Bab 15

1.6K 24 3
                                    

"You buat apa tu, yunk? Macam nak tembus aje kertas tu you tenung?" tegur Eric yang melihat Airin begitu khusyuk memandang sekeping kertas kecil. Waktu petang begini, mereka sememangnya agak santai sedikit jika tiada sebarang majlis yang perlu diurus.

"Tengah belek slip gaji," sengih Airin. Sudah sampai masanya untuk dia mula merancang masa hadapan.

"Dah kenapa you belek slip macam tak pernah terima gaji aje?" Eric mula kepoh. Dia pasti yang Airin sedang memeta sesuatu dalam fikirannya pada saat itu.

"I rasa macam dah sampai masa la untuk I beli rumah sendiri. You rasa dengan jumlah ni, lepas tak kalau I mohon pinjaman untuk beli rumah?" Itulah yang bersarang di dalam kepala Airin sejak pagi tadi. Sejak terpandangkan satu iklan rumah di dalam sebuah laman jual beli, Airin tekad mahukan rumah sendiri.

"I pun tak berapa tahu sangat bab-bab pinjaman bank ni. Benda ni bergantung juga dengan harga rumah yang you nak beli, jumlah hutang yang you ada sekarang dan sebagainya. Kalau nak jawapan pasti, kita pergi bank aje. Suruh dia orang tolong nilaikan," cadang Eric kerana dia sendiri kurang arif dengan isu itu.

"I tak ada hutang dan I rasa macam rumah yang I teringin ni tak ada la mahal sangat. Rasanya lepas kut." Airin mencongak sendiri.

"Uish, serius betul riak muka you. Betul ke you nak beli rumah? Rumah dekat mana?" Eric mula berminat dengan rancangan yang sedang ditimbang oleh Airin. Seingatnya, mereka langsung tidak pernah berbincang mengenai rumah dan Airin juga tidak pernah bersuara tentang rumah. Dia pelik pula jadinya dengan perancangan tiba-tiba yang diusulkan oleh Airin.

"Rumah ni!" Airin mengunjukkan telefonnya yang terisi dengan iklan rumah untuk dijual itu kepada Eric. Iklan berkenaan baru sahaja dinaikkan oleh pemilik di dalam satu laman jual beli.

"Oh, I ingatkan you nak beli rumah yang baru nak dibina." Eric mula meneliti satu per satu. Setiap maklumat rumah dibaca dengan penuh penghayatan bagi memastikan segalanya jelas.

"Empat puluh ribu? Murahnya! Betul ke ni?" Berkerut dahi Eric dibuatnya dengan harga rumah yang mahu dibeli oleh Airin. Dia agak kurang percaya dengan tawaran yang jelas tercatat di dalam iklan berkenaan.

"Sebab murahlah I nak beli. Kalau mahal mana I mampu," jawab Airin sambil tersengih. Besar angannya mahu memiliki rumah berkenaan. Rumah impian yang ingin dia miliki secara mutlak.

"Memanglah murah, tapi I rasa macam tak masuk akallah, yunk. Rumah ni besar, ada dua tingkat, ada balkoni lagi, laman luas, dekat dengan pantai pula tu. Takkanlah dia nak bagi harga murah macam ni." Sikap protective Eric mula terserlah. Dia tidak mahu Airin menjadi mangsa penipuan.

"I dah hubungi pemilik rumah tu. Memang dia nak jual dengan harga empat puluh ribu. Kalau boleh dia nak jual segera. Memandangkan dia tinggal di luar Langkawi, I dah suruh dia tetapkan tarikh untuk berjumpa. I dah nekad dah, I memang nakkan rumah tu," putus Airin. Peluang keemasan begini enggan dia lepaskan.

"Beli rumah bukan benda kecil tau. Janganlah buat keputusan cepat sangat. Rumah tu pun you belum tinjau lagi. Takkan dah nak terus beli?" Eric seakan-akan kurang bersetuju dengan apa yang Airin lakukan. Baginya, urusan pembelian rumah memerlukan pertimbangan teliti dari pelbagai sudut agar masalah lain tidak timbul pada kemudian hari.

"Habis tu, you tak sokonglah keputusan I ni? Rumah tu kan murah. Kalau I lambat, nanti orang lain ambil." Muncung Airin sudah sampai ke muka pintu. Sangkanya Eric bakal menyokong tindakannya itu, namun meleset tekaannya apabila dia dibebel Eric.

"Bukan I tak sokong. I cuma tak nak you buat keputusan terburu-buru. You dah tengok ke tidak rumah yang you nak beli ni?" Eric bertanya pada Airin.

"Dah!" Airin menjawab perlahan.

"You pergi sendiri? Bila you pergi tengok?" Terkejut juga Eric dengan jawapan yang diberikan oleh Airin. Sikap Airin yang terlebih berani ini agak menggusarkan dirinya.

"Tengok dekat dalam telefon tu la. Iklan rumah itu kan baru dinaikkan pagi tadi, mana I sempat nak pergi tengok rumah tu sendiri," jawab Airin tanpa memandang wajah Eric.

