Bab 7

1.2K 27 0
                                    

RAID dapat merasakan bokong badannya ditoreh-toreh oleh sesuatu. Bunyi daging tersayat dek benda tajam membuat Raid dapat membayangkan kulitnya terbelah menampakkan isi sampai ke tulang. Denyutan daripada luka-luka itu seakan meledakkan otaknya. Lalu mata Raid tiba-tiba terbuka lebar bersama jantung melonjak kencang.

Perkara pertama yang dilihatnya adalah lantai kayu yang renggang-renggang, menampakkan tanah berpasir di bawah sana. Kemudian baru Raid menyedari bahawa dia terbaring dengan posisi telungkup tapi condong. Dia dapat bernafas kerana mukanya telangkup di antara bukaan sebesar dua tapak tangan. Dia cuba bangun tapi menyedari anggota badannya terikat pada katil itu.

Mendadak sontak, otak Raid mengulang rakaman penderitaan yang dirasakan oleh tubuhnya. Rasa sakit dan bisa datang bertubi-tubi membuat Raid yakin penyeksaan ke atas dirinya belum berakhir.

"Tolong! Lepaskan aku!" Raid berteriak panik.

Sekejap kemudian, Raid mendengar derap langkah bergegas masuk. Suara seseorang yang sangat dikenalinya, berkumandang.

"Raid! Ya, Tuhan... Syukurlah kau dah sedar!" Wajah Noah terjengul, berdiri setengah sendeng di hadapan Raid.

"Kenapa ikat aku macam ni? Lepaskan!" bentak Raid penuh prasangka.

"Sabar." Noah memujuk seraya membuka satu per satu ikatan pada tubuh Raid. Lerai semuanya, Raid terburu-buru mahu membalikkan badan tapi rasa pegal seluruh badan, menyebabkan dia mengerang dan nyaris tersungkur.

"Jangan banyak bergerak lagi. Tulang paha, rusuk kau masih dalam proses nak bercantum balik," ujar Noah, pantas memaut tubuh Raid. Anak muda itu didudukkan ke pangkin tepi dinding dengan kaki dilunjurkan.

Baru Raid perasan, kaki kanannya yang patah tulang paha, tidak lagi bersimen, sebaliknya dibungkus dengan kain kasa dan beberapa bilah buluh panjang disusun mengelilingi pahanya menjadi penyangga.

Kemudian, mata Raid liar mengitari suasana. Dahinya berkerut hairan. Dia bukan lagi berada dalam gudang gelap. Tapi dalam sebuah bilik berdinding papan. Semua tingkap terbuka luas membawa angin dari luar. Dari tempat duduknya, dia nampak pokok kelapa melambai-lambai dan terdengar deburan ombak.

"Aku di mana?"

"Pulau Aur."

"Hah? Kenapa kau bawa aku jauh ke sini, Noah? Kau pun terlibat culik aku???" tuduh Raid dengan rasa cuak.

Noah yang baru mahu duduk, tegak semula dengan tangan terus dicekak ke pinggang.

"Aih... Ini boleh mendatangkan marah tok guru! Susah-payah kami angkut kau ke sini, boleh kau tuduh aku culik kau? Kau nak aku patahkan balik tulang paha dengan rusuk kau tu ke?" gertak Noah.

Raid mengernyitkan dahi. Melihat gaya Noah membebel, dia percaya lelaki itu masih waras.

"Tapi kenapa kau ikat aku macam tahanan? Macam nak seksa aku." Mata Raid melirik ke arah katil kayu itu. Kedudukannya yang condong sekitar 45 darjah, tidak semena-mena menimbulkan perasaan ngeri dalam dirinya. Membayangkan dia terdampar di situ dan disebat tanpa ampun.

Noah mengamati air muka Raid yang memucat saat melarikan pandangan dari katil tersebut. Sekaligus Noah dapat membaca ketakutan anak jagaannya itu.

"Kau koma. Luka belakang badan kau teruk sangat. Berkali-kali kami terpaksa jahit semula sebab kebanyakan luka sampai ke otot dan daging. Ada yang merekah dan bernanah dek infeksi. Jadi, kami tak boleh biarkan kau baring menelentang. Penyelesaiannya, kami terpaksa bina katil khas dan ikat kau di situ dalam keadaan telungkup supaya luka kau senang bercantum."

Dahi Raid mengernyit kengerian mendengar penjelasan Noah. Cepat-cepat dia mengesot, mahu turun dari pangkin.

"Eh? Kau nak ke mana?"

RAID ARJUNAWhere stories live. Discover now