"GAMBIT kata, jalan ditutup. Sebab itulah ketika kemalangan berlaku, tak ada orang lalu di situ."
"Kurang ajar! Maknanya, mereka memang sengaja nak kenakan Raid!"
"Polis kata apa?"
"Kemalangan biasa. Kebocoran minyak dari tangki sebelum terbakar. Tapi aku yakin, Raid tahu apa sebenarnya yang dah berlaku di situ. Dan... Aku minta maaf, tuan... Kerana terlambat menjejaki Raid."
Suara-suara itu kedengaran begitu dekat di telinga Raid. Namun, payah sungguh rasanya dia hendak membuka mata. Dia cuba menggerakkan tangan yang terasa pegal.
"Tuan! Engku! Raid dah sedar!"
"Raid Arjuna!"
Terasa ada tangan memegang mukanya. Raid berusaha keras membuka mata. Secercah cahaya masuk melalui celah kelopak matanya yang hanya mampu dibuka layu. Namun, pandangan Raid masih mampu menangkap jelas wajah papa, bonda dan Noah di sisinya.
Bau ubat menusuk hidung, dengan wayar berselirat pada tangannya, buat Raid sedar yang dia kini selamat terlantar di hospital. Ada rasa lega menyelinap dalam hatinya.
Tuan Gilbert meraup tangan ke muka seraya berseru.
"Syukurlah, Arjuna papa dah sedar..."
Raid memaksa bibirnya mengorak senyum. Terasa perit. Ada luka di sudut bibirnya.
"Raid, beritahu bonda siapa buat Raid macam ni?" Engku Marsitah mendesak. Tanpa sedar tangannya mencengkeram bahu Raid.
"Sayang, sabar sikit. Anak kita baru saja sedar." Tuan Gilbert segera meraih Engku Marsitah, menjarakkan dari Raid yang kelihatan mengernyit sakit.
"Macam mana saya boleh bersabar? Sudahlah majlis kahwin tak jadi. Sekarang dia pula cedera teruk. Kalau dia tak lari, dia tak akan kena teruk macam ni!"
"Sayang, saya rasa dalam keadaan Raid sekarang ni, awak tak patut bangkitkan soal perkahwinan itu lagi. Kita bincangkan kemudian."
"Bincang kemudian? Bila? Nak tunggu Raid pulih? Sebulan dua lagi pun belum tentu Raid pulih macam biasa dan boleh kahwin dengan Faiznur!"
"Kalau tak jadi kahwin pun tak mengapalah. Dari awal lagi, saya tak setuju kita campur adukkan urusan keluarga dengan business. Tapi awak..."
"Ya, saya tahu. Tapi itu aje cara terbaik untuk elakkan kita dan Sheikh Edruce jadi musuh. Awak sendiri tahu kan, semakin kita berkuasa dalam dunia perniagaan, politik pula tak akan biarkan kita terus nikmati kesenangan macam tu aje. Hanya Sheikh Edruce boleh berikan kita laluan mudah dalam urusan melibatkan lesen kerajaan. Tapi kalau Raid dan Faiznur tak jadi kahwin, tentu mereka kata kita tamak haloba dan awak dituduh anti Melayu!"
Raid mendesah berat antara rasa kesal dan sakit yang menohok sekujur tubuhnya. Dalam keadaan dia sakit tidak mampu bangun pun, bonda masih memikirkan tentang perniagaan dan dia yang menjadi korbannya.
"Fai... rel..." Susah payah Raid menyebut nama itu.
"Apa? Fairel?" Mata Engku Marsitah membelalak. Berkerut-kerut dahinya kerana nama itu sangat dikenalinya. "Raid jangan nak kata ini kerja Sheikh Fairel, abang Sheikha Faiznur!"
Tiada daya lagi menjawab dengan kata-kata, Raid mengerjapkan mata beberapa kali tanda mengeyakan.
"Tak mungkin!" Engku Marsitah menafi.
Raid tetap mengangguk dalam kepayahan dibedung penyangga leher.
"Tengoklah, belum apa-apa lagi, anak mereka dulu yang cari pasal dengan kita!" keluh Tuan Gilbert.
YOU ARE READING
RAID ARJUNA
Genel KurguTajuk: Raid Arjuna Penulis: Rose Harissa Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-65-6 Muka Surat : 688 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018