"Kamu jagalah diri di sana,ya? Jangan lupa tolong bonda dan walid. Ringan-ringankan tangan. Paling penting, jaga kandungan kamu." ujar ibu sambil memelukku erat. Ibu mengusap belakangku beberapa kali. Mengalir air matanya setiap kali aku pulang ke Kuala Lumpur.
"Ibu juga jaga diri. Jangan terlalu paksakan diri untuk siapkan baju tempahan." balasku pendek. Dahlia hanya mengangguk dan memelukku. Tiada apa yang perlu dikatakannya, hanya air mata yang membasahi pipi sebagai rasa.
Teksi yang bewarna merah lusuh itu tiba di perkarangan rumah. Kami sekeluarga sudah berdiri di tepi pagar. Talib juga ada bersama, menolong pemandu teksi itu meletakkan bagasi-bagasi di belakang kereta.
"Mawar pulang dulu. Assalamualaikum." ujarku sambil menyalami kedua belah tangan ibu. Ilyas juga turut serta, menyalami ibu, Dahlia dan Talib. Sempat juga dia mencium pipi Ali yang sudah terasa sebagai adiknya sendiri.
Aku dan Ilyas masuk ke dalam teksi. Pantas sahaja dia meluncur keluar daripada perkarangan rumah. Ilyas membuka tingkap, melambai-lambai mereka dengan perasaan sayu di wajahnya.
"Bonda, siapakah pakcik Talib itu?" tanya Ilyas. Soalan yang terpacul daripada mulutnya membuatkanku tergumam sebelum menjawab.
"Kekasih hati Maksu Dahlia." Aku mengenyitkan mata. Dagu Ilyas kucuit. Ilyas hanya tersenyum kambing. Perjalananku ke bandaraya hanya memakan masa 2-3 jam. Kepala Ilyas sudah terlentok di bahuku. Baru beberapa minit di dalam kereta dia sudah tertidur. Mujur sahaja pemandu teksi ini ramah orangnya.
Dia menceritakanku tentang pengalamannya. Sudah 20 tahun dia memandu teksi dan sudah 20 tahun dia melayan karenah-karenah pelanggannya. Berbagai karenah, berbagai cerita. Aku hanya ketawa dan tersenyum apabila dia semangat bercerita tentang pasangan suami isteri yang agak kelakar apabila mereka saling sakat-menyakat.
"Puan ni, mahu pergi ke mana?" tanya pemandu teksi itu, yang lebih gemar dikenal sebagai Husin.
"Saya mahu pulang ke Kuala Lumpur, suami saya berkerja di sini." ujarku lagi. Aku hanya mengusap kepala Ilyas, membuang pandangan ke luar tingkap.
"Oh suaminya kerja di mana pula?" tanyanya lagi.
"Perins & Will Halding." Jawabku dengan penuh keyakinan.
"Maksud Puan...Prince & Will Holding?" Dia membetulkan kesilapanku. Sejujurnya aku tidak mahir berbahasa inggeris. Pendidikanku juga terhad sehingga aku berumur 15 tahun sahaja.
"Ya. Maaflah, saya kurang mahir berbahasa inggeris. Datang pun dari kampung sahaja." jawabku sambil merah muka menahan malu. Pak Husin hanya mengangguk perlahan-lahan. Kami hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Mataku terasa semakin berat untuk menahan kantuk yang kian menyapa.
"Inilah tempat yang tertera di alamatnya." ujar Pak Husin, Dia kelihatan ragu-ragu dan sedikit resah. Mataku segar tatkala melihat rumah agam yang sangat mewah itu.
"Betullah. Ini rumah mak mertua saya." ujarku sambil menghulurkan beberapa not RM10 kepada Pak Husin.
"Puan ni...isteri Tuan Najmuddinkah?" tanyanya lagi. Matanya membuntang luas apabila aku mengangguk. Dia meminta maaf kepadaku beberapa kali sebelum melayanku lebih sopan seperti seorang permaisuri.
"Eh, berhentilah minta maaf. Saya orang biasa juga, Pak Husin." Ujarku dengan senyuman.
"Tetapi bolehkah kalau Pak Husin hantar saya di hadapan pintu? Banyak barang pula hendak diangkat, saya pun lemah sedikit hari ini. Mungkin penat." ujarku sambil menatap mata tua itu.
"Ya, ya baiklah Puan." katanya sambil membongkokkan badan, melihat kawasan sekeliling sambil memandu jauh ke dalam perkarangan rumah tersebut.
"Tetapi yang saya tahu...Tuan Najmuddin ada seorang isteri sahaja, bernama Puteri." Sambungnya lagi. Senyumanku mati. Aku terasa sedih di dalam hatiku, namun cepat-cepat kutepiskan perasaan itu.
YOU ARE READING
Selaut Kasih
RomanceSeisi alam terpaku dan berhenti melihat wajahmu, Kasturi. Cinta pertamaku. Sekilas ikan di air, ku tahu jantinanya. Namun sekilas pandanganmu ke hatiku, hatiku jadi tak menentu. Sakitkah aku, Mawar?