Loceng menandakan tamat waktu persekolahan baru sahaja berbunyi dan kebanyakan rakan sekelasnya sudah pun berangkat pulang namun mata Najihah bulat memandang satu susuk yang sedang berdiri di kaki lima kelas sambil tersengih.
"Dia buat apa pula dekat sini?" Berkerut dahi Najihah dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Semua rakan sekelasnya turut sama perasan akan kehadiran senior tampan yang sebelum ini tidak pula pernah bertandang ke kelas mereka di tingkat dua ini. Masing-masing mula membuat andaian sendiri.
"Awak tak nak balik lagi ke? Semua orang keluar dah." Dek lama menunggu di luar, Adi Fakhri menjengukkan kepalanya masuk ke dalam kelas Empat Sains itu memandangkan hampir kesemua pelajar di dalam kelas itu sudah pun keluar. Hanya tinggal lima ke enam orang sahaja yang masih ada di dalam kelas.
"Bukan kita dah janji ke yang kita dah tak nak jumpa lagi? Apa awak buat dekat sini?" Najihah menggalas beg separuh rela sambil menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Sangkanya drama antara mereka sudah tamat dan dia boleh meneruskan kehidupan seperti biasa. Semua itu jelas meleset apabila Adi Fakhri muncul lagi.
"Betul ke saya ada janji? Awak pasti ke yang saya dah janji dengan awak macam tu?" Adi Fakhri sekadar menggelengkan kepala bagi menafikan semua itu. Dia tahu yang dia mungkir janji dan dia sebenarnya berat hati mahu membiarkan Najihah pulang sendiri menjinjing buku dan begnya yang berat itu.
"Sajalah. Saya datang nak hantar awak balik." Adi Fakhri menjongketkan bahunya. Memang itu sahaja tujuan yang dia ada. Dia tiada tujuan lain selain daripada mahu menemani Najihah pulang.
"Awak tak ada kawan ke nak diajak balik? Kenapa datang cari saya lagi?" Najihah memang tidak berpuas hati. Ketidakselesaannya bertambah bila rakan-rakannya yang masih ada, tersenyum sengih melihat mereka berdua.
"Hmmm, tak ada. Kawan-kawan saya semuanya budak asrama. Ada lima orang sahaja kut yang tinggal di luar," jawab Adi Fakhri jujur.
Zain, Adib dan Jeff semuanya 'disumbat' masuk ke dalam asrama oleh ibu bapa masing-masing kerana keputusan peperiksaan akhir mereka yang teruk pada tahun lepas. Dia pula bernasib baik kerana jarak rumahnya dekat dan keputusan peperiksaanya masih lagi boleh membanggakan ibu bapanya.
"Serius ni saya tanya, awak nak apa?" Najihah mulai kurang senang. Kehadiran Adi Fakhri tanpa alasan yang munasabah di dalam hidupnya selama dua hari berturut-turut ini sedikit sebanyak membuatkan dia tidak merasa selesa. Sejak kelmarin lagi dia menjadi pusat tumpuan semua rakan sekelasnya serta guru-guru yang mahu tahu tentang perkara sebenar sedangkan apa yang terjadi tidaklah sebesar mana.
"Nak tolong awak." Pendek sahaja jawapan Adi Fakhri. Beg yang disandang sebelah oleh Najihah diambil dan dibawa pergi begitu sahaja. Ulas panjang-panjang pun tiada guna kerana sejak pagi tadi lagi dia asyik dihalau sahaja oleh Najihah.
"Hey!" Najihah tercengang. Adi Fakhri jelas mempunyai pakej lengkap dengan sikap kurang sabar, kurang etika serta kurang segala-galanya. Dia mengekori jejak seniornya ini dengan langkah sedikit laju demi mendapatkan semula beg galasnya.
