Bab 13

867 14 0
                                    

"Fahmi, buka pintu ni! Mama cakap, buka sekarang!" Datin Azizah mula mengetuk pintu bilik Adi Fahmi dengan kuat. Dia masih berusaha untuk memujuk Adi Fahmi yang sudah berhari-hari mengurung diri.

"Fahmi tak nak cakap dengan mama lagi! Jangan paksa Fahmi. Fahmi takkan buka pintu tu," bantah Adi Fahmi.

Dia tidak mahu dan tidak akan ke hospital lagi. Setelah berkali-kali menerima harapan palsu, berkali-kali dipaksa menjadi bahan eksperimen pada ubat-ubatan baharu yang tidak menunjukkan apa-apa kesan, Adi Fahmi serik. Penyakitnya itu sudah terlalu serius untuk diubati. Dia tekad.

"Dengar cakap mama, boleh tak? Buka pintu ni sekarang!" Suara Datin Azizah semakin meninggi.

"Tak nak! Jangan panggil nama Fahmi lagi. Fahmi tak nak keluar!" tengking Adi Fahmi dari dalam bilik. Suasana jadi tegang semenjak Adi Fahmi mula berubah agresif. Anak yang selalu menurut kata itu kini bukan lagi Adi Fahmi yang dulu. Emosinya cepat benar berubah malah kadangkala sukar dibaca.

"Tak apa! Fahmi tunggu sekejap." Mata Datin Azizah meliar. Dia hampir lupa di mana tempat dia letakkan semua kunci pendua rumah.

"Zah! Sabar. Janganlah paksa dia sampai macam tu. Pujuk elok-elok." Dato Abdul Jalil mula campur tangan apabila isterinya kelihatan tenggelam dengan emosi sendiri.

"Dah berapa hari dah dia tak nak pergi hospital. Sampai bila nak berkurung macam tu? Zah tak kira, kalau Zah kena heret dia sekalipun, Zah akan heret."

Pintu bilik Adi Fahmi diketuk lagi. Datin Azizah terdesak. Dia kini terdesak untuk memaksa Adi Fahmi menyambung semula rawatannya yang telah tergendala kerana Adi Fahmi enggan memberi kerjasama.

"Dah, sudah. Cukuplah. Biar abang yang bercakap dengan dia. Okey?" Dato Abdul Jalil mengambil langkah selamat. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi suasana sekarang. Isterinya nampak sukar mengawal emosi sekarang.

"Dah berapa hari dah ni, bang? Kita kena paksa dia. Zah tak nak dengar lagi semua alasan dia. Mahu tak mahu dia kena pergi hospital juga!" Datin Azizah enggan berganjak. Dia tidak mahu mengambil risiko lagi. Adi Fahmi perlu dibawa ke hospital segera.

"Tunggu dulu. Tunggu! Biar abang pujuk dia. Jangan paksa dia sampai macam ni. Kalau dia lari dari rumah macam mana?" Dato Abdul Jalil cuba menyekat perbuatan Datin Azizah yang mahu menceroboh masuk ke dalam bilik Adi Fahmi.

"Zah tak nak buat macam ni, tapi Fahmi kena pergi hospital. Zah tak nak kehilangan dia, abang faham tak?" Datin Azizah gagal mengawal naluri keibuannya. Dia menangis tersedu mengenangkan anak bongsunya yang kelihatan sudah berputus asa. Sikap Adi Fahmi yang enggan menjejakkan kakinya lagi ke hospital, menambahkan kekusutan.

"Abang faham perasaan Zah, tapi kita kena dengar dulu apa yang dia nak cakap. Paksa pun tak guna kalau dia tak nak," pujuk Dato Abdul Jalil. Selaku ketua keluarga, dia perlu bersikap lebih tenang.

"Fahmi, tolong buka pintu ni untuk abah. Kita bincang, okey!" Dato Abdul Jalil turut berada di situ.

"Fahmi nak cakap dengan abah aje. Fahmi tak nak jumpa mama." Adi Fahmi memberikan syaratnya sendiri. Dia perlu bercakap dengan orang yang mahu mendengar kerana dia pasti, Datin Azizah akan terus-terusan memaksanya untuk meneruskan rawatan.

"Okey! Abah janji. Mama takkan masuk campur." Dato Abdul Jalil mengalah. Dia perlu mendapatkan anak bongsunya saat ini.

Adi Fahmi mengalah. Pintu biliknya yang dikunci dari dalam dibuka. Tubuh kurus kering dengan wajah yang cukup pucat itu muncul di balik pintu.

"Jangan nak banyak cakap lagi. Mama tak nak dengar apa-apa pun."

Tubuh Dato Abdul Jalil yang sedang berdiri di depan pintu bilik ditolak kasar. Tanpa bercakap banyak, Datin Azizah terus merempuh masuk. Seperti yang dia cakapkan tadi, jika dia perlu mengheret Adi Fahmi hari ini, dia akan heret sampai ke pintu hospital.

"Fahmi tak nak!" Pegangan tangan mamanya cuba direntap namun gagal. Adi Fahmi sedar yang dia bukan lagi remaja lincah seperti dulu.

"Pleaselah, dengar cakap mama." Pegangan Datin Azizah terlepas saat Adi Fahmi merebahkan diri.

"Sabarlah, Zah. Kenapa buat perangai macam ni? Kan abang dah cakap yang abang nak bincang dengan dia dulu. Yang awak terburu-buru sangat ni, kenapa?" Dato Abdul Jalil hilang sabar. Kerenah Datin Azizah menyebabkan suasana kecoh di dalam rumah itu.

"Macam mana nak sabar? Zah rasa macam nak gila dah sekarang ni. Dia berhenti makan ubat macam tu sahaja. Rawatan pun dia tak nak teruskan. Lama-lama dia boleh mati bila-bila masa sahaja. Abang faham tak?" Datin Azizah berang. Kesihatan Adi Fahmi adalah keutamaannya saat ini.

"Fahmi tak nak mati di hospital. Bagilah Fahmi mati dengan tenang. Tak boleh ke?" Adi Fahmi bangkit. Tangisan mamanya serta wajah keruh abahnya membuatkan hatinya hancur berderai.

Datin Azizah terduduk manakala Dato Abdul Jalil hanya menggeleng perlahan. Soalan yang keluar dari mulut Adi Fahmi seakan-akan sedang menyiat tangkai hati mereka berdua. Permintaan Adi Fahmi untuk mati dengan tenang, merobek jiwa mereka dan melenyapkan kesemua harapan yang mereka ada.

"Fahmi dah penat, ma! Semua ubat-ubat tu dah tak ada guna lagi. Dah tak ada guna," ujar Adi Fahmi yang masih berharap agar Datin Azizah memahami hasratnya saat ini.

Dari kejauhan Adi Fakhri sekadar menjadi pemerhati.

Jika di Malaysia hidup Najihah kucar-kacir, hidup Adi Fakhri di sini juga tidak jauh beza. Masing-masing sedang melalui masa perit yang cukup menyeksakan. Wajah keruh abahnya serta wajah bengkak mamanya yang sepanjang masa menangis menjadi tatapan Adi Fakhri. Keluarga ini sudah tidak seperti dulu lagi. 

SEMUA UNTUKMUWhere stories live. Discover now