"Dia datang ke tak agaknya hari ni?" soal Najihah dalam hati sebaik sahaja dia menapak ke dalam van untuk ke sekolah.
Sebenarnya, sejak kelmarin lagi hatinya diterpa rasa hampa. Adi Fakhri tidak menjemputnya di hadapan pintu masuk seperti yang dia janjikan sendiri. Dia juga tidak kelihatan di dalam perhimpunan harian. Dia langsung tidak terlihat di mana-mana. Walaupun mulutnya sering mengatakan rasa kurang senang dengan kehadiran Adi Fakhri, namun hatinya merasakan yang sebaliknya. Najihah merasakan harinya cukup kosong dan membosankan tanpa kehadiran Adi Fakhri seperti biasa.
"Oh, dia ada." Keterujaan Najihah terzahir dengan tiga patah kata yang laju terpacul tatkala kelibat Adi Fakhri bertamu di matanya. Kehadiran Adi Fakhri di tepi tembok sekolah itu mengundang senyum di bibir Najihah. Jiwa mudanya berbunga melihat kelibat Adi Fakhri yang masih memegang janji untuk menjaganya selagi tangannya belum pulih.
"Bak sini beg awak tu," pinta Adi Fakhri. Dia tersenyum nipis sambil menghulurkan tangannya pada Najihah sebaik sahaja gadis itu menyelesaikan tugas hakikinya untuk memastikan kesemua adik-adik yang lebih muda dari Rumah Nur masuk ke kawasan sekolah seperti yang sepatutnya.
"Kenapa dengan kepala awak?" Permintaan Adi Fakhri langsung tidak diendahkan oleh Najihah. Penampilan baharu Adi Fakhri yang membuatkan dia terpegun. Dia jauh lebih tertarik untuk mengetahui sebab musabab Adi Fakhri membotakkan kepalanya.
"Budak ni! Kenapalah kepala saya juga yang awak tilik?" Adi Fakhri membulatkan matanya. Soalan spontan Najihah meruntuhkan sedikit demi sedikit tembok yang terbina antara mereka sebelum ini. Adi Fakhri merasakan yang Najihah sedikit sebanyak turut mengambil berat tentang apa yang terjadi kepada dirinya saat ini.
"Awak tahu tak? Dari jauh lagi saya dah nampak awak dekat sini sebab kepala awak bersinar diterangi lampu neon ni. Kenapa tiba-tiba botak licin macam ni?" Najihah ketawa mengekek. Jarinya diunjukkan pada 'lampu neon' yang terang di atas kepala mereka sekarang.
"Shining sangat ke?" Sisa tawa yang masih kedengaran menyebabkan Adi Fakhri sedikit kaget. Dia tidak boleh membayangkan situasi yang diceritakan oleh Najihah mengenai kepalanya yang berkilau tadi.
"Tak adalah. Saya gurau aje." Najihah membetulkan kedudukan beg yang sedang disandangnya. Setelah beberapa hari berlalu, tangan Najihah sudah mula pulih seperti biasa.
"Bak sini beg awak tu. Saya tolong bawa," pinta Adi Fakhri sekali lagi. Dia sememangnya menunggu Najihah di situ untuk membantu gadis itu seperti biasa.
"Awak pegang bukulah. Saya galas beg ni sendiri lagipun tangan saya dah rasa okey sikit." Buku teks yang dipegangnya dihulurkan kepada Adi Fakhri.
"Dah betul-betul okey ke?" Adi Fakhri melihat sahaja setiap gerak tangan Najihah yang masih kelihatan kekok di matanya.
"Dah pulih dah. Awak tak payah nak rasa bersalah lagi. Tangan saya dah fully recovered. Tengok ni." Tangan kirinya yang tercedera tempoh hari diangkat tinggi. Najihah kini mahu menutup segala ruang yang boleh membuatkan Adi Fakhri ragu pada kata-katanya.
Gelagat Najihah itu hanya disambut dengan anggukan Adi Fakhri. Dia puas hati melihat keadaan tangan Najihah yang sudah semakin pulih. Mereka berdua akhirnya mulai berjalan menuju ke kelas Najihah seperti biasa.
"Kenapa semalam saya langsung tak nampak muka awak? Awak pergi mana?" Buat pertama kalinya Najihah menyoal Adi Fakhri dengan santai. Setelah beberapa hari 'diganggu' oleh Adi Fakhri, dia sedar yang Adi Fakhri bukan sengaja mahu mengganggunya. Dia hanya merasa bersalah dengan apa yang terjadi. Oleh itu Najihah mahu bersikap lebih terbuka dengan Adi Fakhri selepas ini.
"Ada aje dekat-dekat sini, tak pergi mana pun. Kenapa? Awak cari saya ke semalam?" Adi Fakhri berpaling mencari wajah tembam itu untuk ditilik. Soalan berbaur rasa ingin tahu yang disuarakan oleh Najihah itu mengundang senyum nakal di bibir Adi Fakhri.
