Bab 12

821 14 0
                                    

"Mak! Hani tak nak mandi," pekik Hani meminta simpati sebelum Najihah mengangkatnya ke bilik air. Perangai Hani yang memang malas mandi telah menjadi suatu isu besar di Rumah Nur saban hari.

"Mak! Pintu bilik air tercabut. Kak Jihah yang cabut," adu Fazli tiba-tiba sebelum pintu yang dia maksudkan tadi terhempas ke lantai. Hampir gugur jantung Najihah dibuatnya.

"Bukan akak yang buatlah. Pintu ni memang dah rosak!" Najihah membela diri sambil dia bertungkus lumus mahu memandikan Hani.

Argh, semua dah tak ada, bisik hati kecil Najihah. Air mata yang bergenang akhirnya jatuh.

Najihah duduk sendirian di dalam rumah besar itu. Meja makan yang sebelum ini meriah dengan suara bising adik-adiknya, kosong. Buat pertama kali di dalam hidupnya, Rumah Nur sunyi sepi. Gelak tawa adik-adiknya lenyap, tiada lagi kedengaran suara mereka bertengkar berebut mainan dan tiada lagi arahan tegas emak yang juga sudah pergi menghadap Ilahi.

"Yang lain semua dah berambus, engkau bila pula nak keluar?" tegur Encik Hashim sebaik sahaja wajah mereka bertembung. Dengan kunci yang dimilikinya, dia masuk sendiri ke dalam rumah itu tanpa dijemput. Dia merasakan yang dia tidak memerlukan izin sesiapa untuk terus masuk kerana rumah itu sejak dulu lagi adalah miliknya. Haknya.

"Dah bertahun engkau menumpang di sini, cari la tempat lain pula. Takkanlah seumur hidup aku nak kena tanggung kau?" sambung Encik Hashim dengan gaya yang cukup sinis. Kedatangannya hari ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan rumah itu kosong kerana sejak awal lagi dia memang sudah mengetahui bahawa hanya Najihah sahaja yang tinggal di rumah itu sekarang.

"Jihah tak tahu nak pergi mana," jawab Najihah pendek sambil dia menyeka matanya yang sudah berkaca. Semua anak-anak Rumah Nur yang lain sudah mendapat tempat dan hanya dia sahaja yang masih menunggu jawapan dari rumah kebajikan yang lain.

"Kau anak haram ke? Mak bapak kau mana? Dah mati?" soal Hashim bertubi-tubi. Tanpa mempedulikan langsung perasaan Najihah saat itu.

"Jihah tak tahu," geleng Najihah. Dia hanya mampu berdiri sambil menekur lantai kerana dia sememangnya langsung tiada jawapan kepada setiap soalan yang dilempar kepadanya tadi.

"Baguslah kalau macam tu. Kalau kau tak tahu, biar aku yang beritahu," putus Encik Hashim kerana masa untuk Najihah sudah tamat.

"Sekarang juga aku nak kau naik atas dan pergi bungkus semua barang-barang kau. Dah cikgu kau tu lembab sangat, aku sendiri dah carikan tempat tinggal untuk kau. Mereka akan bela kau, bagi kau makan dan tempat tinggal." Hashim tersenyum sumbing. Memang itulah sebenarnya tujuan dia muncul di rumah itu hari ini.

"Ke mana? Dia orang nak bawa Jihah pergi mana?" soal Najihah yang jelas takut-takut. Segala kemungkinan buruk serta prasangka mula muncul dalam fikirannya.

"Kau ikut aje la. Tak payah nak banyak sangat tanya!" tutup Encik Hashim. Malas dia mahu menjawab soalan-soalan daripada manusia yang tiada kaitan langsung dengannya itu. Salah seorang pelanggan di agensi pembantu rumah miliknya mahukan pembantu rumah tempatan. Saat ini, Najihah sudah 'dijual' oleh Encik Hashim tanpa sedikit pun rasa simpati.

Najihah mengeluh perlahan. Dia sudah tiada pilihan lagi. Langkah kakinya terasa longlai. Dia perlu membuka lembaran baru dalam hidupnya selepas ini walaupun dia sendiri kurang pasti sama ada lembaran yang dia peroleh itu lembaran baru, lembaran palsu mahupun lembaran yang sudah koyak. Masa depannya kini bergantung pada ihsan Encik Hashim sahaja.

"Arghhh." Najihah mencuba sedaya upaya untuk menarik bakul berisi baju-baju yang sudah dicuci untuk dikeringkan. Siang sudah berganti malam dan dia masih lagi sibuk membuat segala kerja yang diarahkan.

