AAMILY dan Kikie menjejakkan kaki ke studio tempat di mana skuad Lady Marmalade berlatih dan mengadakan perbincangan. Mereka buka kasut dan masuk ke dalam studio, meletakkan beg di satu sudut.
Kikie terus duduk di situ sambil membelek telefon pintarnya. Manakala Aamily berjalan-jalan di sekitar studio. Kaki Aamily terhenti di satu bahagian dinding yang dihiasi dengan board.
Ada banyak gambar kenangan Lady Marmalade. Cerita bagaimana Lady Marmalade meraih kemenangan dan menjadi juara bertahan untuk pertandingan cheerleading. Ada juga gambar kenangan Lady Marmalade menyertai karnival dan juga perarakan.
Semua gambar-gambar itu buat Aamily tersenyum. Dia punya impian satu hari nanti dia akan jadi seperti mereka. Di tahun satu lagi dia sudah tunjukkan bakat dan komitmen yang tinggi untuk skuad Lady Marmalade.
"Skuad!" Suara nyaring Keisha bergema di dalam studio.
Pantas Aamily menghampiri Kikie yang mengamitnya. Kesemua peserta berbaris melintang menghadap Keisha selaku kapten Lady Marmalade.
Keisha tersenyum melihat kesungguhan mereka. Masing-masing mendengar kata.
"Ini saja? Ada lagi yang belum masuk?" soal Keisha.
Matanya memandang ke arah pintu. Serentak dengan itu pintu bilik studio terbuka. Semua ahli memandang pintu.
Melihatkan wajah yang masuk buat mata Aamily membulat. Kikie menyiku lengan Aamily.
"Apa dia buat kat sini?" bisik keras Kikie ke telinga Aamily.
"Selamat datang Tania dan Sufi."
Keisha tersenyum sambil mempersilakan dua gadis itu untuk duduk di bahagian yang masih kosong.
"Sorry, we're late." Tania cuma tersenyum.
"Aduh... Kenapa mesti dia masuk Lady Marmalade. Bencinya!"
Aamily pula berbisik kepada Kikie. Dia melirik Tania yang sedang mengulum lolipop. Kemudian mata mereka saling bertautan.
Baik Aamily mahupun Tania, sama-sama menarik muka masam dan menjeling tajam.
"Nasib baik aku dah kena tindakan tatatertib, kalau tak memang kena lagi minah perampas tu."
Suara Aamily menderam menahan geram.
"Kalau semua dah ada. Kita mulakan perbincangan kita. First of all, selamat datang ke Lady Marmalade khususnya untuk tahun satu."
Keisha tepuk tangan kemudian diikuti dengan yang lain.
"Kedua, sebelum ni kita semua tahu yang saya adalah ketua yang memimpin Lady Marmalade ini."
Keisha mula bersuara kembali. Masing-masing diam dan hanya mendengar taklimat yang diberikan.
"Semua juga tahu, pelajar tahun tiga tidak dibenarkan lagi untuk memegang sebarang jawatan melainkan memantau sahaja. Kita yang di tahun tiga ini kena terus fokus kepada penilaian di tahun akhir. Jadi..."
Keisha berhenti seketika sambil memberi senyuman bermakna. Dia mundar-mandir di depan skuad.
Aamily mendengar dengan penuh harapan. Kikie di sebelahnya juga sudah tersenyum dan teruja. Dia pasti dan yakin Aamilylah akan mengambil posisi Keisha.
Keisha yang sedari tadi menunduk, mula memanggung wajahnya. Entah kenapa mulutnya terasa berat. Tidak sampai hati mahu mengumumkan. Dia tahu keputusan yang bakal dia umumkan ini akan merobek hati seseorang.
Seseorang yang dia sendiri harapkan untuk memimpin Lady Marmalade.
"Gina."
Satu patah nama yang membuatkan seisi studio sunyi. Hanya Gina sahaja yang teruja ketawa dan bertepuk tangan.
"Yes!" Gina tersenyum girang.
Keisha turut tersenyum.
"Tahniah, Gina."
Kemudian mata Keisha melirik ke wajah sedih Aamily.
"And now kita nak mulakan latihan. Move! Move!"
Iris selaku pembantu Keisha mula mengatur skuad untuk memulakan latihan.
Aamily dan Keisha mulai berdiri dan lambat-lambat menuju ke bahagian hujung.
