Prolog 1
JASAD itu tersandar di kerusi dengan darah mengucur dari lubang di dahinya. Masih segar menguarkan bau menyengat seperti logam ke udara, tanda baru sahaja ditembak. Raid segera mundur bersama makian perlahan. Namun darahnya tiba-tiba berderau dan menyedari ada bahaya menanti di belakangnya.
Sepantas kilat Raid memutar badan dengan siaga. Tapi pandangannya bertemu dengan seorang lelaki yang sedang mengacukan pistol dilengkapi modulator bunyi 9mm ke arahnya. Tindakan refleks, Raid berundur setapak namun ekspresi wajahnya masih tetap tenang.
"Raid Arjuna... Lama tak jumpa," sapa seorang lelaki bersama pandangan sinis.
Raid tetap mematung dengan wajah sama sekali tidak memperlihatkan adanya emosi. Dia tidak mengenali lelaki itu tapi segera menyedari sesuatu. Lalu dia terus mendiamkan diri apabila dua orang lelaki berpakaian preman keluar dari pintu di sebelah kanan ruang pejabat. Seorang botak, seorang lagi berbadan besar bak Badang. Akur arahan menerusi mata lelaki itu, mereka terus mencengkeramnya.
"Raid Arjuna yang malang! Jutawan kambing!" Lelaki berpistol itu mentertawakan ayatnya sendiri. "Jangan takut kami bukan nak bunuh kau. Cuma nak jadikan kau kambing hitam." Renungannya penuh ejekan.
Saat itu Raid sedar, dia dijebak. Patutlah lelaki itu lengkap bersarung tangan. Telinga Raid menangkap bunyi siren sayup-sayup di bawah sana. Tidak! Dia harus melepaskan diri. Secepatnya.
Ketika lelaki berpistol itu bergerak mendekati, dengan gerakan pantas, Raid melayangkan kaki kanannya ke arah tangan lelaki itu. Pistol terlepas dari tangannya dan terpelanting ke tepi. Tanpa buang-buang waktu, Raid mengayun kaki kiri membuatkan lelaki itu terjengkang jatuh bersama suara kesakitan.
Kelajuan serta kelincahan pergerakan Raid sangat mengejutkan dua lelaki yang memegangnya. Raid memutar kedua-dua belah lengannya serentak. Cengkeraman automatik terlepas. Sekarang ganti dia yang mencekal lengan mereka. Dengan kekuatan penuh, Raid melagakan kepala kedua-duanya. Berdetup bunyinya membuat mereka sempoyongan menjauh bersama erangan sambil memekupkan tangan ke kepala.
Kemudian, Raid meloncat, membuat tendangan tornado 360 darjah melibas kepala si botak. Darah tersembur dari mulut lelaki itu. Tidak sempat melolong pun, si botak roboh tidak sedarkan diri lagi.
Si Badang cuba menyerang pada saat Raid terpandang ketua mereka dalam keadaan merangkak, sudah berjaya mencapai pistol dan mengangkatnya dengan sebuah gerakan cepat. Bunyi berdecut-decut tertangkap di telinga Raid tepat ketika dia menarik Si Badang menjadi taming tubuhnya. Sebutir daripada peluru yang melesat nyaris menyambar cuping telinga Raid. Saat tubuh Si Badang mulai melemas, Raid tahu lelaki itu sudah putus nyawanya. Lalu Raid menolak Si Badang sebelum menendang keras bokongnya. Si Badang roboh, menghempap si ketua.
"Arghhh! Celaka kau, Raid!!!" Lelaki itu berteriak.
Secepatnya Raid bergegas keluar dari situ. Sambil berlari di lorong panjang bertingkap kaca, Raid mengeluarkan telefon bimbit lalu cuba menghubungi pemandunya. Panggilannya tidak bersahut.
Sudah tidak ada masa lagi, Raid menerjah pintu tangga kecemasan sambil menghubungi seseorang. Sebaik sahaja panggilannya bersahut, dia berseru.
"Masalah besar! Tolong balik secepat mungkin. Cari Isfan! Aku rasa polis dah cekup budak tu!" Raid memutuskan talian dan meloncat ke atas besi bulat selusur tangga beralaskan paha dan menggelosor turun.
Dia berhenti di tingkat lima kerana merasa senak di bahagian perut. Keningnya mengerut sambil tangan meraba. Terasa basah. Sejenak dia berkeluh. Mujur kemejanya biru gelap dan jasnya hitam pekat. Jas dibutangkan. Dia harus mengolah nafas, mengencangkan otot perut supaya pendarahan terkawal. Berlagak tenang, dia keluar dari situ. Terus berkejar menyertai beberapa orang yang berpapasan keluar masuk lif.
YOU ARE READING
RAID ARJUNA
Ficción GeneralTajuk: Raid Arjuna Penulis: Rose Harissa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-65-6 Muka Surat : 688 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018