PAGI-PAGI lagi Aamily dan Kikie sudah menunggu di luar bilik gerakan kelab PRS. Mundar-mandir menunggu sesiapa yang akan buka pintu.
Di Success Institute selalunya setiap kelab akan ada satu bilik gerakan kecil untuk mereka mengadakan mesyuarat ataupun perbincangan.
"Kau tak payahlah mundar-mandir. Kejap lagi adalah yang datang tu."
Kikie julingkan mata ke atas. Dia juga turut resah bila Aamily tak berhenti ke hulu ke hilir. Akhirnya Aamily hempas punggung di sebelah Kikie yang sedang mengilatkan kukunya.
Selang beberapa minit, seorang lelaki tinggi lampai yang berkemeja lengan pendek dan berbadan tegap melintasi tanpa memandang dua gadis yang sedang duduk di situ. Dia sedang sibuk menilik kunci untuk buka pintu kelab.
"Ehem."
Satu suara halus menyapa gegendang telinga Juan. Pantas Juan menoleh ke belakang. Kelihatan Aamily berdiri mendongak memandangnya sambil berpeluk tubuh. Tiada senyuman yang terukir pada wajah gadis itu.
Tetapi, selang beberapa saat Aamily mengerutkan dahi.
"Eh, bukan you ke yang bagi pamphlet kat I hari tu?" soal Aamily.
Terteleng-teleng kepala Aamily mahu melihat wajah lelaki itu yang hanya tunduk, mencari anak kunci yang betul dari segugus kunci.
"Ada apa datang sini?" soal Juan dingin.
Tersentak Aamily mendengar soalan daripada Juan. Nampaknya Juan bukan seorang lelaki yang ramah. Selalunya sesiapa sahaja yang berjumpa dengannya akan layan dia sebaik mungkin.
Tapi, lelaki yang tinggi lampai ini begitu dingin dengannya. Dia memandang Kikie yang masih duduk. Kikie mencemik dan menghala ibu jarinya ke bawah. Menunjukkan isyarat tidak bagus.
Aamily pandang Juan semula. Dia hanya menjeling paras Juan yang sibuk membuka pintu.
"Masuklah kalau ada tujuan ke sini," pelawa Juan sambil menolak pintu.
Aamily menggamit Kikie. Saling tolak-menolak sebelum masuk ke bilik itu.
"Jomlah masuk sekali. Kau kata nak teman aku," bisik Aamily sambil menolak belakang tubuh Kikie.
"Sombongnya lelaki tu. Macamlah dia ketua. Kita nak jumpa ketua kelab aje."
Kikie masih tidak puas hati.
"Kalau tak pasal kena denda, tak ingin pun aku nak jejak ke bilik ni."
Aamily juga tidak puas hati. Jelas mimik wajah Juan seperti tidak mengalu-alukan kedatangan mereka berdua.
Bila terdengar suara orang batuk dan berdeham berkali-kali, Aamily dan Kikie sama-sama masuk ke dalam bilik tersebut.
Juan sedang duduk bersandar sambil meneliti fail di tangan. Semalam Nana sudah serahkan kepadanya agenda dan aktiviti yang bakal mereka jalankan sepanjang semester ini.
Juan memanggung kepala. Memandang Aamily dan Kikie tanpa berkelip. Dia masih menunggu Aamily bersuara menyatakan tujuannya ke kelab PRS. Dalam hatinya pelik juga bila pelajar paling top di Success Institute menjejakkan kaki ke sini.
Ini kali pertama Juan dapat lihat secara dekat wajah mulus si jelita. Dia berdeham lagi.
Suara garau Juan membuatkan Aamily sedikit terkejut. Dia turut memandang Juan yang langsung tidak tersenyum kepadanya. Kikie menyenggol lengan Aamily sebagai isyarat beritahu hal sebenar.
"Look, I tak berniat nak ambil lama masa you. I nak jumpa ketua kelab ni. Dia ada kat sini?" soal Aamily sambil matanya memandang segenap sudut bilik itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
CIK PEMBANTU JELITA
RomanceTajuk: CIK PEMBANTU JELITA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-56-1 POS PERCUMA! 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069