Pakcik Hot 1301
Bab 7
“Adik, bangunlah. Balik-balik terus tidur macam orang mati.” Ibu mengejutkan aku.
“Ha…” aku terpisat-pisat bangun, eh! aku meraba badan aku, meraba tempat tidur aku. ya! Aku dekat rumah tapi bukankah tadi aku dekat Sogo, macam mana aku boleh ada dekat rumah pula.
“Ibu, tadi adik pergi Sogo, kenapa adik boleh ada dekat rumah pula.” Wajah ibu aku pandang tanpa berkelip-kelip.
“Tak tahu pula adik pergi Sogo ke apa, adik balik macam biasa je ibu tengok. Naik teksi.” Aku bingkas bangun, mencari beg aku, aku lambak kan segala isi. Fuh! semua ada dalam beg.
Aku rasa aku pengsan!
Aku rasa aku tertengok sesuatu tadi!
Tapi, macam mana aku boleh ada dekat rumah sekarang?
“Adik ni dah kenapa? Sakit ke?” ibu meraba dahi aku. Aku geleng kepala, aku tak sakit rasanya sebab aku tak rasa sakit kepala atau badan panas.
“Tak apalah bu, adik okey ni.” Aku mengukir senyuman. Tidak mahu ibu risaukan aku.
“Tapi adik balik cepat, kenapa? Tak kerja atau adik ambil separuh hari .”
“Ada masalah dekat rumah yang adik kerja tu, dah settle. Esok adik kerja dekat rumah Puan Sri Nona.” Jawab aku perlahan, wajah ibu kelihatan tenang sahaja apabila aku menyebut nama Puan Sri Nona.
“Hurm, iyalah. Jomlah pergi dapur. Ibu masak cucur udang petang ni. Adikkan suka, temankan ibu minum petang.”ajak ibu, aku angguk dan meminta izin mahu ke bilik air dulu.
“Apa sebenarnya dah berlaku? Aku ingat memang aku pengsan tadi.” Aku merenung wajah aku dicermin. Tiada apa-apa yang pelik, hidung tetap sama tak mancung, tak kembang. Mata aku tetap warna hitam, tak pula bertukar warna biru. Ish! Tapi aku meraba siku yang terasa pedih. Macam mana pula aku dapat calar ni? Kalau aku tak jatuh mesti aku tak dapat calar. Pertanyaan demi pertanyaan bertandang di dalam minda, kepala terasa sakit pula memikir.
Daripada memikir benda pelik macam ni, baik aku join ibu minum petang. Cepat-cepat aku mengelap wajah yang basah dengan tuala yang tersangkut di belakang pintu bilik air. Aku melangkah keluar daripada bilik air, menyikat rambut dan keluar ke dapur. Jelas pada pendengaran aku gelak ketawa ibu dan seseorang.
“Wah! Wah! Surprise, pak polisi balik sini.” Aku tersengih. Tetapi sengihan aku segera mati apabila salah satu wajah yang berada di meja makan adalah seseorang yang aku tak terfikir akan wujud dalam rumah aku.
“Hai! Hash.” Dia menyengih, aku angkat tangan.
“Wah! Makin boroi perut kau.” Pap! Ibu lempang bahu aku, angah pula jeling aku macam nak telan. Tahulah itu kawan baik dia kan.
“Hahahaha, biasalah Hash. Makan cukup.” Jawabnya dengan sengihan panjang.
“Makan cukup kiranya dah kayalah ni?’ selamba aku berkata, ibu sudah menjeling-jeling.
“Kaya tu taklah tapi adalah duit, nak pinang kau pun boleh Hash.” Katanya. Ibu ketawa, angah juga ikut sama ketawa. Mimpi!
“Pingan tak retak, nasi tak dingin…” aku mula membuka peribahasa.
“Kau tak hendak aku pun tak ingin Hash.” Dia gelak! Ewah! Peribahasa aku dia pula yang sambung.Mengekek angah dan ibu ketawa. Hati aku mendongkol geram, tak jadi mahu minum petang menonong aku duduk di hadapan tv.
“Daripada layan kau punya sewel baik aku layan drama.” Sempat aku menjeling si Sidek Jagung, menyibuk betul. Mati selera aku nak makan cucur udang, yang angah ni sesekali cuti balik sini janganlah sibuk nak pelawa kawan dia tu datang sini. Menyampah!
“Kau sihat ke Hash?” ish dia ni, makan ajelah cucur udang ibu yang sedap tu, tak payah sibuk-sibuk nak tanya aku apa-apa.
“Sihat belum mati lagi.” jawabku tanpa memandang dia.
“Iyalah kalau kau dah mati memang taklah aku nak tanya, aku tolong bacakan Yassin je Hash.” Ada je balasan daripada Sidek ni, rimas pula aku.
“Jom Sidek, kita gi futsal tak payah lain adik aku tu, dia bukan suka kau pun.” Angah sudah siap menukar bajunya, dia menjinjing kasut sukan mahu keluar dengan Sidek.
“Angah kau baru balik, aku tak sempat nak borak dengan kau tak kan nak pergi main futsal.” Aku memandang angah.
“Ala, nak borak dengan kau dik, malam nanti pun boleh. Aku dah janji lama dekat group whatsapp.” Angah memandang aku, mengusap kepala aku sekejap sebelum hilang bersama Sidek.
“Sidek memanglah, jual ajelah jagung tu, tak payah sibuk-sbuk nak main futsal bagai.”
