"Argh! Saya tak peduli! Sekarang ni, saya tak nak tengok muka budak-budak ni lagi di dalam rumah saya ni. Saya tak sanggup nak jaga mereka yang ramai. Kalau cikgu nak, cikgu boleh angkut mereka semua balik ke rumah cikgu! Saya nakkan rumah saya semula. Ini rumah pusaka, cikgu faham tak?" Kedengaran suara anak Hajah Halimah yang meninggi sebaik sahaja majlis tahlil selesai. Najihah terduduk usai mendengar permintaan 'abang sulung'nya itu. Mujurlah adik-adik yang lain sudah tidur semuanya. Hanya dia sahaja yang tinggal.
"Ya, saya faham dengan apa yang Encik Hashim nak sampaikan. Tapi, benda ni makan masa untuk diuruskan. Saya minta waktu dalam seminggu untuk uruskan penempatan mereka. Sekarang dah lewat malam, takkanlah saya nak pindahkan mereka sekarang juga! Kenanglah sikit kasih sayang yang Hajah Halimah dah curahkan pada budak-budak ni, encik," pinta Ustaz Amin. Rasa kasihan pada anak-anak ini dan kesal dengan sikap Encik Hashim bercampur baur jadinya.
"Kenapa tak boleh? Sekolah cikgu pun ada asrama, bukan? Bawa sahajalah mereka ke sana. Saya dah tak kuasa nak uruskan budak-budak ni. Tak payah nak kenang sangatlah orang yang dah tiada. Lagipun semasa mak saya hidup pun saya dah cakap dengan dia yang saya tak nak budak-budak ni. Dia memang dah lama tahu pun pasal niat saya ni." Encik Hashim terus mendesak. Dia bertegas mahu rumah itu dikosongkan segera.
"Memang ada asrama, tapi sekarang ni waktu cuti sekolah. Asrama tu kosong tak ada sesiapa. Boleh tak kalau saya nak minta masa seminggu lagi untuk mereka tinggal di sini sementara waktu. Saya akan cuba uruskan segala-galanya secepat mungkin. Makan, pakai mereka semua saya akan uruskan. Saya cuma minta rumah ni lagi seminggu sahaja. Selepas ni, saya akan pastikan rumah ni kosong macam yang Encik Hashim mahukan." Cikgu Nadzhari dan Ustaz Amin berusaha memujuk. Umpama langit dan bumi, sikap Encik Hashim yang langsung tidak sama seperti ibunya yang cukup dihormati oleh masyarakat sekeliling.
"Baik! Saya bagi masa seminggu. Tapi saya nak benda ni selesai cepat. Lagi cepat lagi bagus. Lepas ni, bayang budak-budak ni pun saya tak nak tengok. Tolong bawa mereka keluar macam yang cikgu janjikan. Kalau tak, saya buang aje mereka semua ke tepi jalan," ugut Encik Hashim.
Rumah ini kalau boleh mahu dia kosongkan hari ini juga. Sementelah ibunya juga sudah meninggal dunia, dia mahu menyewakan sahaja rumah ini kepada sesiapa. Duit sewa yang bakal diperoleh itu rasanya lebih berbaloi digunakan untuk belanja dapur daripada disia-siakan kepada budak-budak yang tak tahu asal usulnya itu.
"Baik! Saya janji. Mereka akan saya bawa keluar secepat mungkin sebaik sahaja kami jumpa tempat baharu." Ustaz Amin memberikan jawapan pasti. Mereka kini tiada pilihan lain. Nasib anak-anak malang yang hidup di dalam rumah jagaan tidak berlesen itu perlu dia lindungi.
Tempoh seminggu yang diberi sudah pun tamat. Ustaz Amin datang membawa berita gembira dan juga sedih bersamanya. Berita gembiranya ialah mereka semua sudah ada penempatan untuk memulakan hidup baharu manakala berita sedihnya pula mereka bakal dipisahkan mengikut kekosongan tempat. Mereka tidak akan tinggal bersama lagi, namun mujurlah mereka semua akan dihantar dalam kelompok kecil dan bukan berseorangan.
