Bab 8

799 10 0
                                    

Hari ini, mereka semua berkumpul semula di hospital bagi mendapatkan jawapan pasti. Keputusan ujian darah secara terperinci sudah pun keluar dan jawapan yang bakal meluncur dari bibir abahnya yang baru sahaja bertemu dengan Doktor Ismadi bakal menjadi penentu kepada segala-galanya.

"Fahmi nak jawapan paling jujur yang abah boleh bagi. Doktor cakap apa?" soal Adi Fahmi sebaik sahaja mama dan abahnya menjenguknya usai bertemu dengan Doktor Ismadi. Mamanya memegang erat tangannya manakala Dato Abdul Jalil terlihat ragu mahu memulakan bicara. Saat ini, mereka berempat duduk bersama bagi menghadapi situasi sukar. Tiada apa yang perlu disembunyikan lagi.

"Penyakit Fahmi berulang semula. Fahmi kena terus tinggal di sini untuk rawatan lanjut," jawab Dato Abdul Jalil sambil memandang isteri dan anak-anaknya silih berganti. Masing-masing terlihat hanyut dalam timbunan emosi. Masing-masing diam membisu.

"Penyakit ni dah semakin memburuk, kan? Dah susah nak sembuh kan, abah?" Adi Fahmi bersuara bagi memecahkan kesunyian.

Dato Abdul Jalil tidak mampu untuk meneruskan ayatnya. Lidahnya jadi kelu malah otaknya terasa tepu mahu menyusun kata-kata. Kesedihan isterinya, kebisuan Adi Fakhri dan kecekalan Adi Fahmi yang masih lagi menunggu jawapan daripadanya membuatkan dia merasa cukup terkesan. Dato Abdul Jalil akhirnya hanya mampu menganggukkan kepala. Telahan Adi Fahmi sememangnya benar belaka. Penyakit yang dihidapi sememangnya semakin buruk dan tiada apa yang boleh dilakukan oleh mereka sekarang.

"Janganlah menangis. Adik boleh terima semua ni." Adi Fahmi memujuk mamanya. Tiada langsung rasa terkejut yang terpapar di wajah Adi Fahmi, yang ada cuma rasa hampa. Siapa sangka dalam sekelip mata, kebahagiaan keluarga kecil ini bagaikan diragut semula. Kini, mereka hanya mampu berdoa agar segalanya baik-baik sahaja selepas ini.

"This is too much. Takkanlah kita nak duduk dan tunggu aje? Tak ada cara lain ke, abah?" Adi Fakhri bersuara jua akhirnya. Pada Adi Fakhri, segalanya masih belum berakhir selagi nyawa masih dikandung badan. Selagi ada jalan, selagi itulah mereka perlu berusaha untuk merawat penyakit Adi Fahmi.

"Tak! Kita takkan biarkan Fahmi sendiri melawan semua ni. Abah dah berbincang dengan Doktor Ismadi tadi. Dia ada kawan di Guangzhou yang sedang mencari pesakit kanser bagi menjalankan ujian ke atas ubat baharu yang masih dalam peringkat percubaan," ujar Dato Abdul Jalil.

"Abah dah buat keputusan. Kita akan cuba dapatkan rawatan lanjut untuk Fahmi di luar negara pula. Rawatan ini mungkin akan ambil masa yang cukup lama dan abah tak nak tinggalkan sesiapa di sini. Abah rasa, keputusan untuk berpindah ke China adalah jalan yang paling baik untuk kita semua," putus Dato Abdul Jalil yang sudah pun membuat keputusan nekad. Selagi termampu, dia akan melakukan apa sahaja demi memastikan anak bongsunya mendapat rawatan terbaik.

"Bila kita akan ke sana?" soal Adi Fakhri. Dia akan menerima apa pun keputusan abahnya sekarang.

"Secepat mungkin. Kita semua akan terbang ke Guangzhou segera sebaik sahaja keadaan mengizinkan. Abah akan uruskan segala prosedur pemindahan Adi ke sana. Mungkin dalam masa seminggu, semua urusan akan selesai. I will approach your teacher to discuss about this matter and I think that you should notify your friends about this too," cadang Dato Abdul Jalil. Segalanya sudah dirancang dengan teliti. Abahnya sudah bersedia dengan segala perancangan lengkap untuk mereka mulakan hidup di sana.

Jawapan daripada abahnya membuatkan Adi Fakhri terdiam seribu bahasa. Tiada apa yang lebih penting sekarang bagi dirinya selain daripada keluarga sendiri. Kini dia hanya mahu mempercepatkan semua agar Adi Fahmi boleh segera mendapat rawatan.

SEMUA UNTUKMUWhere stories live. Discover now