Bab 9

980 26 0
                                    

PIHAK pengurusan hotel telah menghubungi polis dan paramedik sebaik sahaja Noah memaklumkan kematian mengejut Manaf. Kematian tiba-tiba itu tidak dianggap mencurigakan dan jasad Manaf telah selamat dibawa pergi oleh paramedik melalui lif perkhidmatan dan pintu belakang hotel. Segalanya dilakukan mengikut prosedur tanpa pengetahuan tetamu lain.

Namun, entah mendapat sumber daripada mana, para wartawan tiba-tiba muncul membanjiri lobi hotel ketika Noah dan Gambit mahu membawa Raid keluar dari situ.

"Encik Raid, betul ke maklumat yang kami dapat, peguam keluarga Encik Raid baru saja bunuh diri depan encik sebab tertekan dengan skandal-skandal kewangan dan saman yang menimpa Gilbert Group?"

"Siapa yang sebarkan benda mengarut tu?!" bentak Noah.

Raid menggigil dipeluk oleh Gambit yang wajahnya dipenuhi amarah, murka dan kesal. Laluan mereka tersekat oleh kerumunan wartawan. Cahaya dari kamera, sambar-menyambar, mikrofon dan alat perakam suara disua-suakan ke depan muka Raid yang pucat pasi.

"Kami semua menerima gambar mayat tu diusung keluar ikut pintu belakang hotel. Apa yang cuba disembunyikan?"

Suasana semakin kecoh dengan kemunculan Engku Mateen bersama seorang pegawai polis berpangkat tinggi, diiringi oleh beberapa pengawal peribadi. Tanpa menghiraukan serbuan wartawan, Engku Mateen meneruskan langkah mendekati Raid yang kelihatan longlai dalam pegangan Noah dan Gambit.

"Ayahanda nak bercakap dengan Raid." Nada Engku Mateen terdengar sedikit memerintah.

Lalu para pengawal peribadi segera berbaris di kiri dan kanan, mengiringi mereka beredar, meninggalkan wartawan-wartawan yang masih keras kepala mahukan sepatah dua kata.

Keributan yang berlaku memaksa campur tangan pihak polis. Serta-merta pihak pengurusan hotel mengeluarkan arahan melarang semua kakitangan hotel daripada mendedahkan butiran kematian, nombor bilik atau identiti kepada pihak media.

Dengan kehormatan yang dimiliki oleh Engku Mateen, pengurus hotel sendiri memimpin rombongan itu ke sebuah bilik seminar. Bagaimanapun Engku Mateen hanya mahu Raid dan pegawai polis itu sahaja yang masuk ke dalam.

Mahu tidak mahu, Noah dan Gambit terpaksa akur melepaskan Raid.

"Kenapa Raid tak menginap di rumah ayahanda saja?" soal Engku Mateen setelah Raid duduk bertentangan dengannya.

"Lepas tengok sikap pengecut kau di depan semua ahli lembaga pengarah, kau fikir aku sanggup menumpang di rumah kau?" balas Raid jengkel.

Sindiran tajam Raid menyengat hati Engku Mateen. Agak terperanjat bila Raid ber'aku-kau' dengannya. Jelas, Raid mula membencinya!

"Kenapa Encik Manaf datang jumpa Raid di sini? Dia ada beritahu Raid apa-apa ke?" tanya Engku Mateen.

Raid terdiam seketika. Akal sihat memintanya mengunci mulut biarpun dia menyedari pegawai polis yang duduk di sebelah Engku Mateen itu tidak lepas pandangan mengamatinya.

"Raid, dengar sini. Kami dah lama cari Manaf. Dah seminggu dia tak balik rumah. Bila pihak polis hubungi ayahanda, beritahu pasal Manaf mati di sini, sungguh ayahanda terkejut sebab Raid ada sekali. Jadi, ayahanda mohon, kalau ada apa-apa maklumat yang Manaf berikan kepada Raid, tolong beritahu ACP Hanif ni." Engku Mateen mengerling sekilas ke arah pegawai polis itu.

"Tak ada apa yang sempat dia beritahu!" tegas Raid cepat seraya merenung Engku Mateen dengan tajam.

Engku Mateen menarik nafas dalam-dalam lalu menoleh ke arah ACP Hanif, tanda mengalah.

"Raid. Tolong beri kerjasama. Manaf adalah orang yang dikehendaki pihak polis kerana..."

"Kerjasama apa yang kalian nak daripada aku?" pintas Raid dengan suara melantang seraya menepuk meja, membuat Engku Mateen dan ACP Hanif tersentak.

"Papa aku mati dibunuh! Bonda aku hilang! Harta keluarga aku dirampas! Black, pengawal peribadi yang orang tua aku percaya tiba-tiba mati kononnya bunuh diri. Sekarang Manaf pula mati tiba-tiba depan mata aku. Belum sampai sejam, wartawan berhimpun di sini. Sungguh, aku rasa ada yang tak kena. Dan sekarang ni aku rasa ada musang berbulu ayam!" Raid menjatuhkan pandangan menuduh kepada Engku Mateen.

Lelaki itu kelihatan tergamam. Nanar matanya menatap Raid. "Raid tuduh ayahanda? Hei, ayahanda takkan tergamak nak mengkhianati keluarga sendiri!"

Raid tersenyum sinis. "Habis tu, kenapa kau berdiam diri ketika media galak menulis yang tidak-tidak tentang orang tua aku? Apa pembelaan yang aku dapat? Tak ada!"

"Raid, jangan terlalu emosi." ACP Hanif menyampuk dengan riak tenang. "Dengar apa yang aku nak cakapkan ni."

Raid pun mengalihkan perhatian kepada ACP Hanif.

"Beberapa hari lepas, semakan manifes penerbangan mendapati Engku Marsitah menaiki pesawat ke Dubai. Tapi pihak Interpol yang menunggu di sana, tak menjumpai Engku Marsitah."

Terkejut mendengar dakwaan itu, Raid berteriak, "mana satu ni? Sekejap kata bonda lari ikut jalan tikus! Sekejap kata mungkin Black dah bunuh dan buang bonda di mana-mana! Sekarang polis kata bonda ke Dubai! Ya Tuhanku!" Raid terhenyak ke belakang dengan mata nanar.

"Sebab itu kami berharap Raid dapat beritahu kalau Manaf ada sampaikan apa-apa maklumat terkini untuk bantu kami teruskan siasatan." ASP Hanif berkata dalam nada membujuk.

Raid menggelengkan kepalanya dengan sedih.

"Tolong berikan kerjasama, Raid. Kami perlu tahu di mana Engku Marsitah berada."

"Dah aku katakan, Encik Manaf tak sempat cakap apa-apa pun! Kenapa kau tak faham bahasa?!" bentak Raid geram. Entah mengapa, akal sihatnya memilih untuk tidak meniriskan apa pun yang dia dengar daripada mulut Manaf.

Kepercayaannya sudah lenyap kerana Raid tahu kehidupan dalam dulang emasnya telah berakhir! Yang tiba-tiba timbul dalam sanubarinya adalah keinginan kuat untuk membalas dendam!

RAID ARJUNAWhere stories live. Discover now