sudah tidak kelihatan lagi. Saya cuba berlari tetapi, tidak terdaya saya lakukan. Sepasang lutut saya terasa cukup lemah.

Saya cuba bertenang dan cuba menguasai perasaan gementar supaya tidak bertambah kuat. Usaha saya itu berhasil, saya berjaya mengawal perasaan cemas dan takut. Akal fikiran saya mula terbuka, bersedia untuk bertindak untuk menghadapi sesuatu. Memang betul, cakap datuk yang pernah menasihatkan saya supaya bersikap tenang, gunakan fikiran, jangan panik bila berdepan dengan suasana yang mencemaskan.

Suara salakan anjing terus menguasai kawasan ladang. Saya sudah bersedia untuk melawan anjing-anjing tersebut, sekiranya saya diserang. Saya segera mengambil sepotong dahan getah yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Kayu itu tetap saya jadikan senjata untuk mempertahankan batang tubuh saya dari digigit oleh gigi anjing yang tajam itu. Lama saya menunggu, anjing-anjing yang dijangka menyerang saya itu tidak datang.

"Kenapa? Mesti ada sesuatu," bentak batin saya.

Seluruh pandangan saya tujukan ke arah pondok usang. Saya lihat dua ekor anjing menyalak ke arah rumah usang. Dua tiga ekor lagi megelilingi rumah tersebut. Biasanya, bila anjing menyalak mesti ada sesuatu. Anjing tidak akan menyalak tanpa sebab. Siapakah yang berada di dalam rumah usang waktu senja begini? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Rasa cemas kembali menguasai hati, bila saya terdengar bunyi suara gagak atas bumbung rumah tersebut. Serentak dengan itu saya terihat pintu rumah usang yang tertutup rapat, terbuka perlahan-lahan. Saya juga melihat cahaya lampu minyak tanah. Ada bebayang manusia bergerak dalam rumah. Saya terhidu bau tembakau rokok.

Bila saya amat-amati ternyata bau tersebut datang dari arah rumah usang. Dua kali saya terdengar suara orang batuk dan dituruti dengan suara orang bercakap. Saya pasti yang bercakap itu seorang lelaki Melayu dan seorang lagi lelaki India. Mereka bercakap tentang masalah kewangan.

Beberapa ekor anjing meluru ke arah saya. Kayu di tangan saya pegang erat-erat dan bersedia untuk dihayunkan ke arah anjing-anjing tersebut. apa yang mengejutkan, bila anjing-anjing itu berada dalam jarak yang dekat dengan saya, terus berhenti menyalak, seolah-olah memperlihatkan sikap persahabatan. Semua anjing-anjing itu menggoyang-goyangkan ekor sambil mengelilingi saya.

Salah seekor dari anjing tersebut yang berwarna kuning, berbadan besar dan tegap, berlari berulangkali ke arah rumah usang sambil berbunyi. Kemudian datang kearah saya. Tiga kali saya biarkan anjjing itu berbuat demikian, hingga timbul dalam hati saya yang anjing tersebut mahu menyatakan sesuatu tentang apa yang ada di dalam rumah usang.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 7)Where stories live. Discover now