"RENDAHKAN lagi kain sekolah kau tu. Bawah buku lali. Dah la stokin pendek."
Ketat saja wajah pengawas tu. Dengan jelingan sinis dia. Lengkap satu pakej yang menjengkelkan Helena.
Terpaksalah Helena tarik kain ke bawah hingga menyapu lantai. "Puas hati?" Helena membalas jelingan pengawas bernama Kifli tu.
"Lagi satu... esok datang sekolah, pakai anak tudung. Rambut kau berjuntai sana sini depan belakang."
Pesanan terakhir Kifli sebelum dia beredar, benar-benar membakar hati Helena. Giginya diketap rapat. Buku lima digenggam erat. Kenapa Kifli sengaja cari pasal dengan dia? Dia ada buat salah ke? Ramai lagi pelajar yang tak pakai anak tudung. Kenapa dia sorang aje yang Kifli tegur? Sambil jalan hentak kaki, Helena berjalan ke kelas. Wajahnya bungkam.
Baru saja dia duduk, tudungnya ditarik dari belakang. Helena dah bersedia nak hayun buku lima waktu dia berpaling. Tapi sengihan Amara batalkan niat dia.
"Kau nak apa?" bentak Helena lalu turunkan buku lima ke bawah.
"Kau kena tegur dengan Kifli ek?" Amara tergelak-gelak mengejek.
Helena berdengus marah. Bertambah masam mukanya. Lalu dia berpaling semula ke depan. Malas nak melayan Amara. Cikgu Suhaimi melangkah masuk.
"Bangun!" Suara ketua kelas kuat memerintah. Kemudian beramai-ramai mengucapkan salam kepada cikgu. Kalau di sekolah lamanya, Selamat Pagi Cikgu sebab ada pelajar bukan Islam. Di sekolah tu, boleh dibilang dengan jari jumlah pelajar bukan Islam. Maka sebab itu, mereka disuruh mengucapkan salam.
"Kenapa la kena cari X? Aku dah ceraikan ex aku lama dulu," Maimun di sebelah merungut bengang sambil membuka buku teks. Cikgu Suhaimi dah membebel sorang-sorang kat depan bersemangat bercerita mengenai persamaan kuadratik. Sesekali dia berbahasa Inggeris dan wajah-wajah pelajar dalam kelas bertukar kosong.
Rasa nak tergelak, Helena tahan lepas dengar komen Maimun. Dia dengan Maimun tak pernah bercakap. Sombong sangat gadis kat sebelahnya tu. Walau duduk semeja, tak pernah pun dia nak berbalas senyuman. Pernah juga Helena cuba menegur. Tapi Maimun pekakkan telinga.
"Maimun, selesaikan persamaan ni." Cikgu Suhaimi mula petik nama.
Malas-malas Maimun bangun dan ke depan kelas. Terkulat-kulat dia merenung papan hitam. "Tak bolehlah, cikgu. Saya tak faham." Selamba dia jawab tanpa mencuba.
Cikgu Suhaimi mengeleng tak puas hati. Dia pandang ke seluruh kelas. Semua pelajar tunduk pandang buku. Masing-masing tak berani angkat muka kecuali pelajar baharu yang bernama Helena tu. Pelajar tu siap boleh termenung pandang ke luar kelas. Berani sungguh dia!
"Helena!"
Semua perhatian tertumpu kepada Helena. Lambat-lambat pelajar tu bangun dan ke depan kelas. Kapur dicapai dan dengan mudah persamaan kuadratik tu diselesaikan. Cikgu Suhaimi mengangguk puas hati. Manakala seisi kelas melopong kagum. Begitu senang Helena selesaikan masalah Matematik tu tanpa langsung berbunyi.
"Helena, jelaskan pada kelas maksud persamaan kuadratik." Sengaja Cikgu Suhaimi nak menguji lagi.
Helena siap tulis lagi formula kuadratik atas papan hitam. Selamba saja mukanya sebelum dia letakkan kapur dan kembali ke tempat duduk.
Suasana dalam kelas jadi sunyi. Janggal sebelum Cikgu Suhami bersuara. "Bagus, Helena. Tepat sekali penjelasan kamu." Kembang hidungnya sekejap. Buat pertama kali ada pelajar dari kelas tercorot tu yang dapat mengungkapkan dengan jelas, dalam bahasa Inggeris, maksud persamaan kuadratik. Pada pendapatnya, Helena patut duduk di kelas hadapan sekali. Dia perlu usulkan perkara tu kepada guru kelas.
Maimun yang kembali ke tempat duduk, mencebik muka dan menjeling ke arah Helena yang sambung mengelamun pandang ke luar kelas.
"Wahh... hebatnya kau dalam kelas Math tadi." Amara peluk-peluk bahu Helena tika mereka berjalan menuju ke kantin pada waktu rehat. "Cikgu Suhaimi tak pernah puji sesiapa dalam kelas kita. Selalu dia cakap sorang-sorang kat depan kelas. Tak siapa pun faham apa yang dia ajar. Sekejap cakap Melayu sekejap cakap omputih. Konpius la." Amara sambung membebel.
