Bab 22 : Terbakarnya Satu Hati

31 3 0
                                    


Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Aku turun daripada katil yang mewah, dihiasi dengan pelbagai jenis hiasan. Bunga, renda dan kain sutera. Aku melihat Puteri yang masih tidur dengan nyenyak walau subuh sudah berkumandang. Aku mengeluh.

"Puteri, bangunlah. Solat subuh." Ujarku sambil menggerakkan kakinya.

"Pergilah dulu...Nanti saya solatlah." Rengek Puteri kemalasan sambil menepis tanganku. Aku membiarkan perempuan itu tidur. Pintu kubuka perlahan-lahan sebelum mata aku tertancap pada kelibat Mawar dan Ilyas yang usai mengambil wudhu.

"Ilyas, anak walid. Solat subuh, ya?" ujarku sambil perlahan-lahan menerpa lelaki kecil itu. Sungguh comel melihat Ilyas yang cuba untuk berkain pelikat dan berkopiah besar.

"Ya, ibu puteri di mana, walid? Ayuhlah solat bersama-sama." Jeritnya girang sambil melihat ke arah bilikku.

"Ibu puteri... tidur." Aku tergamam mendengar bait-bait ayat daripada mulut Ilyas. Ibu puteri? Aku melihat Mawar yang sudah siap bertelekung putih. Mukanya tenang sahaja melihatku. Senyumannya masih mendamaikan hatiku.

"Engkau yang ajarkah, Mawar?" tanyaku sambil mengambil sejadah yang tergantung elok di tepi pintu.

"Ya lah, Najmuddin. Takkan mahu ajar Ilyas panggil Puteri sebagai makcik pula?" ujarnya sambil mengekek ketawa. Aku hanya tersenyum, terbisu aku dibuatnya.

"Puteri tak solat sekalikah, Najmuddin?" tanyanya.

"Bukan masanya, mungkin. Ayuhlah. Mari aku imamkan." Ujarku, memecah ketengangan antara kami berdua. Sejadah yang bewarna biru lusuh itu kuhamparkan di saf hadapan mereka. Hati aku berdetak kencang tatkala aku mengangkat takbir seperti waktu pertama aku menjadi imam kepada Mawar.

Seperti waktu dahulu.

Usai solat subuh, Ilyas menyalam kedua belah tanganku dan berlari tergopoh-gopoh untuk ke dapur. Mungkin dia terbau ayam goreng ketika solat tadi.

"Najmuddin." Suara Mawar mengejutkanku. Perlahan-lahan aku menghadapkan dudukanku terhadapnya. Kepalanya kuusap lembut tatkala dia menyalam dan mencium tanganku.

"Aku minta maaf, Najmuddin. Aku patut dengarkan nasihat engkau lebih awal. Mudah berkata dari melakukan. Sesekali aku terasa hampa dan sedih mengenangkanku yang sudah berkongsi ...hati dengan wanita lain." Ujar Mawar sambil tertunduk.

"Engkau masih milikku, Mawar. Adapun malam apabila kita dua bersama, aku akan pastikan kebahagiaan itu hanya engkau yang fahami, engkau yang miliki. Janganlah engkau sedih, kasih. Aku masih di sini. Aku masih milikku. Puteri tak akan dapat walau setengah hatiku. Hanya engkau yang memiliki semuanya, Mawar Kasturi." Ujarku sambil menariknya ke dalam pelukan. Terhinjut-hinjut badannya tatkala dia menangisi segala perit hati yang terbuku di dalam tubuhnya. Aku hanya mampu mengusapnya, memberi sepenuh kasih. Aku tidak minta ini semua berlaku. Aku tidak minta Mawar diperduakan.

"A...aku tidak patut berkelakuan persis ini, bukan?" kata Mawar sambil tergelak dalam tangisan. Perlahan-lahan tangannya menarik tanganku dari rangkulan.

"Berikan aku masa, suami. Aku ingin pulang ke kampung." Ujarnya lagi. Mataku merah menahan kesedihan. Suami manakah yang tidak sakit melihat satu persatu air mata kasihnya jatuh dari buaian mata?

"Siap-siaplah. Aku hantarkan."

"Engkau bersama Puteri. Engkau tahukan tanggungjawab engkau? Sungguhpun engkau tak mampu membendung kesedihanku, bukankah Puteri sudah menjadi sepertiku. Menjadi sebahagian dari hidup engkau? Menjadi isterimu, Najmuddin?" Mawar mengetukku jatuh ke realiti. Aku hampir mengabaikan Puteri yang sudah pun menjadi tanggungjawabku. Sejadah itu kupegang ketat, mahu sahaja aku meninggalkan perempuan itu.

Selaut KasihWhere stories live. Discover now