1 | Rutin

3 0 0
                                    

Jalan Taksub 1, Mei 2065

Suasana hening sekali pagi itu. Kebanyakan penduduk di kejiranan itu masih tidur. Pagi itu, kebanyakan anak-anak dan belia keluar. Semuanya pergi ke sekolah dan tempat belajar masing-masing. Di sini sudah tiada sekolah petang atau kelas malam seperti dahulu. Semua sistem pendidikan dilaksanakan pada waktu pagi dan tengahari sahaja.

Kononnya pagi ialah waktu berkualiti untuk belajar. Sekurang-kurangnya, pelajar ada banyak masa untuk buat kerja rumah, mengulangkaji dan berehat.

Kelihatan anak-anak dalam linkungan 9 hingga 12 tahun berbasikal di hadapan rumah. Kadangkala dikejar oleh budak-budak kecil, bermain sebelum ke sekolah. Tiada pantauan ibu bapa mahupun orang dewasa. Hanya pemandu van, kereta atau bas sekolah yang sedia di kenderaan masing-masing, menunggu masa untuk memulakan perjalanan ke destinasi.

Hari mulai cerah dek matahari yang baru sahaja terbit. Suara penyampai berita di televisyen jelas kedengaran di telinga. Semua ahli keluarga duduk, tidak kira di muka pintu, meja makan atau sofa, semata-mata untuk mendengar info yang disampaikan oleh satu-satunya sumber maklumat yang ada di rumah ini.

Tangan mereka masih bergerak pada masa yang sama, melakukan kerja masing-masing.

"Pada jam 10 malam tadi, Tesla telah dikejutkan dengan penemuan satu mayat di sekitar kawasan Pejabat Pentadbiran Negeri. Mayat kakitangan tersebut, dikenali sebagai Muhammad Ali dilaporkan baru sahaja pulang dari tempat kerjanya di pejabat daerah sekitar pukul 8,....."

"Entiti lagi ke, bang?" Mak bertanya kepada ayah.

"Entahlah, kalau tengok dari sini macam ya. Tapi, berita kata punca kejadian masih disiasat," sahut ayah sambil menopang dagu di sofa.

"Abang tengah duty kan, masa mayat ni dijumpai?"

"Ha'ah. Pihak atasan masih tak percaya pasal entiti ni walaupun orang mereka sendiri dah menjadi mangsa. Haih, entahlah.."

"Kalau macam tu, susahlah. Dahlah ramai yang kerja malam sekarang ni. Saya takut nak pergi kerja lepas ni."

Ara tidak menghiraukan perbualan mak dan ayahnya. Muzik dipasang sesedap rasa di telefon bimbit, tersambung dengan earphone di telinganya. Dia berlalu selepas memberi salam, dengan beg merah yang tergalas di bahunya.

Baginya, dia tidak patut campur hal orang dewasa. Dia masih muda untuk hadapi konflik sebegitu.

"Entiti, ya?" bisiknya perlahan.

Dia melihat sekeliling sementara kakinya terus melangkah. Sekarang, penduduk kejiranan di sini sudah memulakan rutin harian mereka, iaitu bekerja. Sama ada siang atau malam, rutin tersebut masih berlangsung tanpa henti sehinggakan Tesla kelihatan seperti bandar hidup.

Jika entiti yang diceritakan oleh ayahnya tadi menyerang kejiranan ini pula, bagaimana keadaannya nanti? Adakah mereka tidak takut keselamatan mereka terancam? Bagaimana pula dengan anak-anak kecil yang sedang bermain riang? Adakah mereka akan tetap bermain walaupun keluarga menegah keras?

"Oi, Ara! Jauhnya termenung."

Ara tersentak apabila ditegur demikian. Kelihatan Husna berjalan ke arahnya. Jarinya menjinjing satu fail hitam. Sementara bahunya menggalas beg biru.

Hari ini ada pembentangan kes di auditorium. Setiap hari Rabu, pelajar jurusan Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Tesla akan mengadakan pembentangan bagi kes yang sudah dibincangkan sebelum hari kejadian. Dari sini, markah dari pelbagai sudut penilaian akan menyumbang dalam keputusan peperiksaan akhir semester mereka.

"Takdelah. Bukan termenung. Tengah fikir masa depan ni." Ara menjawab selamba.

"Amboi, rasanya baru berapa bulan masuk universiti. Masa depan yang mana satu kau fikirkan?" Husna mengusik.

"Ahahaha. Masa depan masa lintas jalan."

"Hah?? Apa benda kau ni?" Husna menggaru kepala.

Ara memang suka potong stim. Gerutunya.

"Tu, jalan cepat sikit. Ada kereta tu."

PON! PON!

