Prolog | Pemula

5 0 0
                                    

Dia menatap muka bengis raksasa di hadapannya. Langsung dia tidak gentar apabila mendengar ngauman si besar itu yang dapat didengari di seluruh bandar dan bandar-bandar berdekatan. Matanya merah, tanda masih belum lari dari fokus di samping menahan pedih apabila angin dan habuk masuk ke dalam matanya.

Habuk, hasil daripada runtuhan bangunan, asap kebakaran serta kebocoran gas dari mana-mana kilang. Membuatkan udara kini penuh dengan bahan-bahan toksik.

Mayat juga bergelimpangan di merata-rata. Mereka sudah menjadi mangsa raksasa di hadapannya ini sebelum bertarung dengannya. Udara bukan hanya tercemar dengan gas berbahaya, tapi juga bau hanyir darah dan bangkai haiwan yang mereput.

Namun, bau dan udara sekitar tidak dihiraukan. Kakinya bergerak, berjalan bersama si raksasa secara berhadapan, membentuk satu bulatan yang menjadi arena pertarungan.

HUWARRRGGHHHH!!

Kedengaran binatang itu mengaum lagi. Dia melemparkan senyum sinis. Dia yakin, raksasa itu tidak berani untuk menyerangnya. Kedengaran bunyi rantai terseret, kerana dia sedang menarik rantai itu ke hadapan tubuh kecilnya.

Dia memutar-mutar rantai berat itu. Sesungguhnya dia sudah terbiasa dengan beban berat seperti itu sejak akhir-akhir ini. Akhirnya, membantu menambah kekuatan dan stamina untuk masa yang tidak dapat dipastikan.

Di beberapa sudut lain kawasan bandar, beberapa orang sedang memerhati. Mereka menunggu masa untuk memberi bantuan jika perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka benar-benar bimbang, perhitungan ini adalah perhitungan terakhir mereka.

Keamanan, atau kesengsaraan pada masa akan datang? Itu bergantung pada mereka sekarang. Polis? Tentera? Semuanya musnah sama sekali. Jika ada pun, sebahagian kecil yang hanya mampu jadi pemerhati.

Liur ditelan, pahit dirasakannya. Pendarahan di segenap tubuh tidak dihiraukan. Nafas ditarik sebelum rantai gergasi mula diangkat lalu berputar hebat.
Demi Tuhan, dia patut lakukannya. Dari sudut fikiran, terbayang-bayang bahawa seluruh dunia sedang menjadi saksi, mengharapkan kemenangan yang boleh menjamin masa depan.

Angin bertiup kencang kala itu, menerbangkan segenap partikel-partikel kecil yang ada di kawasan berkenaan. Putaran rantai yang bertambah pantas hasil dari aura yang dilepaskan menghasilkan cas elektrik yang tersebar mengelilingi rantai. Hasil tidak terjangka itu menjadikan dia takjub, namun hanya sekejap. Dia masih punya musuh di hadapan.

Dari jauh, dia melihat satu kelibat berdiri di atas kepala raksasa di hadapannya. Rambutnya yang terbang ditiup angin, menampakkan bibirnya yang tersenyum sinis. Sejurus itu, ia hilang bersama raksasa tadi.

Matanya meliar, mencari kelibat raksasa yang mungkin boleh muncul di mana-mana. Dia masih dapat merasakan kewujudan musuhnya di sekitar sini. Mereka mencari peluang untuk menyerang secara curi. Dia tahu itu.

Dia tidak akan menjadi mangsa lagi.

Apa yang akan berlaku selepas ini?

Dia tidak dapat membayangkannya lagi.

Tapi dia tahu, besarnya harapan keluarga, rakan-rakan dan orang sekelilingnya untuk melihat keamanan sekali lagi.

Dahulu, dia hanya sebahagian daripada kumpulan kecil yang bertindak solo. Tanpa dikenali, hanya secara rahsia.

Dia pula ketika itu hanya seorang amatur dalam bidangnya.

Setelah kemalangan lalu, dia bangkit perlahan-lahan. Dia benar-benar mahu kembali.

Kembali kepada keluarganya. Dan kehidupan normalnya. Dia mahu belajar semula.

Justeru dia perlu berusaha keras dan tabah.

HUWARGHHHHHHHH!!!

Rantai mula bergerak ke sudut kanan, mengatur serangan.

Dia sedar, hanya dia yang mampu mengubah keadaan ini.

EARPHONESWhere stories live. Discover now