"Kak Mawar! Kak Mawar!" jerit Tuah daripada luar rumah. Aku menyelak langsir yang menutupi jendela bersebelahan denganku.
"Mengapa kamu jerit-jerit ni? Kak Mawar baru sahaja tidurkan Nur Kasih." balasku sambil mendodoi anakku yang merengek.
"Tadi Tuah nampak Abang Din! Di hujung kampung!" jeritnya lagi. Dadaku berombak kencang ayat itu menyapa telinga.
"Ish, mengarut sahaja kerjanya! Sudah, pergi pulang!" laungku sekali lagi. Aku menutup kembali jendela itu. Hatiku sangat terkesan hanya dengan mendengar namanya. Selepas peristiwa hitam itu berlaku, aku cuba untuk melepaskan apa yang terbaik. Ilyas juga tidak sesekali menyebut nama walidnya di hadapanku. Aku mengeluh mengenangkan nasib sendiri.
"Apa yang bising-bising itu, Mawar?" tanya ibu sambil membawa dulang yang diisi dengan daun sirih. Aku mengangkat bahu, berpura-pura tidak tahu.
"Sini, Ibu letakkan daun sirihnya di atas perut kamu. Biar selesa." ujar ibu. Dia menyelak sedikit bajuku, mendedahkan perutku yang sudah kempis. Aku mendengar derapan kaki yang menaiki tangga kayu itu. Dum! Dum! Dum! Seperti mahu roboh rumah ini dibuatnya. Ilyas muncul di hadapan pintu dengan wajah yang masam mencuka.
"Ilyas. Kenapa sayang?" tanyaku apabila mata kami bertentangan.
Dia tidak menjawab malah terus berjalan ke kamar. Nur Kasih yang hampir tertidur sudah luas terbuka matanya, mungkin terkejut apabila kaki Ilyas berdentum-dentam berjalan. Aku menepuk lembut kakinya, dahinya yang kecil itu kucium perlahan-lahan.
"Kak Mawar!" jerit Tuah sekali lagi dari luar rumah. Aku mengeluh. Kain yang menutupi jendela itu kubuka lagi.
"Assalamualaikum, Mawar." Dia tersenyum.
--
Rumah yang gelap itu kini menjadi cerah. Aku melihat ibu, ibu melihat Dahlia dan Dahlia pula dari tadi bermain mata dengan Talib, sepertinya ada sesuatu yang berlaku di antara mereka berdua. Rengekan Nur Kasih memecah kesunyian.
Aku terasa janggal apabila semua orang hanya membisu. Ilyas pula mengasingkan diri, dia hanya menguncikan dirinya dalam bilik. Aku semakin resah. Dahi yang tidak pernah berpeluh tiba-tiba sahaja basah hari ini.
"Mengapa engkau datang ke sini?" tanya Dahlia, akhirnya memulakan bicara. Mataku hanya tertumpu kepada Nur Kasih. Aku mahu melarikan pandangan daripada Najmuddin. Aku terlalu takut untuk melihat matanya yang bagai lautan dibadai ombak dan taufan. Gelap, kabut, dan tidak bermaya. Dia menghela nafas yang panjang.
"Aku tidak tahu. Aku hanya...mahukan kebenaran." ujarnya.
"Kebenaran? Kebenaran apa?" tanya Dahlia lagi. Aku mengerling kea rah Najmuddin. Matanya melihat Talib, Talib hanya mengangguk.
"Aku mahu tahu siapa diriku yang sebenarnya. Mawar merupakan perempuan pertamaku, Bukankah dia tahu?" kata Najmuddin. Dia masih tidak dapat menangkap api yang kini mengelingi tubuh Dahlia.
"Bukankah Puteri yang lebih mengenali diri engkau?" tanya Dahlia lagi. Dia memeluk tubuh. Senyuman sinis dilemparkan. Soalan Dahlia membuatkan dia terdiam. Aku jadi kasihan melihat Najmuddin yang mati akal, tidak tahu hendak berkata apa.
"Bonda dan Walid sihat?" tanyaku sambil mengusap kening Nur Kasih. Perlahan-lahan anak kecil itu tertidur.
"Sihat, Alhamdulillah...tetapi bonda agak tertekan." Perlahan-lahan dia menjawab. Dia tersenyum sedikit melihat Nur Kasih.
"Puteri bagaimana?" tanyaku lagi.
"Aku tidak tahu. Aku tidak mahu tahu." Dia menundukkan wajah sambil menggeleng kepalanya. Dia kelihatan buntu. Talib mengeluh, begitu juga ibu. Ibu sudah berdiri dan menyediakan makanan di dapur manakala Dahlia dan Talib sudah meminta diri untuk pergi ke pekan. Aku ditinggalkan bersama Nur Kasih dan Najmuddin.
YOU ARE READING
Selaut Kasih
RomanceSeisi alam terpaku dan berhenti melihat wajahmu, Kasturi. Cinta pertamaku. Sekilas ikan di air, ku tahu jantinanya. Namun sekilas pandanganmu ke hatiku, hatiku jadi tak menentu. Sakitkah aku, Mawar?