Bab 8

1.1K 24 0
                                    

SUASANA heboh di ruang lobi mendadak jadi hening ketika Noah dan Gambit mengiringi Raid masuk. Semua mata memandang ke arah Raid yang terincut-incut bertumpu tongkat dengan bentuk badan berubah menjadi janggai, muka cengkung. Bisik-bisik mulai kedengaran.

Menyedari tatapan mereka kebanyakannya panasaran, Noah memandang Gambit yang turut menoleh ke arahnya. Secara bisu mereka menyepakati, ada perkara buruk sedang terjadi di situ.

Tiba-tiba seorang lelaki mendekati Raid. Curiga melihat renungan tajam lelaki itu, Noah segera berjalan ke depan Raid, melindunginya.

"Jangan macam-macam!" Noah menekan suara.

Barulah kendur ketegangan pada wajah lelaki itu. "Errr... Aku tak bermaksud jahat. Terlanjur anak Tuan Gilbert dah muncul, aku mewakili pekerja yang lain, nak minta penjelasan."

"Tentang apa?" Raid menyoal datar.

"Betul ke kami semua akan diberhentikan kerja tanpa pampasan?"

Raid tersentak. Sementara Noah dan Gambit berpandangan sesama sendiri dengan kerut di dahi. Benarlah sangkaan mereka!

"Aku tak tahu apa-apa pun! Kata siapa kalian akan diberhentikan?" Raid bertanya dalam nada keras, sehingga membuatkan Noah dan Gambit sedikit terkejut. Tidak menyangka Raid berani bertegas.

Biarpun kehairanan, lelaki itu menjelaskan. "Kami dapat macam-macam khabar, selepas Tuan Gilbert mati dibunuh."

Raid melirik tajam saat nama papanya disebut.

"Dengarnya, tak lama lagi, Gilbert Group akan diambil alih oleh Armada Raya Nasional. 1000 anak kapal dan pekerja di pelabuhan dah dapat surat diberhentikan kerja. Mereka nak buat petisyen kepada Kementerian Sumber Manusia supaya rujuk kes ni ke Mahkamah Perusahaan."

Kesabaran Raid telah mencapai batasnya, tidak tahan lagi mendengar semua tuduhan itu.

"Berapa lama kau kerja di sini?!" soal Raid setengah membentak, menyentakkan emosi lelaki itu.

"Errr... Dah 10 tahun." Dia tergugup.

"Huh, sia-sia kau kerja selama itu kalau kau masih bersangsi terhadap pengasas tempat kau kerja! Papa dan bonda aku adalah adikuasa syarikat! Walaupun bonda aku mungkin terlebih garang tapi pernah ke gaji semua orang di sini tertunda?" Raid kemudiannya menyebarkan pandangan ke segenap ruang. Semua pekerja tertunduk.

"Daripada yang berjawatan pengurus besar sampai ke pencuci tandas, semua pun merasa bonus beribu ringgit setiap tahun. Sebab orang tua aku adalah pengusaha yang tahu menghargai setiap pekerja yang menyumbang keringat dan tenaga kepada syarikat. Jadi kalian fikir semudah itu ke mereka timbulkan masalah dan menyusahkan beribu-ribu pekerja yang dah banyak berbakti? Malang betul orang tua aku ada pekerja bodoh macam kau!"

Setelah mencemuh, Raid memusingkan tubuh dan beredar bersama kemarahan membuncah dalam dada.

Semua tergamam termasuk Noah dan Gambit. Sungguh mereka tidak pernah menduga Raid yang mereka kenali sebagai anak manja dan kuat memberontak, sebenarnya mampu bercakap soal prinsip pekerjaan.

"Gilbert Group tak boleh dibubarkan walaupun papa aku dah tak ada! Kalian tak boleh berhentikan pekerja macam tu saja!" tegas Raid tapi disambut oleh wajah-wajah dingin dengan sikap menghina daripada ahli-ahli lembaga pengarah yang duduk mengelilingi meja panjang itu.

"Huh, ada hati nak mengajar orang tua. Kau tu cuma anak naga yang dah mati. Sedarlah sikit, sisik pun belum tumbuh, kalau menyembur bukan keluar api tapi hingus!"

Perlecehan dari lelaki gendut itu mencetuskan gelak tawa mereka kecuali Engku Mateen dan Maya yang duduk sebelah-menyebelah. Dua orang itu tertunduk dengan muka serba salah. Noah dan Gambit pula hanya mampu menahan geram, berdiri di sudut dewan persidangan.

RAID ARJUNAWhere stories live. Discover now