Ilmu Suhaimi Keraba

677 26 2
                                    


Saya dan datuk terpaksa mengubah haluan jalan. Kami terus ke kawasan kebun getah. Keadaannya cukup bersih tidak sesemak dusun durian Mat Prai. Di celah-celah nirai getah itu di tanam dengan pokok koko yang tingginya baru separas lutut orang tua. Melihat keadaan kebun getah tersebut, saya yakin pemiliknya adalah seorang yang cukup rajin.

"Bila tengok pokok-pokok getah ni, teringat pula aku dengan kebun getah kita," datuk bersuara. Saya segera anggukkan kepala.

"Hati-hati Tamar, ular kapak bodoh suka duduk di bawah daun kering," datuk mengingatkan saya yang melangkah tanpa mahu merenung ke arah permukaan bumi.

"Macam mana rupanya ular kapak bodoh tu tuk?".

"Warnanya macam daun getah kering, dia selalu duduk berlingkar di bawah timbunan daun getah, tersepak atau terpijak dia terus mematuk."

"Bisakah patukannya tuk?".

"Boleh membawa maut, kalau tak maut boleh jadi tokak," jelas datuk sambil melihat pucuk-pucuk koko yang menghijau dan melintuk-liuk disentuh angin. Kami terus melangkah sambil menikmati nyanyian burung-burung pagi di reranting getah.

"Aku sudah memberikan kamu petua berjalan di tempat-tempat semacam ini. Aku juga sudah memberikan doa bila berjumpa dengan binatang berbisa. Kenapa tidak kau amalkan," mendadak sahaja datuk bersuara. Saya tahu, dari nada suaranya itu ternyata ada rasa kesal bermain dalam diri datuk.

"Kadang-kadang saya jadi lupa."

"Bukan lupa, kamu tak bertanggungjawab, tidak tahu memanfaatkan benda berharga yang diberikan kepada kamu," kali ini suara datuk cukup tinggi. Saya jeling wajahnya. Dari air mukanya ternyata dia sedang marah. Saya terus membisu.

"Jangan melangkah Tamar, diam di situ jangan bergerak, kalau bergerak mati," kata datuk separuh menjerit. Saya patuh dengan cakapnya. Badan saya mengeletar, seekor ular melintas di depan saya. Bila ular tedung hilang dari pandangan barulah saya melangkah kembali. Datuk berhenti dekat sebatang pokok getah di bucu nirai. Datuk membelek-belek kulit pohon getah itu dengan teliti.

"Nampaknya pokok-pokok getah ini masih muda, kulitnya lembut. Setahun dua lagi baru boleh ditoreh," datuk memberikan komentar.

"Saya rasa pun macam tu juga. Umurnya tak jauh beza dengan pokok getah kita."

"Ya," datuk menggangguk.

Kami meneruskan perjalanan dan saya berharap datuk tidak akan melencong ke mana-mana. Saya mahu segera sampai ke pondok.

Sambil melangkah saya membayangkan yang Mat Prai sedang membuat kopi untuk kami. Saya juga membayangkan yang isterinya menghantar nasi lemak atau kuih ke pondok untuk habuan perut saya. Saya tersenyum sendirian, bila saya gambarkan dalam kepala yang kami bertiga sedang menikmati sarapan pagi dengan wajah yang tenang.

"Oooppp..."

Datuk melompat tinggi melepasi kepala saya. Bila berdiri tegak saya lihat tangan kanannya ada dahan getah. Datuk mencampakkan dahan itu ke pangkal pokok getah.

"Nasib baik aku terdengar bunyinya masa dahan itu masih ada di atas. Aku melompat menyambarnya, kalau aku lambat dah tentu dahan patah menimpa tengkuk kamu. Tengkuk kamu boleh patah Tamar," datuk melepaskan nafas tercungap-cungap, mukanya nampak merah padam.

"Terima kasih tuk."

"Aku tak mahu semuanya tu, Tamar. Apa yang aku mahu, kamu mesti pandai mendengar sesuatu dari setiap arah. Tidak kira sama ada sesuatu itu digerakkan angin, air dan manusia.

"Macam mana caranya tuk."

"Sekarang ini, kamu mempelajarinya dari aku secara tidak langsung."

"Sulit," saya mengeluh.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 7)Where stories live. Discover now