3 | Entiti

5 0 0
                                    

SUUUUUUUU...

Angin sejuk terasa seperti menampar deras. Zip jaket hitam ditarik bagi menghalang hawa sejuk. Dia menyeluk tangan ke dalam poket seraya berjalan laju.

Jalan sudah sunyi pada waktu begini. Bangunan di situ pula gelap benar. Lampu jalan pula malap, kadangkala berkelip-kelip. Sukar untuknya melihat jalan manakah yang dilalui.

Benar, ada penduduk yang bekerja pada malam hari. Namun demikian, mereka pasti berada di dalam bangunan dan tidak dibenarkan keluar. Cermin bangunan juga sudah disetkan kepada warna gelap atas faktor keselamatan. Oleh itu, hanya penghuni di dalam bangunan sahaja yang boleh melihat apa yang berlaku di luar tanpa perlu bimbang akan dilihat atau diperhatikan dari luar bangunan.

Begitu juga dengan bangunan yang dibina dengan sistem kedap bunyi. Oleh itu, bunyi bising tidak akan kedengaran dari luar. Jadi, mereka yang berada di luar tidak dapat mengenal pasti kilang atau syarikat manakah yang masih beroperasi pada waktu tersebut. Bandar Tesla masih hidup, walaupun dalam gelap.

Selagi teknologi tersebut berfungsi, pekerja masih selamat di tempat kerja mereka. Penduduk sekeliling yang tidak bekerja pada waktu malam juga boleh berehat dengan tenang tanpa mendengar bunyi bising dari bangunan yang masih beroperasi.

Ara melihat jam tangannya. Dia semakin bimbang kerana jam sudah menginjak ke angka sebelas. Mujurlah dia sudah memberi kata laluan lokernya kepada Lisya, sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini sebelum menghantar mana-mana tugasan yang dia tinggalkan.

Dia membelok ke Jalan Taksub 1, di mana rumahnya terletak. Perjalanan terasa panjang kali ini, dia laluinya dengan rasa tidak enak. Namun, bukanlah disebabkan dia demam atau tidak sihat.

Dia tidak sedap hati.

Tubuhnya seram sejuk.

Bulu romanya meremang.

Ya, lebih tepat lagi dia takut.

Lebih takut dari biasa.

SUUUUUUUUUU......

PRANGGG!!!

Dia melajukan langkah apabila terdengar bunyi kaca pecah entah dari mana. Seketika dia menoleh ke belakang.

TAK! TAK! TAK! TAK! TAK! TAK!

HAA..HAA..HAAA....

Langkahnya bertukar kepada larian. Seakan-akan rentak gerakan yang berubah temponya secara mendadak. Jantungnya berdegup kencang, mengepam segera darah yang mengandungi oksigen yang diperlukan. Dibantu dengan nafasnya yang turun naik bagi menyedut gas penting itu sekerap dan sebanyak mungkin.

Satu bayang-bayang kelihatan sedang mengejarnya dari belakang. Susuknya kelihatan besar, sudah cukup membuatkan dia berlari tidak cukup tanah seperti sekarang.

Belum lagi jika dia melihat rupanya.

Oh, tidak!

HURRRRRRR....

'Ayah pernah tengok ke entiti tu? Kan ayah selalu duty malam-malam? '

'Kamu rasa? '

'Ayah janganlah takutkan saya! '

'Abang, saya risaulah. Anak-anak lagi, awak pulak duty pada waktu malam dan selalu takde di rumah.'

'Abang tak pernah tengok benda tu. Abang harap sesiapa pun takkan pernah tengok. '

'Ia terlalu menakutkan. Sehingga tidak pernah dilihat oleh sesiapa, kecuali mangsa yang mati selepas itu.'

EARPHONESWhere stories live. Discover now