Bab 9

819 12 0
                                    

Langkah Adi Fakhri disusun laju ke pagar sekolah. Dia perlu segera mencari Najihah sebelum gadis itu dijemput pulang oleh van sekolah. Matanya menyorot segenap pelosok kawasan sekolah yang bakal dia tinggalkan tidak lama lagi. Langkah berat yang diatur bertukar ringan semula tatkala matanya menangkap kehadiran susuk tubuh Najihah yang ternyata masih belum lagi pulang. Najihah masih ada di pondok menunggu bersama-sama anak-anak dari Rumah Nur yang lain.

"Saya ingatkan awak dah balik. Van tak datang lagi ke?" tegur Adi Fakhri dengan nada yang cukup girang. Beberapa buah buku yang sedang dijinjing oleh Najihah 'dirampas' seperti biasa.

"Belum lagi. Van rosak lagi agaknya. Budak-budak lain pun dah kepanasan menunggu." Najihah juga turut tersenyum.

"Awak datang lambat ke pagi tadi? Saya ingatkan awak tak datang sekolah hari ni." Sejak pagi lagi dia menunggu Adi Fakhri, namun kelibat Adi Fakhri langsung tidak muncul.

"Awak tunggu saya ke pagi tadi?" Segaris senyuman muncul di wajah Adi Fakhri.

"Hmmm," angguk Najihah. Dia langsung tidak menafikan apa-apa kerana memang itulah yang dilakukannya. Kehadiran Adi Fakhri yang langsung tidak disenanginya beberapa minggu lalu kini menjadi perkara yang dia nanti-nantikan saban pagi.

"Saya lambat sikit hari ni. Jihah..." panggil Adi Fakhri. Berat rasa hatinya mahu menyampaikan berita pemergiannya ke China pada Najihah.

"Kenapa?" Najihah menyoal.

"Saya akan ke China beberapa hari lagi. Abah dah buat keputusan." Perlahan sahaja Adi Fakhri menyampaikan berita itu.

"Lama ke? Bila awak nak balik ke sini semula? Awak... Awak terus tinggal dekat sana ke?" Soalan demi soalan diajukan oleh Najihah. Hatinya berbunga hampa.

"Tak tahu lagi. Kena tengok keadaan Fahmi macam mana dulu," jawab Adi Fakhri. Jelas kedua-dua mereka sedang bersedih.

"Saya harap awak pergi tak lama." Najihah teragak-agak mahu meluahkan rasa hati. Dia terpukul dengan berita ini.

"Saya akan balik juga ke Malaysia. Awak tunggu saya balik nanti! Boleh?" Adi Fakhri tekad. Dia sukakan Najihah dan dia tahu yang Najihah juga begitu. Walaupun masih mentah, dia tahu apa yang dia rasakan saat ini.

Soalan Adi Fakhri dijawab dengan satu anggukan oleh Najihah. Matanya jelas berkaca. Sungguh hatinya terasa amat berat mahu melepaskan Adi Fakhri pergi.

"Bila awak bertolak?" Najihah menyoal.

"Pagi lusa. Awak ada masa tak esok?" Adi Fakhri memberanikan diri untuk bertanya. Dia yang bakal berangkat lusa merasa seakan-akan dikejar masa.

"Rumah Nur ada buat majlis esok. Kenapa?" jawab Najihah sambil dia cuba memaniskan senyuman. Walaupun masing-masing cuba menyedapkan hati sendiri, namun mereka berdua tahu bahawa selepas ini jarak yang bakal memisahkan mereka akan menjadi terlalu jauh.

"Saya ingat nak ajak awak keluar. Saya nak ajak awak jalan-jalan sebelum saya berangkat pergi. Kita tak pernah ke mana-mana dan langsung tak pernah buat apa-apa pun sebelum ni sebagai kenangan, kan?" jawab Adi Fakhri. Dia ingin melukiskan seberapa banyak memori yang boleh dengan masa yang berbaki hanya satu hari sahaja lagi.

"Tak bolehlah, saya tak boleh keluar. Kami dah rancang program ni lama dah. Saya tak boleh tinggalkan majlis tu esok." Najihah menggelengkan kepala. Dia yang juga penyelaras program Bumi Hijau di Rumah Nur perlu bertanggungjawab untuk memastikan program yang dirancang sejak beberapa minggu lalu berjalan lancar. Keberadaannya di dalam majlis itu esok adalah wajib.

"Rumah Nur anjur program apa, Jihah?" Adi Fakhri melepaskan satu keluhan kecil. Ada sedikit rasa kecewa yang bertamu dalam hatinya.

"Program Bumi Hijau. Ada ceramah alam sekitar sikit. Lepas tu ada gotong-royong. Majlis mula waktu petang tapi waktu pagi, kami kena buat persediaan tempat. Tak sempatlah kalau kita nak berjumpa pun." Najihah juga terlihat sedikit kecewa. Pemergian Adi Fakhri berjaya menorehkan rasa sedih dalam hati Najihah.

SEMUA UNTUKMUWhere stories live. Discover now