"Mawar! Mawar!" Walid melaung namaku dari jauh. Aku cuba berjalan sepantas yang mungkin dengan perut yang sudah membulat ke hadapan.
"Kenapa, walid?" tanyaku dengan penuh kerisauan.
"Najmuddin sudah sedar! Ayuhlah, Mawar. Kita pergi tengok."ujar walid dengan senyuman yang sangat bahagia. Pantas sahaja air mata kegembiraan menyelusuri pipiku yang sudah tembam. Baru semalam aku pulang daripada hospital, baru semalam aku sedih mengenangkan suamiku yang masih sakit.
"Ilyas, walid sudah sedar, sayang! Turun cepat." Aku menyeka air mataku dengan senyuman yang tidak berpenghujung. Panjang aku memanjatkan kesyukuran kerana Tuhan masih memberikan peluang kepada suamiku untuk meneruskan kehidupannya.
Sepanjang perjalanan, mindaku kerap mengarang sebaris demi sebaris atau sebuah wacana untuk aku ceritakan kepada Najmuddin. Aku sangat gembira dia sudah kembali bersama kami semua. Ilyas juga apa kurangnya, dia juga turut memberitahuku dia mahu bercerita tentang aktivitinya di sekolah.
Setibanya kami di bilik Najmuddin, kami melihat doktor masih lagi memeriksa keadaanya. Puteri yang tersendu-sedan di kerusi seoang diri berlari dan memeluk bonda.
"Najmuddin, engkau ....sudah sembuh." ujarku dengan air mata. Terketar-ketar bibirku menyebut namanya setelah sebulan dia meninggalkanku. Mata kami bertaut. Dia senyum kepadaku. Senyuman itu...
"Maaf, engkau pula siapa?" tanya Najmuddin dalam senyuman.
"Najmuddin? E-engkau tidak ingat aku...? Ini aku, Mawar. Isteri engkau." Bagai dipanah halilintar, aku tergamam. Badanku seolah-olah beku disaluti ais yang tebal. Aku hanya tersenyum, cuba bertolak-ansur dengan suamiku. Pasti dia masih runsing.
"Walid!" jerit Ilyas yang baru sahaja masuk ke dalam bilik rawatan selepas doktor itu keluar. Dia memeluk kaki Najmuddin dengan perasaan gembira. Terlompat-lompat Ilyas mahu memanjat katil itu. Aku menyeka air mata yang deras mengalir dengan cepat tatkala Ilyas melihatku.
Najmuddin kelihatan lebih runsing. Dia melihatku, alir matanya turun ke perutku yang sudah membesar, kemudian dia beralih kepada Ilyas yang berada di hujung katilnya.
"Jatuh nanti. Hati-hati." ujar Najmuddin sambil menarik Ilyas ke atas katil.
"Mawar mahu pergi tandas sebentar..." ujarku, memecah keheningan. Walid hanya mengangguk faham. Aku tidak mampu lagi berada di dalam bilik itu. Aku hanya mahu keluar. Pintu yang terkuak luas itu kututup rapat. Aku tidak dapat lagi membendung kesedihan yang memuncak. Tanganku perlahan-lahan memegang dinding, aku terlalu sakit. Hati aku pecah melihat Ilyas yang masih keliru.
Air mata yang makin rancak mengalir mengaburi pandanganku. Kakiku terasa lemah tatkala badanku perlahan-lahan jatuh terduduk di atas lantai. Aku menutup mulutku, tidak mahu mengeluarkan sebarang bunyi. Hati ini sangat sakit. Apakah yang aku fikirkan?
"Doktor hanya menjangkakan dia akan hilang ingatan. Itu hanya jangkaan. Aku tidak yakin bahawa kejadian itu betul-betul terjadi kepada Najmuddin. Dia tidak sedarkan. Apabila dia bangkit, semuanya akan menjadi seperti biasa..."
Apa yang aku fikirkan saat hati aku terdetik untuk menolak kemungkinan Najmuddin akan hilang ingatan? Ya Tuhan, hati aku tidak sedia. Segala memori indah yang terbenam di dalam benak kepalanya, sudah pun menjadi satu kotak yang kosong. Yang perlu diisi, yang perlu disiram, yang perlu aku tanam sendiri.
Aku bingkas bangun, menutup mataku dan meraut wajahku yang kelihatan merah. Aku cuba untuk terus tersenyum. Kelihatan Ilyas sudah berbaring di tepi Najmuddin manakala Puteri masih berada di dalam pelukan bonda. Kerusi yang kosong itu kutarik perlahan-lahan.
"Apakah yang engkau ingat, Najmuddin?" tanyaku. Tangannya kugenggam erat. Dia yang runsing hanya membiarkan sahaja. Matanya masih terpaut pada wajahku yang sugul.
YOU ARE READING
Selaut Kasih
RomanceSeisi alam terpaku dan berhenti melihat wajahmu, Kasturi. Cinta pertamaku. Sekilas ikan di air, ku tahu jantinanya. Namun sekilas pandanganmu ke hatiku, hatiku jadi tak menentu. Sakitkah aku, Mawar?