"Budak ni kan!" Suara Eric sedikit meninggi.

"I ingat, lepas kerja sekejap lagi baru nak pergi tengok rumah tu. Jomlah, temankan I pergi sana. Dekat Pantai Kok tu aje. Tak jauh pun. Bolehlah! Jomlah! Bolehlah!" pujuk Airin. Jam yang ada di tangannya sudah hampir menganjak ke angka lima petang. Dia memang merancang mahu mengheret Eric untuk menemaninya melawat kawasan rumah berkenaan.

"Ya la, ya la. I temankan. Kemaslah dulu semua barang-barang you tu, sekejap lagi kita pergi sana." Eric sememangnya tidak akan membiarkan Airin ke sana sendiri.

Seperti yang dijanjikan, kedua-dua sahabat ni akhirnya memulakan perjalanan mereka mengikut alamat yang tertera di dalam iklan.

"Tengok! Ada pokok buahlah, Eric!" Airin takjub. Pokok jambu air di tepi pagar sedang berbuah lebat. Terdapat juga dua batang pohon pokok mangga berdekatan dengan rumah. Airin sudah berkenan. Hatinya sudah terpikat.

"Cik kak! You nak tinggal di dalam rumah, bukan atas pokok buah-buahan tu. Tengok sini dulu. Ini rumah ke apa ni, Airin?" Eric melongo. Dia hanya mampu geleng kepala apabila Airin seakan-akan mahu pejamkan mata sahaja dengan keadaan sekeliling rumah berkenaan.

Keadaan kawasan rumah itu yang kelihatan sudah lama dibiarkan kosong sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan. Rumput yang panjang, daun berguguran yang agak banyak, pagar yang rosak membuatkan Eric tercengang. Lain pula dengan Airin. Dia langsung tidak terganggu. Yang pasti, dia mahukan rumah itu.

"Are you sure yang you tetap nakkan rumah ni?" Nada serius Eric mula keluar. Segala jenis kebimbangan sudah mulai muncul di dalam kepalanya. Tiada satu pun yang melintas di ruang matanya memuaskan hati. Keadaan rumah itu jelas berantakan.

"Hmmm." Airin tekad dengan keputusannya. Walaupun pemandangan yang tersaji agak kurang memuaskan, Airin sudah kepalang suka. Dia yakin yang keadaan rumah ini boleh dibaik pulih dan diperelok olehnya nanti.

"Really? Are you serious? Macam mana you nak duduk sini? Jiran pun tak ada. Macam tak selamat aje! I bimbanglah kalau you nak tinggal dekat sini sendiri." Eric mengerutkan dahinya. Hatinya langsung tidak berkenan dengan rumah yang kononnya mahu dibeli oleh Airin itu.

"I dah tanya pemilik tanah tu pasal jiran I. Dia kata yang tak lama lagi, kesemua lot tanah sebelah ni akan dibersihkan untuk pembinaan resort. Nanti, I adalah jiran tu. Lagipun, you nampak tak pantai tu? Cantik. Susah nak dapat rumah macam ni dengan gaji yang I ada. I tak sanggup nak lepaskan. Please, sokonglah I, Eric." Airin mula berkempen. Dia mahukan rumah itu dengan persetujuan Eric.

"Ikut you la kalau macam tu. Tapi nanti I sendiri deal dengan pemilik rumah ni dulu. I nak masuk tengok keadaan dalam rumah ni sendiri dengan dia nanti. Kalau dekat luar pun dah macam ni rupanya, dekat dalam tak tahulah macam mana." Eric menggelengkan kepalanya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membawa Airin balik. Dia langsung tidak berkenan dengan rumah itu.

"You jangan nak pandai-pandai uruskan sendiri tau. I tak nak nanti dia ambil kesempatan atas you. I nak pantau semua dahulu." Eric terus membebel dengan mata yang masih melilau ke kiri dan kanan.

"Baik!" jawab Airin acuh tidak acuh.

"Kalau okey baru kita teruskan pembelian. Kalau keadaan dalam rumah pun lebih kurang sama dengan keadaan di luar ni, memang I takkan bertolak ansur lagi dengan you. Dah tu, kalau you jadi beli, kita nak kena suruh dia tukar pagar, baiki apa yang patut. Lepas tu kita cat balik rumah ni. Lepas I puas hati, baru you boleh pindah masuk," sambung Eric lagi.

"Hewww, banyaknya syarat you." Airin akhirnya mengukir senyuman lega. Leteran Eric mula menampakkan tanda-tanda yang dia sudah bersetuju dengan pilihan Airin.

"Memanglah banyak. I tak nak you kena tipu. Zaman sekarang ni, siapa pun you tak boleh percaya tau. Penipu lagi ramai dari orang jujur tau!" pangkah Eric.

Dia langsung tidak akan memberikan peluang pada Airin untuk membeli rumah ini dengan senang hati. Harga yang terlalu murah dengan keadaan rumah yang sudah lama tidak berpenghuni, membuatkan Eric mahu Airin untuk lebih berhati-hati. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 01, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SEMUA UNTUKMUWhere stories live. Discover now