“Biarlah dik, Sidek kan dah ada pekerja. Dia memang tunggu angah tu balik lama dah.”
“Aik! Ibu pun backup Sidek, sayang nampak?” perli aku.
“Kawan-kawan anak ibu yang terbaik tu memang ibu akan sayang macam anak sendiri.” Ujar ibu dengan senyuman.
“Ibu, hari ni adik pelik sangat.” Aku menempel duduk bersebelahan ibu, berbaring di atas peha ibu. Sesekali bermanja dengan ibu, apa salahnya.
“Kenapa?” tanya ibu sambil membelai rambut aku dengan penuh kasih sayang.
“Adikkan macam alami dejavu. Rasa macam adik jem dekat satu tempat tapi adik sebenarnya berada pada satu tempat yang lain. Macam melintasi satu garisan masa pula. Lepas tu adik sakit kepala, pitam tapi.. rasa macam betul sebenarnya tidak.”
“Perasaan adik je tu. Ish! Tak nak fikir benda mengarut entah apa-apa okey.”ujar ibu perlahan.
“Tapi bu, adik confuse lah.”
“Dah..dah..tak payah fikir apa-apa. itu semua perasaan adik je.” Ibu meninggikan sikit oktaf suaranya. Aku terdiam, mustahillah ia hanya perasaan aku sahaja. No! aku tahu apa yang aku alami benar, siku aku melecet mungkin sebab aku terjatuh masa aku pitam.
“Sudahlah adik, pergi makan cucur udang tu. Ibu nak masuk bilik kejap, nak susun kain. Almari ibu tu dah berjabu-jabu kain tak bersusun.” Ibu menepuk pipi aku menyuruh aku bangun, aku bangun dan melihat ibu hilang ke dalam biliknya.
Usai menikmati cucur udang ibu, aku berniat mahu melihat ibu menyusun kain di dalam biliknya. Sebelum sempat aku menolak pintu bilik ibu yang sedikit renggang aku terdengar ibu sedang berbual dengan seseorang lewat panggilan telefon.
“ I dah cakap dulu lagi dan sekarang….” Aku dengar nada suara ibu seperti kerisauan.
“I tak nak Rich, I tak nak benda tu jadi dalam hidup kami lagi.”
Aku memasang telinga, apa maksud ibu? Benda apa yang pernah terjadi? Aku mahu masuk ke dalam bilik ibu sebelum seseorang menarik aku.
“Ha! Mengintai ibu. Teruk perangai kau kan dik.” Along berkata perlahan, dia menarik tangan aku ke ruang tamu.
“Along ni, adik bukan sengajalah terdengar okey.” Aku berkata seakan berbisik. Cover line, tak mahu ibu perasan aku mengintai dia.
“Jangan masuk campur urusan ibu boleh tak dik?” along memberi amaran, aku bungkam.
“Iyalah.” Aku menghenyakkan tubuh aku ke sofa. Siapa Rich? Tak pernah pula aku dengar ibu menyebut nama itu sebelum ini. Ibu ada kekasih ke? Mustahil! Aku tahu sejak dahulu sehingga kini ibu hanya menjaga kami bertiga sahaja tanpa memperdulikan dirinya sendiri. Ibu pergi kerja balik kerja, uruskan kami. Memang tak pernah ibu bercakap perihal boyfriend ni semua. Tiba-tiba bila dah tua begini ibu sebut nama lelaki di talian, aneh-aneh sahaja aku rasa.
“Kau kenapa balik awal?” tanya along.
“Cuti, rumah tu sebenarnya ada hantu.” Ujar aku perlahan.
“Kau ni dik, cuci otak sikit. Tulah suka lagi tengok cerita seram. Pengaruh besar betul.” Along gelak.
“Eh! adik tak buat lawaklah, betul rumah tu ada hantu. Kak Wati yang cakap.”
“Hantu apa? hantu bungkus? Pontianak? Atau drakula kacak?” usik along.
“Drakula kacak?” aku teringat pakcik hot.
“Bolehlah drakula kacak tu.” Aku gelak.
“Seriusly? Drakula kacak tu tak try kau ke dik. Kau kan lawa.”
“Ewww. Scarylah.”
“Lain kali kalau dia muncul kau paku je tengkuk dia dengan paku 6 inci. Confirm dia bertukar jadi sekacak-kacaknya umat.” Usik along.
“Kalau kacak, aku okey je long, buatnya lepas aku paku tengkuk dia, dia bertukar jadi hodoh. Naya aku.”
“Percaya sangatlah dengan paku 6 inci tu.” Along tepuk kepala aku. dia juga yang bercakap, aku juga yang kena.
“Mana angah, dia balik kan?” tanya along.
“Dah pergi main futsal dengan Sidek.”
“Aik Sidek datang sini ke tadi?” Along pandang aku semacam.
“Aah.” Pendek je aku jawab, malas nak jawab panjang-panjang, nanti panjang pula usikan along pada aku.
Ah! Sidek bukan agenda aku, aku tak heran jagung dia tu. Sekarang ni pakcik hot, apa misteri sangat nombor-nombor tu?
YOU ARE READING
Pakcik Hot 1301
HumorPoskad art of illusion itu kunci rahsia mereka. Adakah mereka sebenarnya merentas masa. Atau mereka sebenarnya ada sesuatu yang menjadi misteri. Dejavu! Adakah itu kunci utama rahsia poskad tersebut? Atau mereka sebenarnya sedang merungkai conection...