Januari 2019
"So, macam mana dengan perisik celaka yang tipu kau tu?" Zain yang baru sahaja tiba, memulakan perbualan.
"Macam mana apa? Jadi kes polis aje la. Separuh hari jugalah aku menapak dekat balai tu, bertekak dengan dia." Adi Fakhri sekadar mencebik. Dia sebenarnya kecewa apabila segala usahanya untuk mencari Najihah langsung tidak membuahkan hasil.
"Dia mengaku ke tidak? Macam mana benda ni boleh jadi?" Zain menyoal lagi memandangkan Adi Fakhri hanya mengulas sedikit sahaja mengenai hal ini dalam perbualan mereka awal pagi tadi.
"Aku upah dia tu sejak tahun lepas lagi. Duit aku dia kebas, tapi habuk pun tak ada. Aku ada tekan juga mintak hasil kerja dia, tapi dia macam asyik mengelak aje. Aku mengamuk la, aku gertak dia. Lepas dua tiga hari dia hantar alamat rumah anak yatim dekat Negeri Sembilan. Katanya Najihah kerja dekat sana sebagai sukarelawan. Aku pun cakap la dekat dia yang aku nak balik jumpa Najihah sendiri, tapi dia cakap yang Najihah dah tinggal tempat lain pula. Najihah berhenti kerja, Najihah sambung belajar, Najihah begitu, Najihah begini," ujar Adi Fakhri yang jelas terlihat panas hati.
"Aku malas nak cakap banyak, memandangkan aku memang ada kerja nak dibuat di Malaysia, terus aku bungkus beg balik ke sini. At the end, kau nak tahu, alamat yang dia bagi kepada aku tu rupa-rupanya alamat ladang tembikai siapa entah. Apa lagi, aku heret la dia pergi balai," tambah Adi Fakhri lagi. Ketegaran mahu pulang dan berjumpa dengan Najihah sendiri membawa dia ke sebuah ladang tembikai yang cukup luas. Terkejut beruk dia dibuatnya.
"Macam-macam la kau ni. Kut ya pun kau nak upah penyiasat, cari la yang boleh dipercayai sikit." Zain geleng kepala dibuatnya dengan apa yang disampaikan Adi Fakhri.
"Aku terdesak sebenarnya. Cari sendiri tak dapat, nak tanya pada kawan-kawan dia memang seorang pun aku tak kenal, upah orang cari tapi aku juga yang kena tipu. Dah bertahun aku cari dia, aku dah mati akal sekarang," rungut Adi Fakhri yang masih dirundung hampa.
"Sekarang ni, aku cuma ada kau aje. Kau memang langsung tak ada maklumat pasal Najihah ke?" soal Adi Fakhri kepada Zain dengan penuh harapan.
Dia sekadar memandang sepi kawasan padang sekolah yang telah lama dia tinggalkan sambil melepaskan satu keluhan berat. Hari ini, dia kembali semula ke sini untuk menemui Zain yang juga sudah bertahun tidak ditemui dek masing-masing sibuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
"Aku memang tak dapat nak tolong kau. Maklumat tentang Najihah lepas dia keluar dari pulau ni memang aku tak ada langsung. Kesemua anak-anak dari Rumah Nur dipindahkan secara rawak. Kedudukan Najihah memang aku tak dapat kesan. Aku tak tahu sama ada dia dibawa ke rumah anak yatim lain ataupun dia dapat keluarga angkat," geleng Zain. Dia tidak ada langsung maklumat yang boleh dikongsi dengan Adi Fakhri.
"Kau orang kan rapat, takkan kau langsung tak pernah hubungi dia? Nombor telefon dia langsung tak ada ke? E-mel ke?" soal Zain lagi.
Segala yang terjadi pada penghuni Rumah Nur berlaku dengan cukup pantas. Zain masih ingat akan situasi yang cukup kalut terjadi bila mana, kesemua penghuni Rumah Nur diusir oleh anak Hajah Halimah tanpa belas.
"Dia tinggal di rumah anak yatim, Zain. Mana nak ada telefon sendiri. Yang ada pun, nombor telefon Rumah Nur. Aku dah cuba cari dia guna media sosial tapi tetap juga tak ada," geleng Adi Fakhri.
Lapan tahun dia tinggalkan bumi Malaysia dan ini adalah kali ketiga dia pulang dengan penuh harapan bagi menemui Najihah yang menghilang tanpa jejak.
Hajatnya bukan main-main. Janji yang dia sendiri tabur pada Najihah sebelum berangkat ke China masih lagi jelas dalam ingatan. Dia akan mencari Najihah semula sampai ke lubang cacing sekalipun.
![](https://img.wattpad.com/cover/180140978-288-k395793.jpg)
YOU ARE READING
SEMUA UNTUKMU
General Fictionajuk: Semua Untukku Penulis: Adry Tihani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-111-0 Halaman : 480 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2019