Muncul dan Hilang Sekelip Mata

750 36 0
                                    


Din Tarzan tunduk merenung bumi " Awak rompak saya dekat Changkat Jering." Tambah Wak Juno.

"Ya," tidak diduga Din Tarzan yang gagah dan bongkak membuat pengakuan secara terbuka.

"Kau nak duit lagi, nanti saya beri, jangan kacau saya nak cari rezeki cara halal, berapa banyak yang awak mahu?" Muka Wak Juno pucat.

"Saya tak mahu semuanya tu, saya nak minta maaf pada awak tentang perangai saya yang lalu."

"Saya sudah maafkan, saya halalkan wang yang awak rompak dari saya tu."

"Ha...", Din Tarzan terkejut lalu memeluk tubuh Wak Juno. Kemudian Din Tarzan menangis, meraung dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menarik perhatian orang ramai. Kejadian yang menyayat perasaan itu berlaku sekitar lima minit. Orang ramai terpegun dan tidak berkata apa-apa.

"Lupakan perkara yang lalu, bila kamu datang jumpa aku minta maaf, ertinya kamu berusaha untuk membetulkan kesilapan kamu lalu, perbuatan kamu ini semua digerakkan oleh Allah, ini menandakan Allah masih sayangkan kamu," Wak Juno cuba menenangkan perasaan Din Tarzan.

Pertama kali, saya dengar Din Tarzan mengucap dua kalimah syahdat dan menyebut nama Allah berkali-kali.

"Saya sekarang mahu jumpa semua orang yang saya aniaya, saya nak minta maaf." jelas Din Tarzan.

Din Tarzan juga memberitahu pada orang ramai yang berada di situ bahawa sejak akhir-akhir ini, bila sampai waktu sembahyang, dia sering dikunjungi oleh seorang lelaki tua yang mendesak dirinya supaya menunaikan sembahyang dengan segera. Kalau dia berlengah-lengah, orang tua itu akan memukul tubuhnya dengan rotan.

"Pukul satu, pukul tiga pagi dia mengejutkan saya dari tidur, suruh saya bertaubah, dia suruh saya minta ampun pada orang-orang yang saya aniaya," kata Din Tarzan sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

"Kau kenal orangnya?" Tanya saya.

"Tak kenal."

"Tak apalah, apa yang penting orang itu mengajar kamu supaya menjadi manusia yang baik," Wak Juno bersuara lembut. Din Tarzan tunduk merenung tanah.

"Orang yang Wak bawa ke hospital dulu, sudah mati." Din Tarzan membuka rahsia. Saya dan Wak Juno terkejut besar.

"Mana kamu tahu?" soal saya.

"Orang tua itu beritahu saya, katanya dia membawa Amjal Kamal ke masjid untuk sembahyang. Amjal tak mahu malah dia lari ke arah Bukit Larut, masuk dalam hutan di situ terus berlari-lari di celah-celah batu, akhirnya jatuh ke dalam gaung." lanjut Din Tarzan. Saya menarik nafas panjang.

Din Tarzan minta maaf untuk kali yang kedua pada Wak Juno. Dia tetap melahirkan hasratnya untuk mencari orang-orang yang pernah dianiayanya untuk memohon maaf. Din Tarzan bersedia menerima sebarang risiko. Rela dituduh atau dimaki hamun.

Saya membatalkan niat saya untuk menemui Najib. Wak Juno saya tinggalkan dan terus kembali ke rumah. Fikiran saya masih berlegar-legar tentang apa yang diceritakan oleh Wak Juno dan Din Tarzan. Saya masih tertanya-tanya apakah orang tua yang ditemui oleh Wak Juno dan Din Tarzan adalah orang tua yang sama. Mungkin orang tua yang mereka temui itu juga orang tua yang saya jumpai. Semuanya berlegar-legar dalam kepala saya.

Saya terus termenung di pangkal pokok manggis. Jaraknya dari rumah kira-kira tiga rantai sahaja. Tempurung kepala masih digayuti persoalan tentang orang tua yang dikisahkan oleh Wak Juno sebentar tadi.

Timbul pertanyaan dalam diri, kenapa kejadian yang tidak masuk di akal, harus terjadi pada saya? Dalam usaha mencari jawapan pertanyaan tersebut, tanpa diduga Agam muncul di depan saya. Dari arah mana dia muncul, sukar untuk dipastikan. Agam hulurkan tangan. Segara saya sambut.

Siri Bercakap Dengan Jin (JILID 7)Where stories live. Discover now