Husna terpaku apabila melihat sebuah kereta merah sedang bergerak ke arahnya. Dia hendak menggerakkan kakinya untuk berganjak, namun tidak terdaya. Hon yang dibunyikan menyebabkan kejutan buatnya.

Masa yang berlalu terasa begitu perlahan baginya.

"HUSNA!!"

Terasa tangannya ditarik, menjauhi jalan yang dilintasinya tadi. Matanya yang terpejam rapat dibuka, menyaksikan Ara yang baru sahaja melepaskan tangannya. Nampaknya Ara sudah menyelamatkannya dari dilanggar kereta pada pagi itu.

"Kau dah kenapa berdiri kat tengah jalan tu? Nak mati awal ke?"

Husna menekup muka. Telinganya hanya menadah bebelan Ara kepadanya, tidak lagi peduli akan pandangan orang sekeliling yang turut menggunakan jalan yang sama. Mujurlah jalan yang dilalui jarang dilalui orang. Jika tidak pasti malu besar.

Kata-kata Ara tadi agak kasar buatnya. Tapi, mengenangkan bahawa dia hampir mati tadi, dia hanya mendiamkan.

Nasib baik Ara ada bersamanya.

Ara, dia hanya mahu dipanggil dengan nama itu. Nama dalam sijil kelahirannya ialah Nurfarrah Izzatie. Sama seperti nama Ara Johari, penyanyi yang pernah terkenal satu ketika dahulu. Mungkin ini hanya kebetulan, atau ibu bapanya adalah peminat penyanyi itu, sampai nama anak pun sama macam artis. Husna sendiri tidak pasti.

Tidak pula dia berani bertanya, kena maki free-free saja nanti.

Dia tidaklah begitu lama mengenali Ara. Ara baru sahaja berpindah ke bandar ini beberapa tahun lepas. Ibu bapa mereka pula berkawan baik. Ara juga seorang yang boleh dibawa bersembang, walaupun peribadinya agak kasar. Barangkali dia mengikut peribadi ayahnya yang agak tegas dan kasar. Ayahnya polis.

Husna hanya memerhatikan Ara yang berjalan sedikit ke hadapan daripadanya. Kepalanya kelihatan berpaling ke satu arah, di mana fakultinya berada.

Mereka bukanlah belajar di fakulti yang sama. Dia di Fakulti Undang-undang. Ara pula di Fakulti Sains dan Kejuruteraan. Dari segi bidang yang diceburi, memang tak boleh dibawa bergaduh. Sebab jelas lagi nyata mereka memang berbeza.

"Naa, aku gerak dululah." Suara Ara menerjah telinga.

"Oh, awalnya, kelas kau bukan lambat lagi ke?" sahutnya.

"Aku ada group discussion sikit. Alang-alang aku makan terus di sana. Mungkin aku balik lambat sikit hari ini, jadi baliklah dulu lepas kelas kau habis nanti, okey?" Ara mula menyandang beg di bahunya.

"Sibuk betul kau sejak akhir-akhir ni, ya? Dah lama kita tak lepak sekali, tahu.." balasnya dengan nada rajuk.

"Ah, kau ni. Mengada-ngada. Sorrylah, aku pun tak tahu kenapa awal-awal lagi jadual aku dah sangat padat. Lagipun, group aku tu ada yang kena datang training setiap hujung minggu. Ada yang sibuk dengan kelab. So, yeah. I have to be more understanding. Biar mereka dapat rehat sikit," balas Ara.

"Oh, baguslah kalau macam tu. Group kau tu, aktif betul, kan? Tak cukup dalam fakulti, yang dari luar pun mereka sapu jugak. Hahahaha.." Husna ketawa kecil.

"Tengah awal-awal semester nilah mereka nak cari pengalaman apa semua. Nanti dah naik semester atas, sibuk dengan projek lain pulak," kata Ara lagi.

"Yalah, kan? Eh, kau pergilah dulu. Kau nak breakfast lagi. Nanti lambat pulak." Husna melihat jam tangan kerana terasa lama pula Ara berlengah. Sedangkan tadi Ara yang bergerak pantas daripadanya sebab sudah lewat.

"Oh, yalah. Okey, Husna. Maaf sangat-sangat tak dapat lepak sekali. Lain kali, ingatkan aku belanja kau makan. Okey?" Sempat Ara mengenyit matanya.

"Ish, kau ni! Ada-ada jelah. Tak apalah, aku faham. Kadang-kadang aku pun akan jadi sibuk macam kau juga."

"Okey, Naa..aku gerak dulu."

Mereka saling melambaikan tangan sebelum berpisah di pintu masuk universiti.

EARPHONESWhere stories live. Discover now