Baru satu minggu cuti penggal akhir persekolahan bermula, Najihah sudah mulai jemu. Seperti biasa, dia memulakan aktiviti pagi harinya dengan menyiram segala jenis tanaman yang ada di halaman rumah termasuklah pokok jambu air yang sudah mula mengeluarkan pucuk baharu. Satu senyuman terukir melihat pohon berkenaan tumbuh subur dan sihat. Dua bulan telah berlalu, hari-hari yang dilalui Najihah ternyata kurang serinya tanpa gangguan dan usikan Adi Fakhri.
"Awalnya Adam bangun?" soal Najihah pada Adam yang muncul tiba-tiba. Seperti selalu, Adam akan menempel padanya setiap masa.
"Adam lapar. Tadi Adam pergi cari akak dekat bilik bacaan tapi akak tak ada, sebab tu Adam cari akak dekat luar," jawab Adam sambil dia mengekori langkah Najihah ke mana-mana.
"La, kenapa tak minta sarapan daripada mak? Kan mak ada dekat dalam rumah." Najihah bingkas menutup paip air untuk masuk ke dalam rumah. Dia berniat mahu mengambil makanan untuk Adam dan mencari emaknya yang langsung tidak nampak batang hidung usai mereka semua bersolat subuh berjemaah awal pagi tadi.
"Mak tidur, sebab tu Adam cari akak," jawab Adam jujur. Sebelum dia datang ke sini, dia sudah menjengah emaknya yang tertidur pulas.
"Takkanlah mak tidur?" Najihah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Selama dia menghuni di rumah ini bertahun-tahun dahulu, emaknya tidak pernah tidur selepas subuh.
"Betul, kak. Adam dah panggil banyak kali tapi mak tak nak bangun juga," jawab Adam seraya mengekori Najihah masuk ke dalam rumah.
"Mak! Mak!" Najihah terus memanggil-manggil Hajah Halimah sambil dia menyusuri anak tangga ke bilik Hajah Halimah. Adam, dia tinggalkan di dapur dengan sepinggan mi goreng dan secawan Milo suam.
Setelah beberapa kali mengetuk pintu bilik, Najihah akhirnya menolak sahaja daun pintu tanpa menunggu sahutan emaknya. Ruang bilik tidur itu lengang, bilik air juga tiada penghuni. Najihah berjalan menuju ke balkoni dalam usahanya mencari Hajah Halimah.
"Mak! Orang panggil dari tadi lagi. Kenapa tak sahut panggilan Jihah?" Susuk Hajah Halimah sedang elok berehat di atas kerusi malas dekat balkoni rumah. Dia mungkin baru sahaja selesai menunaikan solat duha kerana kain telekungnya masih lagi tersarung kemas.
"Mak! Mak!" Nada suara Najihah mula mengendur apabila emaknya langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Tubuh yang sedang duduk itu langsung tidak menyambut panggilan apatah lagi berpaling melihatnya.
"Mak!" Air mata Najihah pecah. Berkali-kali dia cuba menggerakkan emaknya namun tidak berjaya. Tubuh itu sudah pun kaku. Kaki dan tangan emaknya terasa dingin. Emaknya sudah tiada. Hajah Halimah meninggal sendirian di biliknya.
Najihah mengutip semula cebisan semangat yang tinggal sedikit itu. Selaku anak yang paling tua, dia perlu kuat bagi menghadapi masa sulit ini. Perkara pertama yang dia mampu fikirkan saat itu adalah menghubungi pihak sekolah. Mujurlah pihak sekolah berjanji akan menghantar wakil guru secepat mungkin untuk ke situ. Kini, dia perlu mengumpul kesemua adik-adiknya untuk menjelaskan apa yang terjadi. Segalanya cuba dilaksanakan setenang yang mungkin.
"Kak, kami nak tengok mak," pinta Adira pada Najihah saat mereka semua berkampung di dalam bilik. Matanya yang bengkak mengundang rasa hiba sesiapa sahaja yang melihat. Suasana di luar semakin sesak. Ramai sanak saudara Hajah Halimah mula membanjiri kawasan rumah itu.
"Tadi kan kita semua dah tengok. Biarlah saudara-mara mak pula urus. Akak janji, nanti akak bawa semua pergi melawat mak dekat tanah perkuburan. Boleh, kan?" Najihah memujuk dalam tangis. Sukar dia mahu memenuhi permintaan adik-adiknya bila mana kehadiran mereka semua langsung tidak disenangi oleh Encik Hashim apatah lagi sejak awal, Najihah sudah mendapat amaran untuk membawa adik-adiknya jauh dari jenazah. Mengganggu katanya.
"Tapi lepas ni, kita dah tak boleh jumpa mak. Sekejap aje, bolehlah kak." Sofia juga turut menangis saat ini. Mata adik-adiknya yang lain juga terus memandangnya dengan penuh harapan.
"Tak boleh," geleng Najihah perlahan. Dia perlu bertegas sekarang.
"Kita tengok dari jauh sudahlah. Nanti kita pergi tanah perkuburan." Najihah mendepakan tangan dan kesemua anak-anak Rumah Nur datang memeluknya. Saat ini, dia terpaksa menolak. Peringatan Encik Hashim tadi perlu dia hormati.
"Akak janji, nanti kita pergi," tutur Najihah yang sudah tenggelam dalam hujan air mata. Dia tidak dapat menahan sebak saat itu. Pemergian Hajah Halimah secara tiba-tiba memberi kesan yang cukup mendalam kepada mereka semua.
YOU ARE READING
SEMUA UNTUKMU
Fiction généraleajuk: Semua Untukku Penulis: Adry Tihani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-111-0 Halaman : 480 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2019