Hafiz dan Fazli sudah pun dibawa pergi ke rumah baru mereka di Sungai Petani dua hari lepas. Adira, Sofia dan Nabila pula dibawa ke Bayan Baru. Kini Najihah sedang tegar menghadapi perpisahan yang seterusnya.
"Ini biskut dengan air untuk Hani. Jangan lupa kongsi dengan Dalili, tau," pesan Najihah sambil dia memeluk erat Hani. Dalili yang sedang tidur sudah didukung oleh penjaga barunya ke kereta. Sayu benar hati Najihah mengenang nasib anak kecil yang baru berusia enam tahun.
"Kakak tak nak ikut Hani ke?" Hani seakan-akan boleh membaca apa yang sedang terjadi. Kereta yang akan membawa mereka sudah pun dihidupkan enjinnya di tengah laman. Dua adiknya yang paling muda ini akan dihantar ke rumah anak yatim di Pulau Pinang.
"Akak tak boleh ikut. Tak ada orang nak jaga Abang Adam dan Abang Lutfi. Hani pergi dulu. Nanti akak cari Hani dengan Dalili dekat sana tau." Satu senyuman paling palsu Najihah ukirkan pada Hani. Ketiga-tiga adik lelakinya itu akan dibawa ke tempat baharu petang ini juga. Kesemua mereka bakal menempuh hidup serba baru dan sejujurnya Najihah sendiri tidak tahu apa yang bakal mendatang untuk dirinya selepas ini.
"Nanti akak datang tau." Sebungkus biskut kecil yang diberikan Najihah sebentar tadi dihulurkan semula oleh Hani kepadanya seakan-akan mahu memujuk. Sesak rasa dada Najihah kerana terlalu menahan tangis.
"Hmmm, akak janji." Najihah mencium pipi Hani sebelum tangan kecil itu beralih ke tangan yang lain. Penjaga baru Hani dan Dalili kini bakal mengambil alih tugas Hajah Halimah selepas ini.
"Adam tak nak pergi kalau akak tak ikut sekali. Jangan dekat!" jerit Adam yang sedang menyorok di belakang almari. Sebatang kayu mop dipegang kemas bagi menghalang sesiapa sahaja yang mahu membawanya pergi jauh dari Najihah.
"Kita dah tak boleh tinggal di sini lagi. Adam kena pergi juga." Najihah susah hati dibuatnya dengan sikap agresif yang ditunjukkan Adam. Dia bimbang jika perangai Adam yang sukar dikawal ini menimbulkan tanggapan negatif pada penjaga barunya.
"Akak yang janji nak jaga Adam. Akak yang janji dulu!" Adam berang apabila dia kini ditinggalkan lagi setelah dia percaya sepenuhnya pada Najihah.
"Akak tahu. Akak minta maaf, Adam." Najihah menangis. Menghantar Adam adalah tugasan yang paling sukar dia rasakan saat ini.
"Adam tak nak pergi! Kalau akak tak ada, Adam tak nak pergi. Janganlah paksa!" Kayu mop berkenaan dihempas ke dinding almari.
"Angkat dia!" arah salah seorang penjaga yang kelihatan sudah kurang sabar menunggu. Sesi pujuk-memujuk yang berlarutan hampir dua jam membuatkan mereka berkeputusan untuk mengendong sahaja Adam masuk ke dalam kereta.
"Adam tak nak pergi! Akak, Adam tak nak pergi!" Kayu mop yang berada di dalam genggaman terlepas saat dia bergelut untuk melepaskan diri. Tiada apa yang mampu Najihah lakukan selain menghantar adik-adiknya dengan tangisan.
Rumah dua tingkat yang penuh dengan gelak tawa kini sunyi sepi. Najihah menangis sendiri. Dia kini hilang semua. Hilang emaknya dan adik-adiknya. Hilang rumah dan tempat tinggal serta semuanya. Kini, yang tinggal hanya dia. Dia akan tinggal sementara di asrama sebelum dijemput oleh keluarga angkatnya. Kesemua mereka kini sudah ada tempat tinggal masing-masing atas bantuan pihak sekolah.
YOU ARE READING
SEMUA UNTUKMU
قصص عامةajuk: Semua Untukku Penulis: Adry Tihani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-111-0 Halaman : 480 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2019