AAMILY berjalan laju keluar dari bilik Tuan Pengarah. Kikie yang menunggu di luar terus berlari-lari anak mengejar langkah Aamily yang panjang itu.
"Mily, tunggulah aku. Kau okey tak? Aku punyalah setia tunggu kau kat luar bilik Tuan Pengarah, tapi kau menonong aje pergi," bebel Kikie di belakang Aamily.
Aamily berhenti serta-merta. Dia berpusing menghadap Kikie. Matanya sudah merah dan sembap.
"Mily..." Kikie jadi simpati melihat keadaan Aamily.
"Aku benci dia, Kikie. Aku benci dia!" bentak Aamily.
Dia menangis semahu-mahunya.
Kikie menarik tubuh Aamily ke dakapannya. Dia memeluk dan mengusap belakang tubuh Aamily. Sekurang-kurangnya kurang sikit rasa sedih sahabatnya itu.
"Sabar, Mily. Aku tahu kau kuat. Kau jangan tunjuk kau lemah. Lelaki macam Shawn tu tak layak langsung untuk kau terus sedih macam ni. Kau sedih-sedih macam ni, tapi dia?"
Kikie cuba kembalikan Aamily ke dunia nyata. Dia tarik tangan Aamily dan mereka sama-sama duduk di kawasan lobi yang dihiasi dengan kolam air pancur.
"Sebab Shawnlah aku kena denda dengan Tuan Pengarah," beritahu Aamily perlahan sambil meraup wajahnya.
Kikie berpaling memandang sisi Aamily. Perasaan ingin tahunya membuak-buak. Dia memegang lengan Aamily.
"Kau kena denda apa? Jangan kau kena gantung satu semester sudahlah."
Kikie seperti mahu menangis.
"Eh, taklah, tapi aku tetap rasa tak patut dengan tindakan tatatertib yang Tuan Pengarah bagi," bentak Aamily.
Air mata yang mengalir diseka kasar.
"Habis maskara aku..."
Kikie menghela nafas. Dia menepuk perlahan bahu Aamily.
"Kalau bukan kena gantung semester, kau kena denda apa?" soal Kikie sekali lagi.
"Aku kena masuk kelab yang menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Supaya aku lebih dekat dan menghormati orang sekeliling. Can you imagine that?!"
Geram betul Aamily bila dia ingat kembali tindakan yang dikenakan kepadanya.
"What?!" Kikie juga terkejut besar.
Macamlah Aamily berniat mahu membunuh Tania. Kalau Tania tak cari pasal, perkara ini tak akan berlaku.
"Habis tu? Kau kena masuk kelab apa?" soal Kikie lagi.
"Kau mesti takkan percaya." Aamily tersenyum sinis.
"Apa dia?"
"Kelab PRS."
Rasa nak menangis bila Aamily selesai beritahu kelab yang bakal dia sertai.
"Oh my... Eh, kalau tak masuk tak boleh ke?" soal Kikie lagi.
"Kalau aku tak masuk, merit aku akan ditolak. Kelab ni akan jadi subjek tambahan aku untuk cukupkan kredit. Argh! Bencinya!"
Aamily hentak-hentak kaki. Menyesal pula bila dia terlalu mengikut perasaan.
"Si Tania tu? Takkan terlepas macam tu aje?"
Kikie berpeluk tubuh dan bersandar pada kerusi.
"Dia pun kena jugak. Tapi, kena masuk kelab lain."
Malas betul Aamily nak bercerita tentang Tania.
"Kau tengoklah. Kau orang berdua kena tanggung akibat, tapi Shawn? Terlepas kan?"
Kikie menjeling paras Aamily yang sudah muram.
Aamily mengangguk perlahan. Ya. Shawn terlepas.
Sangat bijak cara dia melepaskan diri. Merayu-rayu kononnya dia mangsa keadaan dan di tahun akhir pula. Harus lebih fokus kepada FYP. Kalau tidak, dia mahu hubungi ayahnya.
Aamily melepaskan keluhan kasar. Dasar lelaki buaya!
Perasaanya kini geram bercampur sedih. Dalam masa setahun macam-macam kenangan yang dibina bersama Shawn. Bohonglah kalau dia katakan yang dia tak sedih dengan perpisahan itu.
Aamily mengeluh tanda kesal pula. Betullah kata orang. Hidup ini ada hukum karma.
Dulu dia rampas Shawn daripada kekasih Shawn waktu itu. Kalau dia tak salah namanya Hanim. Cuma, Hanim bukan seperti dirinya yang sanggup bertengkar dan bergumpal demi mahu mengajar perempuan yang tak tahu malu seperti Tania.
Hanim lebih suka mengundurkan diri. Tapi, Aamily faham perasaan Hanim kini. Hanya yang pernah merasa sahaja akan faham apa itu rasa sakit apabila ditinggalkan.
"Bila kau kena lapor diri masuk kelab tu?"
Suara Kikie memecah lamunan Aamily.
"Secepat mungkin."
"Aku ikut!"
"Eh, jangan. Nanti Lady Marmalade macam mana?" soal Aamily.
Dia memegang tangan Kikie.
"Kan Lady KIZ senior tahun tiga tu ada," balas Kikie.
Kikie diam sambil membayangkan Lady KIZ yang terdiri daripada tiga orang iaitu Keisha, Iris dan Zara. Mereka memang hebat dalam Lady Marmalade dan buat masa ini Keisha sebagai kapten cheerleader.
"Tapi, kau tahu kan meeting yang akan datang ni sebenarnya nak lantik pelajar tahun dua untuk ambil alih tugas kapten yang sekarang. Keisha dah tahun tiga dan dia akan lepaskan jawatan sebab kena fokus pada FYP. Buat masa sekarang ni, Keisha nampak kau yang boleh ganti dia," bebel Kikie.
Aamily pejam mata rapat-rapat. Banyak sangat persoalan yang singgah dalam benaknya. Persoalannya akan terjawab bila dia hadir ke mesyuarat Kelab Lady Marmalade.
"Tak apalah, Kikie. Tunggulah masa meeting nanti. Apa yang penting, aku kena pergi jumpa ketua kelab PRS. Siapa eh? Kau kenal?" soal Aamily.
Kikie hanya menjongket bahu. Kemudian dia teringat sesuatu.
"Eh, hari tu kan kita ada dapat pamphlet kelab tu. Kau pergi buang, kan?"
Kikie kecilkan mata.
"Ha'ahlah, aku dah buang. Kau teman aku pergi eh?" ucap Aamily seraya bangun dan menggalas begnya.
Kikie hanya mengangguk dan turut sama bangun.Mereka terus pergi meninggalkan kawasan lobi.

ANDA SEDANG MEMBACA
CIK PEMBANTU JELITA
RomanceTajuk: CIK PEMBANTU JELITA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-56-1 POS PERCUMA! 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069