Prolog

4K 96 0
                                    

PERGERAKAN Arissa terhenti. Mata tepat memandang wajah di depannya tanpa kelip.

"Bertunang?" Dia ulang perkataan yang didengarnya tadi dalam bentuk soalan. Takut-takut telinganya tersalah dengar

Dan anggukan kecil lelaki di depannya mengesahkan apa yang dia dengar adalah benar. Bukan bisikan palsu semata-mata.

"Dengan... Kak Ryana?" Soalan di tanya lagi dan jawapan yang dia terima juga anggukan seperti tadi.

"Kenapa tiba-tiba?"

Kali ini soalannya dibalas dengan satu keluhan. Sepertinya lelaki di depannya ini sedang menghadapi situasi yang sulit.

"Abang minta maaf sebab tak beritahu Rissa. Abang dengan Kak Ryana memang dah lama bercinta. Dan keluarga mahu kami bersatu segera."

Arissa menunduk. Sepertinya dia mahu menangis tetapi logiknya, tak ada alasan untuk dia berbuat begitu. Tak ada perjanjian yang mengatakan lelaki di depannya ini miliknya. Tak ada kata cinta yang terlafaz sepanjang mereka kenal dari kecil sampailah sedewasa ini.

Jika Kak Ryana yang menjadi pilihan sebagai suri hati, dia harus tumpang gembira.

Lantas, dia ukir senyum.

"Kak Ryana tahu ke abang selalu datang sini?"

Angguk lagi.

"Dia tahu." Perlahan saja jawapan yang keluar dari bibir lelaki yang sejak sekian lama dia letakkan harapan yang tinggi. Tapi hari ini, semuanya bagai jatuh ke bumi.

Arissa sedut nafas dalam.

"Atas alasan, tanggungjawab sebagai bakal abang ipar, begitu?"

"Rissa juga adik abang."

Arissa menunduk.

Adik?

Hampir setiap hari bermesej melalui whatsApp dan hampir setiap waktu juga bervideo call, hanya sebagai adik?

Kali ini dia senyum sinis pada diri sendiri. Dia yang buta menilai rupanya. Dia yang tersalah tafsir. Tapi, kalau orang lain di tempat dia pun, tentu akan tersalah juga.

Kuala Lumpur-London bukan dekat. Waktu juga jauh berbeza. Tapi lelaki di depannya ini sanggup lakukan apa saja jika dia meminta termasuklah terbang dari Kuala Lumpur ke London, tempat dia sedang belajar sekarang.

Mummy dan daddynya pun tak pernah memanjakan dia begitu, tak sekerap lelaki ini datang mengunjunginya.

Nafas dihela panjang. Nasib baik lagi dia tidak melepaskan angan-angan tinggi ke udara. Jika tidak, dia tak mungkin mampu berdiri jika terjatuh ke bumi.

"Abang sengaja pilih tarikh waktu Rissa cuti. Nanti abang booking tiket flight untuk Rissa balik."

"Kalau tak balik pun, majlis tetap berlangsung kan?" Arissa menduga.

Di hati sudah berbisik kata dua, balik dan hati akan terluka. Tak balik, hati keluarga pula yang akan tercalar.

Bila tiba waktunya nanti, dia harus memilih.

YANG LUAR BIASAWhere stories live. Discover now