MV AGUSTA itu meluncur laju di atas jalan raya. Raid tidak tahu ke mana arah tujunya. Yang terlintas dalam fikiran, dia perlu membawa dirinya sejauh mungkin. Kalau boleh biar sampai hilang jejaknya.
Tapi tiba-tiba sahaja Raid diburu debaran kencang. Rasa tidak sedap hati. Dari cermin sisi, Raid menyedari ada sebuah kereta sedang mengekori rapat. Curiga dengan kemunculan kereta jenis Honda Civic itu, Raid memulas lagi tali minyak, melajukan R4. Ternyata kereta itu turut melaju. Tidak salah lagi dugaannya.
"Celaka! Macam mana mereka tahu?! Mustahil secepat ini papa hantar orang kejar aku?!"
Raid terus menyumpah dalam hati. Enggan menoleh lagi ke belakang. Hatta meter motornya pun tidak dipandang lagi. Adrenalinanya memuncak bersama rasa cemas dan sakit hati.
Ketika mahu melencong masuk ke Jalan Ledang, Raid menyedari ada sebuah MPV datang dari arah belakang dan langsung menghimpitnya ke bahu jalan. Raid meningkatkan pecutan lalu menyalip MPV tersebut. Sempat dia tersenyum mengejek seraya menoleh ke arah MPV itu.
Tiba-tiba Raid mendengar bunyi hon berpanjangan dan brek berdesit. Kering darahnya apabila mendapati ada sebuah kereta lain di hadapannya.
Terlambat untuk Raid mengelak lalu motornya bertembung dengan kereta tersebut. Raid dan motornya melambung, seiring dengan kereta itu berputar-putar tidak tentu arah.
Pasrah, Raid melepaskan pegangan agar motor yang berat itu tidak menghempap tubuhnya. Dia tergolek-golek beberapa meter sebelum tertiarap di atas jalan dengan tuksedo pengantinnya koyak rabak. Nafas Raid terngap-ngap akibat dadanya yang terbentur kuat ke permukaan jalan.
Dummm!!! Satu lagi dentuman kuat berkumandang di udara.
Raid menoleh dan melihat kereta tadi menghentam tebing bukit sebelum terbalik. Satu susuk tubuh lelaki terlempar keluar dari cermin depan dan terdampar atas jalan, tidak jauh dari kereta yang terbalik itu. Raid memandang dengan rasa sakit menguasai sekujur tubuhnya.
Melihat lelaki itu bergerak-gerak, Raid berusaha bangun. Terhuyung-hayang membawa tubuh. Hasrat mahu membantu, mengasak dirinya. Tidak peduli pada kesakitan, Raid memaksa dirinya berjalan dan menghampiri lelaki itu.
Dia mendengar dengan jelas suara erangan. Susah payah, Raid membalikkan tubuh lelaki itu.
Syukur! Dia masih hidup! teriak Raid dalam hati apabila melihat bola mata lelaki itu berputar memandangnya. Darah berlumuran pada mukanya. Lelaki itu masih muda. Mungkin berusia sekitar awal 20-an.
Terketar-ketar tangan lelaki itu memaut lengan Raid.
"Makkk... Aaa... yah saya... To... To... longg sela... matkan... Mereka!" Pandangannya terhala ke arah kereta.
"Iii... Iya... Tunggu sini..." Raid mengangguk-angguk.
Kemudian Raid menerpa ke arah kereta. Bau petrol yang meleleh dari tangki minyak, menguar ke udara. Terdengar suara merintih kesakitan. Raid meniarap untuk melihat keadaan dalam kereta.
Pemandunya diam tidak bergerak tapi penumpang wanita di jok belakang terkapai-kapai tangannya.
"Tttooo... longgg..." rayunya bersama mata sayu dibasahi air mata berjurai-jurai.
Raid bangkit memandang pintu kereta yang kemek. Mustahil boleh dibuka begitu sahaja. Tanpa berfikir panjang, Raid menendang cermin tingkap yang sedia retak. Berderai kacanya dan tidak tangguh lagi, Raid kembali meniarap. Tangan dihulur.
"Mak cik... Mak cik boleh bergerak tak? Kalau boleh, cepat keluar, saya... Tarik mak cik."
Tidak menyahut, wanita itu terus mengesot perlahan. Tapi saat terpandangkan lelaki di jok pemandu, gerakannya terhenti.
YOU ARE READING
RAID ARJUNA
قصص عامةTajuk: Raid Arjuna Penulis: Rose Harissa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-65-6 Muka Surat : 688 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018