"Saya dah letak beg awak dekat tempat duduk belakang. Esok saya tunggu awak dekat tempat sama." Beg yang dibawanya sudah siap dibawa masuk ke dalam van yang sering dinaiki Najihah. Kalau van ini adalah bas awam, lama sudah dia naik bersama dan menghantar Najihah ke pintu rumahnya. Malangnya, ini van yang dinaiki oleh anak-anak Rumah Nur, dia tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya.
"Tak boleh! Kalau saya cakap tak boleh, macam mana?" Najihah mengetap bibir kerana sebal. Nafasnya naik turun dek lelah mengejar Adi Fakhri yang laju membawa lari begnya tadi. Adi Fakhri membuatkan dia sedar yang tubuhnya sudah terlebih berat sebenarnya.
"Saya tak kesah. Esok saya tunggu awak dekat sini juga macam pagi tadi." Adi Fakhri menjongketkan bahu. Kesalahan yang dibuatnya secara tidak sengaja itu sehingga mencederakan orang, bukan kecil padanya. Mahu tidak mahu, dia perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
"Jangan lasak sangat tau guna tangan kiri awak ni. Nanti bertambah teruk pula keadaannya. Lagi lama la saya kena ganggu awak." Adi Fakhri berpesan sambil dia bersandar di tepi dinding van. Wajah merah Najihah jelas menunjukkan gadis ini marah. Cantik pula gadis ini di matanya.
"Bukan saya yang suruh awak buat itu ini pun. Awak yang beria-ia nak angkut beg ni, kan?" jeling Najihah tajam. Wajah Adi Fakhri yang terjengul di tingkap van menyakitkan hatinya. Najihah keliru sama ada Adi Fakhri sekarang mahu menebus kesalahan atau sengaja mahu mengganggunya.
"Yalah, yalah. Jumpa esok pagi," pesan Adi Fakhri sebaik sahaja enjin van dihidupkan pemandunya.
"Tak nak!" balas Najihah dingin. Dia tahu yang jawapannya langsung tidak laku di pendengaran Adi Fakhri yang jelas-jelas degil sejak mula mereka berjumpa. Dalam keadaan wajah masam mencuka, Najihah memerhatikan sahaja gelagat Adi Fakhri yang sedang melambainya sebaik sahaja van mula bergerak.
"Siapa tu?" soal Adam pada Najihah dengan nada yang cukup dingin seperti biasa. Dia jelas terlihat kurang senang dengan situasi yang terhidang di depan mata sejak tadi lagi. Sambil itu, dia sempat menyorot tajam wajah pelajar senior yang sibuk membantu Najihah sedari tadi lagi. Ada rasa sakit hati mula beraja di dalam benaknya.
"Tak ada sesiapalah." Najihah sekadar menjawab pendek. Kagum pula dia dengan tahap pemerhatian Adam kerana dalam ramai-ramai yang berada di dalam van ini, hanya Adam sahaja yang perasan akan kehadiran Adi Fakhri tadi.
"Macam mana sekolah adik hari ni, okey tak?" Najihah menyoal Adam yang sudah seminggu masuk ke sekolah baru ini.
"Tak okey!" balas Adam kasar lantas menyandarkan kepala ke kerusi dan menutup wajahnya dengan sapu tangan. Dia tidak suka apabila Najihah melayannya umpama seorang adik yang sudah cukup lama dikenalinya. Dia tidak suka dilayan umpama budak kecil oleh Najihah malah dia benci setiap kali mendengar Najihah memanggilnya adik.
Sejurus selepas itu, hari-hari Najihah sering dibayangi Adi Fakhri. Seniornya itu memang tidak makan saman. Tiada satu hari pun yang berlalu tanpa Adi Fakhri terpacak menunggunya di depan pagar pada waktu pagi dan di depan pintu kelas pada waktu pulang. Mahu tidak mahu, Najihah mulai pasrah dengan Adi Fakhri.
YOU ARE READING
SEMUA UNTUKMU
General Fictionajuk: Semua Untukku Penulis: Adry Tihani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-111-0 Halaman : 480 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2019