SELESAI urusan di klinik, Aamily terus sahaja menghantar Kikie pulang terlebih dahulu. Kemudian dia memandang wajah Juan melalui cermin pandang belakang.
Juan hanya diam dan bersandar sambil lelapkan mata.
"Ehem."
Aamily sengaja berdeham. Matanya masih menjeling wajah Juan. Terlihat Juan membuka matanya sedikit. Kemudian lelaki itu memandang ke luar tingkap. Melihat di mana mereka berada ketika ini.
"Dah sampai rumah aku ke?" soal Juan sambil menggeliat.
"Rumah you pun I tak tahu kat mana," gumam Aamily sambil menggerakkan keretanya semula.
"Kau nak aku duduk depan ke?" soal Juan polos.
"I dah drive baru you nak tanya?"
Aamily jeling wajah Juan yang sedang tersenyum. Jelas dia boleh lihat dari cermin.
"Manalah tahu kut-kut kau tak nak aku duduk sebelah. Kau tu kan top kat kolej. Nanti jatuh pulak reputasi kau kalau orang nampak kita berdua naik satu kereta," usik Juan.
"Oh, lagi satu. Aku risau kalau-kalau Shawn ada niat nak balik dengan kau jadi terbantut pulak tengok kita."
Geram dengan kata-kata Juan, Aamily menekan brek keretanya sekuat hati. Terdorong tubuh Juan ke hadapan. Mujur sahaja dia sempat menahan dari batang hidungnya menghentak kerusi pemandu.
"Eh, kau ni gila ke apa? Aduh..."
Juan memegang sikunya yang terasa perit.
"Apa? Kan traffic light merah tu."
Selamba sahaja Aamily menjawab.
"Kalau ya pun tak payahlah brek sepenuh hati. Macam nak bunuh aku aje," rungut Juan.
Kali ini dia tidak kembali sandar pada tempat duduk belakang. Sebaliknya, Juan sedaya upaya melangkah ke tempat duduk di sebelah Aamily.
"Eh, apa ni?"
Terkejut Aamily dengan tindakan Juan. Dia pandang wajah Juan yang masam mencuka itu. Giliran Aamily pula mahu ketawa, tetapi dia tahankan sahaja.
Lampu isyarat bertukar warna hijau. Aamily menggerakkan kereta. Dia toleh ke sisi sekilas.
"Sekarang ni you nak I hantarkan you kat mana?" soal Aamily.
"Kolej."
"Hah? Kan senang kalau I terus hantar you kat rumah," balas Aamily.
"Motosikal aku ada kat kolej. Kalau aku tak ambik, esok aku nak ke kolej naik apa? Ingat kau sorang aje ada kereta nak ke kolej?" soal Juan.
Dia pandang jengkel wajah Aamily.
"Hisy, tanya aje pun. You ni memang tak pandai nak cakap elok-elok dengan perempuan ke?" protes Aamily sambil menjeling sisi Juan.
"Pandai, tapi bukan dengan kau."
Juan tersenyum sinis.
"Ergh!" Aamily julingkan mata ke atas.
Kemudian masing-masing diam sehinggalah kereta Aamily masuk semula ke pekarangan Success Institute.
"Okey. Terima kasih sebab jadi Grab girl hari ni."
Juan ketawa kecil.
"Grab girl?"
Aamily tidak puas hati. Dia turut keluar dari kereta dan mendekati Juan. Kedua-dua belah tangan dicekak ke pinggang.
"Ha, kenapa? Oh, lupa. Grab kenalah bayar, kan. Berapa?" soal Juan sambil pura-pura mahu keluarkan duit.
YOU ARE READING
CIK PEMBANTU JELITA
RomanceTajuk: CIK PEMBANTU JELITA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-56-1 POS PERCUMA! 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069