MUNGKIN jika bintang jatuh benar-benar dapat mengabulkan hajat manusia, Raid ingin meminta agar dia dapat memutar masa, membetulkan keadaan. Supaya papa dan bonda tetap ada dalam hidupnya. Supaya tiada anak kehilangan orang tua.
"Dia anak bongsu. Ditatang macam minyak penuh oleh keluarga setelah ibunya berkali-kali mengalami keguguran. Sejak akhir-akhir ni, selera makan dia makin menurun. Itulah kerjanya... Duduk menyendiri dan melukis."
Raid hanya mendengar bicara wanita itu dengan matanya lurus ke arah seorang anak kecil berambut ikal yang diikat dengan penyepit bunga merah jambu. Perlahan-lahan, Raid bangun dari kerusi dan mendekati anak kecil itu.
Walaupun Raid sudah bertekuk lutut di hadapannya, anak kecil itu masih enggan mengangkat muka.
"Adik, kenapa duduk seorang diri di sini?"
Anak kecil itu tidak menyahut pertanyaan Raid. Dia terus melukis dengan krayon di atas hamparan kertas putih. Hati Raid tertohok saat melihat gambaran lukisan itu. Dia menatap anak kecil itu dengan pandangan penuh penyesalan.
"Abang suapkan adik makan, nak tak?" pelawa Raid dengan suara bergetar menahan perasaan.
Namun anak itu menggeleng lesu. Tanpa memandang Raid, dia berkata, "nak ayah yang suapkan."
Suara halus dan lirih itu terasa meramas hati Raid. Rahangnya diketap kuat dengan kedua-dua belah tangan dikepal sampai buku limanya memutih.
Tiba-tiba wajah mungil itu menoleh ke arahnya. Mata yang sepatutnya berbinar ceria selayaknya seorang kanak-kanak, kini tampak suram dilapisi bening jernih. Raid menatapnya lekat-lekat dengan mata sendiri yang mulai berkabut.
"Tapi ayah dah lama tak balik. Abang tahu tak mana ayah pergi?"
Tergamam Raid melihat butiran air mata jatuh satu per satu ke pipi anak kecil itu. Makin lama air matanya melaju sehingga bahu anak kecil itu terhinggut-hinggut dek esakan semakin kencang. Rasanya seperti ada tinju besi menghentam Raid. Dengan gerakan spontan, Raid menarik dan merengkuh anak itu ke dalam pelukannya.
"Maaf... Maafkan aku..." Raid memejamkan mata, merasakan air mata menitis di sudut matanya. Mengacip giginya kuat-kuat, berusaha menekan rasa bersalah yang semakin menyesakkan dada dan perit di tenggorokan dek meredam tangis.
Namun dua tangan kecil yang merangkul lehernya, diiringi tangisan sayu, cukup menghiris batin Raid. Dia telah menyebabkan kematian. Dia rasa bersalah kerana masih hidup dan mula mengalami kilas balik peristiwa-peristiwa parah. Semuanya sangat jelas dalam benak Raid.
"Aku bersumpah... Akan jaga kau sampai tarikan nafas terakhir aku..." ucap Raid dan kemudiannya tidak mampu lagi menahan luapan emosi. Dia menangis semahunya, menggeletar bersama rasa ingin mati. Sehingga akhirnya dia merasa seperti tidak mampu bernafas lagi.
"Raid! Ya Tuhan! Dia buat lagi!"
Raid merasakan dirinya melayang. Pelukannya terlerai.
"Raid! Sedarlah!"
Raid mendengar suara-suara itu tapi tidak mampu bertindak balas. Rasa sakit yang luar biasa dalam dada telah merenggut kesedarannya.
YOU ARE READING
RAID ARJUNA
General FictionTajuk: Raid Arjuna Penulis: Rose Harissa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-65-6 Muka Surat : 688 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018