Bila jumpa kawan-kawan, cikgu-cikgu, juniors; bila tanya,
A: "Belajar mana sekarang?"
B: "Hm, dekat Beijing. Belajar course bahasa Mandarin."
A: "Eh, macam mana boleh dapat sana?"
B: "Hm, macam ni ceritanya..."
Lepas SPM, saya banyak meluangkan masa mencari peluang-peluang pendidikan, halatuju selepas SPM. Sejujurnya, saya tidak tahu tempat yang mahu dirujuk, dengan siapa, bagaimana? Mungkin kebanyakan anak sulong begini ya?
Dengan berbekalkan komputer riba milik emak, saya melayari pelbagai laman web untuk memahami kemasukan ke matrikulasi, asasi, tingkatan 6, diploma, ijazah di dalam negara dan luar negara. Azab juga rasanya sebab saya betul-betul di dalam dilema.
MESIR
Saya cuba mencari maklumat informasi untuk sambung belajar ke timur tengah, terutamanya Mesir! Saya teringin sangat untuk belajar di sana, dari form 1 lagi saya memang bercita-cita untuk menjadi salah seorang penuntut ilmu di salah sebuah universiti di sana. Setiap kali jatuhnya saya, walaupun hampir give-up; saya pasti akan teringat mak, abah dan MESIR!
Pagi, petang, siang, malam saya mencari maklumat. Sampailah satu hari ini, saya isi borang permohonan untuk belajar di Mesir (KPM). Keputusan SPM saya bukan straight A. Cukup-cukup makan, alhamdulillah. Permohonan belajar saya melepasi syarat dan masa itu dapatlah course pergigian di Mesir; hanya tinggal selesaikan semua maklumat diri dan ada lah kena isi beberapa borang.
Tetapi!
Ketika itu, permohonan bawah KPM itu self-sponsored. Gigih juga saya tanya students di sana, baca blog dsb; cara-cara untuk mendapatkan bantuan kewangan selain 100% self-sponsored. Ada seorang pelajar yang saya hubungi melalui Facebook, beliau memberitahu langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk sambung belajar di sana, cuma rezeki saya bukanlah di Timur Tengah.
Institut Pendidikan Guru (IPG)
Selain daripada mempunyai cita-cita untuk belajar di Mesir, saya turut memohon IPG, Asasi dan Matrikulasi. Semasa minggu keputusan asasi keluar; saya mendapat tawaran untuk belajar di ASPer (Asasi Sains Pertanian UPM). Wuish gembira juga tersengih seorang saya.
Awalnya, emak dan abah pun pelik mendengar nama asasi ini. Jangan risaulah, kalau awak dapat Asper, bukannya wajib jadi petani, gitu. Minggu pendaftaran UPM agak awal; seminggu awal daripada hari pendaftaran Matrikulasi. Manakala keputusan IPG keluar seminggu selepas tarikh pendaftaran Matrik.
Saya sangat runsing dan saya sendiri masih dalam keadaan yang samar-samar. Jauh dalam sudut hati saya, saya sangat mengharapkan saya ditempatkan di IPG, itulah peluang yang saya harapkan untuk menjadi seorang pendidik. Kemasukan ke IPG sangatlah sukar, kita perlu menduduki Ujian INSAK dan UKCG (Ujian Kecergasan). Sekiranya kita melepasi kedua-dua ujian tersebut maka kita layak untuk dipanggil kali kedua untuk Temuduga Lisan.
MATRIKULASI
Saya sempat belajar di matrikulasi selama dua bulan saja. Banyak juga kenangan dekat matrik ini. Saya duduk dengan room mates yang sangat ohsem! Saya juga belajar bergaul dengan rakan-rakan baru, banyak perkara yang saya kena urus sendiri, di luar zon selesa saya. Selama ini ingatkan duduk lima tahun di asrama dah cukup berdikari tapi di matrikulasi saya mula belajar untuk congak duit makan sehari-hari, duit fotostat modul, latihan, buku.
"Eh saya still lagi tak paham macam mana boleh terlepas dekat Beijing tuh? Kena mohon apa-apa ke?"
Program kami di Beijing dinamakan PROGRAM PENGHANTARAN PELAJAR KE CHINA UNTUK PEMBELAJARAN BAHASA MANDARIN DALAM KALANGAN PENUTUR JATI KE ARAH 1 MALAYSIA yang ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bukan itu sahaja, selepas tamat 5 tahun belajar di China, kami juga perlu menghadiri Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) atau dulu dikenali dengan nama Kursus Diploma Perguruan Lepas Ijazah (DPLI) selama setahun serta perlu melalui proses temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk ditempatkan di mana-mana sekolah di Malaysia.
Program ini tidak tersenarai dalam permohonan ketika mengisi borang permohonan IPG. Ketika saya menunggu tawaran ke IPG, saya sedang berada pada minggu pertama di matrikulasi. Saya sangat sedih kerana saya tidak terpilih untuk ke IPG.
Tidak lama selepas itu, saya mendapat SMS daripada emak mengatakan ada pegawai KPM yang menelefonnya bertanya untuk tawaran ke Beijing. Yang pasti, kami semua yang belajar bawah tajaan KPM ini melalui temuduga IPG cuma cara atau justifikasi pemilihan untuk ke Beijing saya tidak tahu.
Alhamdulillah ala kulli hal!