BAB 9

723 10 2
                                    

"NANA!"

Juan berlari-lari anak mendapatkan Nana yang baru keluar dari perpustakaan.

Nana menoleh dan berhenti bila terdengar namanya dipanggil. Dia menunggu Juan menghampirinya.

"Kau buat apa tadi?" soal Juan sekadar berbasa-basi.

"Aku pinjam buku untuk rujukan," jawab Nana.

Dia lihat penampilan Juan dari atas ke bawah.

"Kau dah kenapa smart semacam?"

Juan lihat dirinya sendiri.

"Smart? Apa yang smart?"

Juan masih tidak faham.

"Tengoklah baju kau tu."

Nana mencemik. Selalunya Juan hanya mengenakan T-shirt dan kemeja lengan panjang di bahagian luar. Tetapi, kali ini Juan memakai jaket kulit berwarna hitam.

"Jaket ni?" soal Juan sambil menjongketkan kening memandang Nana.

Nana tersenyum sinis. Dia pandang lagi Juan dari atas ke bawah.

"La... jaket ni kan memang aku selalu pakai."

Selamba sahaja riak Juan.

"Hm, sudahlah. Kenapa kau cari aku ni?" soal Nana sambil sambung melangkah.

"Jomlah ke kafe dulu," ajak Juan.

Mereka beriringan menuju ke kafe. Sampai sahaja di kafe, Nana terus duduk di bahagian tepi tingkap.

Juan terus menuju ke kaunter dan memesan makanan serta minuman. Selepas selesai urusan di kaunter Juan kembali semula ke tempat duduk sambil membawa dulang berisi makanan dan minumannya.

"Kau tak nak makan?" soal Juan.

Nana hanya menggeleng. Dia menopang dagu di atas meja sambil merenung wajah Juan.

"Apasal kau tengok aku macam tu?" soal Juan pelik.

Nana masih tersenyum.

"Okey, okey. Aku tahu aku salah. Semalam aku janji nak buat assignment sama-sama dengan kau. Aku minta maaf, okey."

Juan menyusun sepuluh jari meminta maaf.

"Kau ke mana semalam?" soal Nana.

"Semalam... err... semalam aku ada hal sikit. Itu aku balik cepat."

Juan cuba berbohong. Dia tergagap-gagap sambil mengusap tengkuknya.

Nana ketawa kuat. Dia menggeleng kepala.

Juan pula memandang pelik. Dia cuba berlagak tenang.

"Juan yang aku kenal mana pandai menipu. Dia selalu jujur kalau bercakap. Biarpun kata-kata dia tu menyakitkan hati," komen Nana.

Dia tersenyum sinis memandang wajah Juan yang sudah terkulat-kulat.

"Cakaplah, kau ke mana semalam. Jangan tipu aku. Aku nampak kau naik kereta Aamily semalam."

Nana tarik gelas berisi teh o ais milik Juan. Dia sedut sedikit kemudian tolak semula ke arah Juan.

Juan mengeluh. Dia menjeling wajah Nana yang sedang menunggu dia berterus terang.

"Ha'ah. Memang aku naik kereta Aamily semalam. Tapi, semua tu ada sebab."

Juan mula beritahu perkara sebenar. Dia turut buka jaket kulitnya.

Mata Nana terus tertancap ke arah siku kanan Juan yang berbalut.

"Eh, dah kenapa dengan siku kau tu?" soal Nana terkejut.

Juan mula bercerita bagaimana dia cedera dan seterusnya dipaksa menaiki kereta milik Aamily.

Selesai bercerita Nana megangguk tanda faham. Sekaligus melenyapkan prasangkanya mengenai Juan. Dia ketawa kecil.

"Aku lupa nak bagi tahu kau. Aku rasa Aamily boleh jadi pembantu Kelab PRS. Pembantu aku. Aku akan umumkan dalam next meeting."

Juan tersenyum.

Tawa Nana terhenti. Wajahnya perlahan-lahan berubah. Dahinya mula berkerut.

"Habis, aku?" soal Nana sedikit emosi.

Dia renung tajam wajah Juan.

"La... Kau kan setiausaha aku. Selama ni kan itu kerja kau."

Juan masih tidak faham perasaan Nana yang sebenar.

Nana rasa ingin menjerit. Kenapa gadis yang dia gelar barbie doll itu yang mendapat kepercayaan Juan? Gadis yang mereka belum tahu bagaimana tahap kemampuannya dalam mengendalikan Kelab PRS.

"Memang aku setiausaha. Tapi, selama ni siapa yang selalu jadi pembantu kau?" soal Nana perlahan.

Nada suaranya seperti berjauh hati sahaja.

"Sebab kau dah selalu jadi pembantu akulah aku nak lantik Aamily jadi pembantu aku. Kalau kau selalu jadi pembantu aku nanti kerja kau sebagai setiausaha terbiar pulak. Kita pulak sekarang dah tahun tiga. Kena fokus dengan FYP."

Juan terangkan maksud dan tujuan sebenar kenapa dia memilih Aamily.

"Tapi, kenapa Aamily? Barbie doll tu tahu apa?" soal Nana lagi.

Sepertinya dia tidak puas hati dengan cadangan Juan.

"Aku ada sebab kenapa aku buat macam tu. Kalau aku tak lantik dia dengan apa-apa jawatan, kau rasa dia nak datang ke aktiviti kelab kita? Sekurang-kurangnya dengan jawatan sebagai pembantu aku, nak ataupun tak nak dia mesti datang untuk setiap aktiviti.

"Dia kena bantu aku kan. Aku akan bagi kerja kat dia. Aku yang akan pantau kehadiran dia. Aku yang akan bertanggungjawab untuk perhatikan dia selama dia dalam tindakan tatatertib ni."

Juan terangkan lagi supaya Nana faham niat sebenarnya.

Nana terdiam. Separuh hatinya setuju dengan tindakan Juan, tetapi separuh lagi dia rasa tidak puas hati. Tapi, apa-apa pun dia harus profesional. Nanti Juan kata dia ikut emosi pula.

"Kalau kau rasa tindakan kau betul dan boleh bagi kebaikan untuk kelab kita, aku okey."

Nana cuba untuk tersenyum.

"Kau jangan risau, walaupun aku ada pembantu barbie doll tu, kau tetap nombor satu kat hati aku. Kau kawan paling sejati, Nana."

Juan tersenyum lebar.

Terasa remuk-redam hatinya saat mendengar kata-kata Juan. Ternyata Juan hanya anggap dia sebagai kawan sahaja. Dia sahaja yang berangan dan syok sendiri sukakan lelaki bernama Juan Andika.

Sukar bila perasaan cinta itu hanya bertepuksebelah tangan. Sukar bila memendam perasaan sehingga menyakitkan hati sendiri. 

CIK PEMBANTU JELITAWhere stories live. Discover now