BAB 13

20.6K 865 37
                                    

KAMELIA mengeluh perlahan, semua baki duit yang dia ada dengannya sudah dikumpulkan dan dikira namun masih tidak cukup RM 200 ringgit untuk membayar rumah sewanya bulan ini. Kening digaru sebelum badannya disandarkan ke kerusi kayu, otaknya buntu memikirkan di mana lagi dia harus mencari wang untuk mencukupkan duit sewanya. Sudahlah tarikh akhir bayar sewanya hari ini jadi dia sudah tidak cukup masa untuk mencari kerja sambilan.

Tangannya naik dan memegang perutnya yang sudah sedikit membuncit.

"Anak mama... mama buntu nak cari duit, sayang. Kalau kita tak bayar sewa, kita akan dihalau. Dekat mana kita nak berteduh sayang?" luahnya pada nyawa yang sedang membesar di dalam perutnya tika ini. Memang setiap kali dia sedih atau sedang berada di dalam tekanan, hanya anaknya tempat dia meluahkan segalanya.

Perutnya berkeroncong perlahan. Kamelia menghela nafas lemah.

"Sayang lapar ke? Maafkan mama sayang... mama terpaksa ikat perut sebab kita tak cukup duit nak beli makanan. Kita minum air putih je dulu sementara waktu ya? Mama tahu sayang lapar sekarang ini, mama pun. Mama minta maaf ya?" Pujuknya pada nyawa yang masih tidak bergerak tersebut.

Gelas kaca yang baru sahaja hendak diangkat terjeda saat bunyi pagar rumahnya digoyangkan. Kamelia pantas bangkit dan mendekati tingkap rumahnya. Bibir diketap kuat saat orang yang datang ke rumahnya itu adalah tuan rumah.

"Asalamualaikum," laungnya kuat.

"Asalamualaikum."

Sekali lagi salam diberikan. Lama Kamelia cuba mengumpulkan keberanian sebelum menapak mendekati daun pintu. Tombol pintu dipulas lalu kakinya menapak keluar dari rumah teres tersebut, lelaki itu sudah berpeluk tubuh memandang ke arahnya. Wajahnya tampak tegang.

"Mana duit sewanya? Saya dah tunggu dari pagi tau." Soalnya berterus-terang. Kamelia mengetap bibir kuat.

"Encik kalau saya minta untuk tunda bayar dalam dua tiga hari lagi boleh? Saya cuma ada RM 300 je sekarang ni. Kalau encik bagi saya masa, saya boleh bayar lagi baki RM 200." Pinta Kamelia, dompet yang sudah usang warnanya dikeluarkan dari poket seluar slack yang dipakai.

Rahim menghembus nafas kasar.

"Bukan saya tak nak bagi awak masa tapi saya tak suka orang lambat bayar sewa ni." Kamelia menyatukan kedua telapak tangannya bersama. Wajahnya jelas kelihatan merayu meminta simpati dari lelaki berkaca mata itu.

"Tolonglah encik, saya merayu bagi saya masa untuk bayar sewa. Encik ambil dulu RM 300 ringgit ini, dua hari lagi saya akan bayar bakinya." Rayu Kamelia, Rahim menggeleng.

"Sampai esok pagi je masa awak. Kalau awak tak dapat bayar sewa esok pagi, saya terpaksa halau awak. Saya pun memang dah ada penyewa baru." Kamelia mengangguk laju. Nampaknya dia terpaksa mencari kerja sambilan malam ini untuk mencukupkan duit baki sewa yang perlu dia bayar.

"Boleh encik, tolong jangan bagi rumah ini pada orang lain."

"Saya tak janji tu, kalau awak lambat, jangan salahkan saya. Lagi satu, kalau awak tak bayar sewa esok pagi, duit deposit awak dikira burn." Ucapan Rahim membuatkan wanita itu terkesima.

"Tapi encik... itu duit deposit, saya sepatutnya..."

"Jangan banyak cakap. Awak nak ke tak nak saya bagi awak masa ni? Kalau tak, saya bagi rumah ni pada penyewa baru." Ugutnya membuatkan Kamelia menghela nafas lemah. Dia tidak mahu kehilangan tempat dia berteduh bersama nyawa yang sedang dikandungnya ini.

"Ingat, sampai esok pagi je."

Kamelia menghantar pemergian lelaki berkaca mata petak itu dengan sorotan mata sebelum bibir merah jambunya menghela nafas kecil. Tangannya naik dan memegang perutnya yang berlapik dengan baju blaus yang dipakainya.

ESPOIR [EBOOK]Where stories live. Discover now