"Hmm..." Hanya itu balasan Helena. Dia tak rasa istimewa pun sebab di sekolah lamanya, dia antara pelajar paling lembab. Di sekolah itu, di dalam kelasnya, tiba-tiba dia jadi pelajar terpandai terutama dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Kelakar pulak.
Dan kemudian, disebabkan kejadian tu, bila dia datang sekolah minggu berikutnya, dia ditukarkan ke kelas paling hadapan. Lagi ramai budak berlagak bagus dalam kelas tu termasuk pengawas yang menjengkelkan dia tu. Tapi Helena kekalkan riak dingin, beku dan buat muka ada-aku-kisah. Dia tak ada masalah dengan pelajaran lain kecuali Pendidikan Islam. Bila ustazah suruh baca ayat hadis ataupun al-Quran, memang dia alah. Gagap. Tak ada bunyi langsung. Dialah yang paling bodoh dalam kelas tu kalau dikehendaki membaca ayat.
"Tak tahu mengaji?"
Helena menggeleng. Akhirnya perkara tersebut sampai juga ke pengetahuan Rashdan selepas Nuha mengadu.
"El kena pergi kelas mengaji kat masjid," putus Rashdan.
Nak membantah, Helena memang segan. Dah banyak budi Rashdan sekeluarga terhadapnya. Makan pakai dia terjaga. Duit belanja pun diberi. Segala keperluan dia, disediakan. Cuma yang tak diberi ialah kebebasan sewenang-wenangnya. Aktiviti luar sekolahnya dikawal. Itu saja kekurangan yang ada. Buat masa ni, Helena terpaksa akur. Dia tiada tempat lain nak dituju. Pulang ke KL bererti dia menyerah diri kepada si bapak ayam.
Maka bermulalah kehidupan janggalnya setiap sebelum Maghrib iaitu mengaji. Dalam kelas tu, hanya dia sorang saja 'kanak-kanak' dewasa. Yang lain semua budak-budak sekolah rendah. Memalukan sungguh. Budak-budak tu lagi pandai daripada dia! Dan yang paling dia tak suka, pengawas nama Kifli tu kaki masjid rupa-rupanya. Banyak kali mereka terserempak depan pintu masjid. Sinis dan dingin aje renungan pemuda tu. Benci sangat ke dia pada Helena? Belum kenal dah mengadili dirinya.
Setiap kali dia terserempak dengan pengawas tu kat luar kelas, ada aje modal dia nak menegur Helena. Kata-kata dia celopar dan terlalu berterus-terang. Seolah-olah dia dah biasa dengan Helena. Padahal Helena tak pernah kenal pun dengan pengawas tu. Mereka tak pernah berkenalan. Dia tahu nama pengawas tu Kifli pun sebab tag nama. Dia tahu Kifli Tingkatan Lima pun sebab Amara yang cerita dulu dan sekarang mereka sekelas. Lebih dari tu, dia tak kenal siapa Kifli. Pengawas tu begitu berani tegur dia macam-macam. Anehnya, dia tak tegur depan-depan pelajar lain. Dia tegur bila mereka hanya berdua.
"Kain kau jarang. Lain kali pakai pettycoat."
"Tudung kau pendek. Dah la bra warna-warni."
"Tak payah sinsing seluar trek sampai betis. Ni kampung, bukan bandar."
"Duduk tu sopan sikit. Tak payah terkangkang sangat macam buka gawang gol."
Dah banyak kali Helena genggam penumbuk tiap kali Kifli tegur dia macam tu. Sakit telinga, sakit hati. Mulut Kifli memang celopar dan kurang ajar!
Helena terpaksa tahan sabar. Kalau ikutkan hati, memang dia belasah Kifli cukup-cukup. Dia tak buat sebab tak mahu malukan Nuha. Walaupun ramai pelajar perempuan kat sekolah tu macam tak suka dia. Tapi disebabkan dia saudara Cikgu Nuha, maka mereka tak berani buli dia terang-terangan. Sekadar membawang dan layan dia macam tak wujud aje. Pelajar lelaki pula sekadar pandang-pandang gatal aje. Belum ada yang seberani Kifli tegur dia macam-macam.
***siapa tak suka Math mcm Maimum? Aiiiii...tak suka math...huhuh
YOU ARE READING
HEVIN & HELL [Published]
RomanceKisah dua budak, sorang nama Hell, sorang nama Hevin. Dorang jumpa secara tak sengaja masa Hevin pegi bantai Harry yang tgh nak r@pe si Hell. Lepas bantai Harry, konon2 Hevin nak blah. Tp dia kesian tgk Hell. Jd dia pun bawa Hell balik kat umah dia...