"Alahai, muka macam frust sangat aje. Kecewa ke you tak dapat jadi kapten?"
Satu suara mula menjengkelkan Aamily. Dia berpaling ke belakang. Kelihatan wajah Tania yang tersenyum mengejek sambil mencemik.
"Don't start."
Membara sungguh hati Aamily yang mendengar.
Kedengaran ketawa daripada Tania yang menyakitkan hati. Sekali lagi Aamily berpaling. Memandang tajam ke wajah gadis itu.
"Dah, Mily. Kau jangan pedulikan dia. Dia sengaja nak provok kau supaya cari pasal dengan dia. Kalau kau layan dia nanti bertambah buruk rekod kau," bisik Kikie.
Dia mencuit lengan Aamily supaya menjauhi Tania dan Sufi. Risau pula kalau tiba-tiba Aamily menarik rambut gadis itu.
SELESAI melakukan latihan, Aamily terus dapatkan beg galasnya. Wajahnya masih muram dan tidak ceria seperti selalu bila setiap kali datang latihan di studio.
Kikie juga jadi serba salah mahu menegur kawan baiknya itu. Sudahnya, dia biarkan sahaja Aamily melayan perasaan. Sengaja dia beri ruang untuk Aamily bertenang.
"Ehem."
Satu suara singgah di belakang Aamily. Lambat-lambat Aamily menoleh. Dia tersenyum tipis saat Keisha duduk di sebelah Aamily sambil memeluk kedua-dua belah lututnya.
"Awak okey?" soal Keisha sambil memegang lembut bahu Aamily.
Aamily terus menyimpan barang-barangnya ke dalam beg. Kemudian dia terduduk di situ sambil memandang figuranya di cermin yang memenuhi studio tersebut. Satu keluhan dilepaskan. Dia melirik figura Keisha yang masih setia menunggu jawapannya.
"Kalau awak tanya saya okey ke tak, mestilah saya tak okey, Keisha."
Aamily tunduk sambil bermain-main dengan tali begnya.
"I'm sorry, Mily. I'm truly sorry," ucap Keisha sungguh-sungguh.
Aamily berpaling memandang wajah serba salah Keisha. Dia ubah posisi duduk bersilanya menghadap Keisha.
"Saya tak salahkan awak. Awak memang berhak pilih siapa aje. Mungkin saya masih belum cukup hebat untuk jadi kapten, Keisha."
Aamily memegang lutut Keisha.
"Tak, Mily. Awak memang layak! Saya memang nak pilih awak jadi kapten. Tapi..."
Keisha tidak sampai hati mahu beritahu perkara sebenar.
"Tapi?" Aamily masih menunggu kata-kata seterusnya daripada Keisha.
Keisha mengeluh berat.
"Saya diarahkan Tuan Pengarah untuk lantik kapten yang tak ada rekod buruk dalam Success Institute. Tambahan pulak awak sekarang tengah dalam perhatian. Awak kena buat kerja-kerja amal sebagai tindakan tatatertib, kan?
"Jadi, Tuan Pengarah nak saya lantik pelajar yang boleh dijadikan contoh dan idola yang baik untuk pelajar-pelajar junior. Sekali lagi, saya minta maaf."
Berjuraian air mata Aamily bila mendengar kata-kata Keisha. Terdetik juga rasa kesal bila dia terlalu mengikut perasaan. Selepas kejadian yang memalukan itu, kelibat Shawn juga jarang kelihatan.
"Sebab itulah saya terpaksa pilih Gina. Selepas awak, Gina yang paling layak."
Keisha tertunduk. Kalaulah Aamily tahu betapa berat bahunya menggalas keputusan itu saat ini.
"Tak apalah, Keisha. Saya faham. Tak jadi kapten pun tak apa, janji saya masih berpeluang aktif dalam skuad Lady Marmalade ni. Saya pun tak ada masalah dengan Gina. Saya pun harap Gina boleh jadi kapten yang baik," ucap Aamily ikhlas.
"Kalau macam tu, jomlah keluar dari studio ni. Sekejap lagi Kelab Tari pulak nak guna."
Keisha bangkit. Diikuti oleh Aamily dan Kikie.
YOU ARE READING
CIK PEMBANTU JELITA
RomanceTajuk: CIK PEMBANTU JELITA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-56-1 POS PERCUMA! 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069