Rutin hariannya ini sudah berlangsung hampir setahun. Dari Rumah Nur, Encik Hashim membuangnya jauh ke selatan negara dan dia dijadikan orang gaji sepenuh masa. Dia terpaksa berkhidmat kepada tiga buah keluarga 'ibu dan bapa angkat'nya. Dari gelaran 'ibu dan bapa angkat' mereka kini bertukar menjadi majikannya.

Di situ, Najihah diberi gaji yang langsung tidak memadai serta dipaksa untuk berhenti sekolah. Najihah kini hanyalah seorang pembantu rumah di situ. Dia menjalani hidupnya sebagai buruh yang dikerah siang dan malam. Tak cukup sebuah rumah, dia dipaksa bekerja di tiga buah rumah yang berlainan. Tubuhnya yang gempal dulu, kini beransur kering. Semuanya sudah disusun awal-awal lagi oleh Encik Hashim. Dia tidak tahu apa-apa tapi dia yakin yang Encik Hashim sudah menjualnya.

"Jihah!" tengking satu suara tiba-tiba. Bakul yang dipegang Najihah hampir terlepas dan dia terkejut bukan kepalang.

"Kenapa, puan?" Wajah menyinga milik adik kepada 'ibu angkat'nya membuatkan Najihah cemas.

"Kau berani nak tanya lagi? Barang kemas aku mana? Kau dah gadai semua ke?" Dengan wajah menyinga, wanita yang berusia lingkungan empat puluhan itu mendekati Najihah lalu mencengkam ikatan rambutnya. Geram pula apabila dia menerima soalan bodoh daripada orang gaji yang tidak sedar diri itu.

"Saya tak ambil apa-apa pun. Saya tak tahu." Najihah menggeleng laju sambil memegang ikatan rambutnya yang dicengkam kuat.

"Jangan nak bohong! Kau sorang aje yang masuk ke dalam bilik aku hari ni. Kau sorang aje yang tahu dekat mana aku letak semua barang-barang kemas tu." Najihah hanya mampu mengaduh sakit kerana rambutnya masih lagi berada di dalam cengkaman.

"Tak! Saya tak ambil apa-apa pun." Najihah cuba meminta simpati.

"Kau tak nak mengaku, kan? Tak apa! Kau tunggu sini. Aku telefon polis," ugut majikannya tiba-tiba. Rambut yang dicengkam tadi dilepaskan. Majikan Najihah kini melangkah pergi untuk mendapatkan telefonnya.

Najihah ketakutan dibuatnya. Dia yang langsung tidak tahu apa-apa diselubung rasa takut dengan ugutan yang diterima. Matanya meliar. Dompet miliknya yang berada di atas meja dimasukkan ke dalam poket seluar. Di dalam kepalanya saat ini, dia tahu yang dia perlu lari. Melarikan diri adalah satu-satunya cara yang terlintas dalam fikirannya.

"Kau nak ke mana tu?!"

Najihah langsung tidak menoleh lagi. Kakinya sudah melangkah hingga ke luar pagar rumah berkenaan. Dengan langkah seribu, dia cuba berlari sejauh mungkin.

Rasa takut terus menghambatnya untuk terus berlari sehinggalah dia hampir sesak nafas. Langkah yang pada awalnya laju mula perlahan. Dia menoleh ke belakang kerana bimbang jika dia diekori oleh majikannya. Mujurlah tiada sesiapa yang kelihatan. Dalam pekat malam, Najihah berhenti di bahu jalan. Dia melepaskan satu keluhan berat mengenangkan apa yang terjadi tadi.

"Aku dekat mana ni?" Najihah meraup wajahnya sendiri. Peluh yang mengalir di pipi diseka perlahan. Jalan ini rasanya belum pernah lagi dia lalui. Mungkin kerana jalan ini merupakan jalan utama, kenderaan masih banyak di atas jalan walaupun waktu sudah berganjak ke dinihari. Fikirannya buntu dan dia hanya mampu memandang kosong setiap kenderaan yang melintas di hadapannya.

"Bummm!" Dalam kelekaannya, Najihah merasakan tubuh kurusnya tiba-tiba terlambung tinggi. Dia terlambung ke atas sebuah kereta sebelum tubuhnya jatuh bergolek beberapa meter di atas jalan. Tubuhnya kini bagai disagat dan Najihah terkedu. Dia kaku di situ dan kesakitan mula menjalar ke setiap inci tubuhnya. Wajahnya! Saat itu wajahnya terasa cukup kebas dan dengan tangan yang terketar, dia cuba menyentuh wajahnya sendiri. Kehadiran kepingan-kepingan kecil kaca yang bertaburan di wajahnya dapat dia rasakan sebelum pandangannya kabur dan dia tidak sedarkan diri.

SEMUA UNTUKMUWhere stories live. Discover now