"Mana ada! Saya tak cari awak pun." Pantas sahaja Najihah menafikan telahan Adi Fakhri.
"Awak datang ke tidak ke sekolah kelmarin? Rambut pula kenapa botak?" sambungnya lagi. Najihah langsung tidak mahu memberi reaksi pada soalan Adi Fakhri sebentar tadi. Dia sebaliknya mahu tahu kenapa Adi Fakhri langsung tidak mencarinya kelmarin.
"Awal lagi, kan? Jom, kita berborak di kafe. Nak tak?" ajak Adi Fakhri. Dia cuba mencari ruang untuk meluangkan lebih masa untuk Najihah hari ini. Mungkin kerana rindu atau mungkin juga kerana mahu mencari teman berbual. Dia sendiri tidak pasti dengan segala tindakannya saat ini. Yang pasti, dia mahu meluangkan sebanyak masa yang boleh untuk bersama-sama dengan Najihah.
Tanpa banyak soal, Najihah mengikut sahaja langkah yang diatur Adi Fakhri. Mereka berdua berjalan menuju ke kafeteria seperti yang dirancang. Bertemankan dua gelas teh susu suam, mereka berdua berbual di meja paling hujung sekali.
"Kenapa tak datang sekolah semalam?" Soalan sama diulang oleh Najihah. Dia mahu tahu apa yang terjadi. Selagi Adi Fakhri tidak menjawab soalannya itu, selagi itu dia akan terus bertanya.
"Adik saya masuk hospital beberapa hari lepas. Dia pengsan dekat rumah. Kelmarin kami satu keluarga berkampung di hospital." Adi Fakhri melepaskan satu keluhan berat. Dia terlihat serius.
"Oh, awak ada adik? Dia sakit apa? Maaf saya menyibuk!" Najihah segera memohon maaf kerana agak menyibuk. Dia seakan-akan baru tersedar akan sikapnya yang kurang peka tatkala dia melontarkan soalan-soalan berkenaan.
"Tak payahlah mintak maaf. Benda kecil aje pun. Saya memang ada seorang adik. Nama dia Fahmi. Umurnya empat belas tahun," jawab Adi Fakhri sambil dia menghirup teh yang sudah suam itu.
"Dia disahkan ada kanser paru-paru sekitar tahun 2014. Doktor cakap dia dah pulih sepenuhnya tapi dia pengsan semula dua hari lepas. Ada kemungkinan yang penyakitnya dah kembali menyerang semula. Kalau betullah apa yang doktor cakapkan, keadaan dia mungkin akan bertambah teruk," tambah Adi Fakhri lagi.
"Dia dah sedar ke?" Lidah Najihah kelu jadinya. Otaknya langsung tiada idea mahu memilih soalan yang bersesuaian sekarang.
"Dah! Dia cuma pengsan sekejap aje. Kami semua sedang tunggu keputusan ujian darah sahaja tapi dia sendiri cakap yang dia yakin penyakit tu dah datang semula. Dia yang minta saya potong rambut dia masa berada di dalam wad. Kebetulan, lepas saya selesai potong rambut Fahmi, abah saya pula mintak saya potong rambut dia. At the end, kami semua botakkan rambut sebab nak sokong Fahmi. Nampak pelik sangat ke kalau saya botak?" soal Adi Fakhri pada Najihah. Kepalanya yang botak licin itu digaru tanpa sebab. Dia yang langsung tidak pernah membotakkan kepala, merasa janggal sekali untuk berpenampilan begitu.
"Tak adalah. Tak pelik pun. Lagipun, adik awak mesti gembira. Dia ada abang dengan abah yang sanggup botakkan kepala demi dia." Najihah memuji sikap Adi Fakhri yang beria-ia mahu mengambil hati adiknya walaupun dia nampak tidak selesa dengan gaya rambut barunya itu.
"Saya harap macam itulah. Dia nampak macam langsung tak bersemangat sejak berada di hospital. Saya harap sangat yang keputusan ujian darahnya nanti negatif." Itulah doa yang sering Adi Fakhri pinta untuk adiknya.
"Insya-Allah negatif. Sama-samalah kita doa." Najihah turut mengaminkan doa Adi Fakhri. Sesungguhnya ujian Allah datang dalam berbagai-bagai bentuk dan cara.
"Nah, makanlah. Semoga awak ceria sedikit hari ni." Kek keju yang dibeli tadi disuakan kepada Adi Fakhri. Hanya itu sahaja yang Najihah ada sekarang bagi mengurangkan rasa gundah Adi Fakhri saat ini. Dalam diam, dia turut sama berharap agar doa yang dipanjat keluarga Adi Fakhri dimakbulkan Allah.
YOU ARE READING
SEMUA UNTUKMU
General Fictionajuk: Semua Untukku Penulis: Adry Tihani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-111-0 Halaman : 480 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2019