BAB 8

19K 786 8
                                    

"The most hurtful thing in this world is being lied to by a loved one."

KETUKAN bertalu-talu di daun pintu menyentakkan Kamelia yang sedang dibuai mimpi lena, pantas tubuhnya dipaksa bangkit dari pembaringan. Sempat rambut yang menutup dahi ditolak ke belakang telinga. Dahi diurut perlahan, berkerut-kerut wajahnya menahan sakit kepala yang mencengkam kepalanya saat ini.

"Lia... Lia tak pergi kerja ke hari ini?" suara Puan Nora kedengaran, Kamelia mengeluh kecil. Kenapa aku boleh terlupa nak maklumkan pada umi yang aku cuti hari ini? Bisik hati kecilnya.

"Lia cuti hari ni, umi." Balasnya dengan suara yang sedikit serak. Tekak disentuh, entah mengapa tekaknya terasa seakan pahit saat ini tetapi digagahkan juga untuk bersuara, risau wanita separuh baya itu khuatir.

"Oh, umi ingatkan Lia terlewat bangun..." Puan Nora membuka daun pintu bilik, Kamelia pantas mengukir senyuman lemah. Wanita separuh baya itu segera mendapatkan anak perempuannya sejurus wajah pucat Kamelia menyapa kornea matanya lalu suhu badan anaknya diperiksa. Jelas raut wajah Puan Nora kelihatan gusar.

"Eh Lia demam ni, kenapa tak cakap Lia demam?" soal Puan Nora, Kamelia menggeleng.

"Lia tak apa-apa, Lia cuma tak sihat sikit je. Dari semalam lagi kepala ni sakit, mungkin Lia kurang rehat kot. Umi jangan risau, petang nanti kepala Lia okaylah." Tangan uminya dipegang lalu dgosok lembut.

"Iya Lia okay aje! Okay, apa kata kalau macam ni, kalau Lia betul-betul tak larat petang nanti, Lia panggil umi. Kita pergi klinik sama-sama. Setuju?" tambahnya lagi di saat wanita itu terlihat ragu-ragu, Puan Nora terdiam lama sebelum mengangguk akur. Pipi anak perempuannya dipegangnya lalu dielusnya kasih.

"Okay, umi pegang kata-kata Lia. Kalau petang nanti, sakit Lia teruk sangat, umi tarik Lia juga pergi klinik, umi tak kisah!" tegas wanita itu, Kamelia tersenyum pendek sambil menjatuhkan kepala beberapa kali.

"Ni, umi pergi ambil panadol sekejap..."

Kepergian uminya dhantar dengan sorotan mata. Sejurus bayangan Puan Nora hilang, Kamelia menyandarkan kepalanya di kepala katil lalu kelopak matanya dipejam sejenak.

Satu persoalan menghimpit fikirannya tika ini. Kenapa dia sakit kepala sejak kebelakangan ini?

Kenapa?

KAMELIA menapak berjalan dengan perlahan ke arah dapur, bau masakan Puan Nora yang enak membuatkan perutnya berkeroncong hebat meminta diisi. Lagi pula, sekarang ini dia sedang teringin hendak makan lauk asam pedas ayam buatan uminya. Rasa seakan memikirkan benda itu sahaja sudah mampu membuatkan air liurnya mengalir.

Kelihatan Puan Nora sedang fokus berperang di dapur sehinggakan kehadiran anak perempuannya langsung tidak dia sedari.

"Umi..." seru Kamelia lembut

Puan Nora pantas menoleh lalu senyuman kecil dihadiahkan buat anak perempuannya.

"Lia, dah okay ke kepala Lia? Lia lapar?" soal wanita separuh baya itu prihatin, Kamelia pantas mengangguk laju. Perut digosok tanda dia sedang lapar, dari pagi tadi sampai sekarang dia tidak menjamah sebarang bentuk makanan pun, hanya air putih sahaja yang diteguk bagi mengurangkan rasa pahit di tekaknya.

"Lauk ayam masak kicap belum..."

"Umi masak asam pedas ayam ke?" potong Kamelia teruja membuatkan ucapan Puan Nora terjeda. Pantas wanita separuh baya itu berkerut aneh. Lambat-lambat kepalanya dijatuhkan membenarkan persoalan Kamelia. Pantas senyuman lebar menghiasi wajah jelita itu.

"Eh, tak pernah umi tengok Lia suka masak asam pedas ni? Selalunya merungut macam apa je. Ini teruja semacam..." tegur uminya membuatkan Kamelia terdiam. Dia sendiri pun pelik dengan seleranya sekarang ini. Melihat asam pedas uminya benar-benar membuatkan Kamelia terkecur air liur.

"Lia rasa teringin pula nak try hari ini, nampak macam sedap." Puan Nora tersenyum kecil mendengar, kelihatan kepalanya dijatuhkan beberapa kali.

Sedang Kamelia teruja hendak menunggu lauk uminya siap, kepalanya terasa kembali sakit. Hampir rebah wanita itu dibuatnya tapi cepat-cepat dia berpaut pada sinki batu, Kamelia menghembus nafas lega saat uminya kelihatan tidak sedar dengan kejadian sebentar tadi.

"Nah Lia tolong letakkan atas meja..."

Mangkuk berisi penuh lauk asam pedas ayam dihulurkan ke anak perempuannya, Kamelia sekadar mengangguk akur. Sakit kepala yang terasa mencengkam tadi terus dilupakan memandangkan dia teruja melihat lauk asam pedas yang sudah siap dimasak oleh uminya. Puan Nora hanya tersenyum melihat kerenahnya.

"Lia makanlah, umi nak pergi panggil yang lain kejap." Sekali lagi Kamelia mengangguk akur.

Belum sampai lagi di meja makan, pandangannya sudah berubah kabur tapi dia gagahkan juga dirinya untuk tetap menapak mendekati meja makan yang berada tidak jauh dari dapur tetapi pada akhirnya Kamelia jatuh juga bersama mangkuk yang dibawanya tadi.

Dari kabur, pandangannya berubah menjadi gelap. Dia sudah tidak menyedari apa yang terjadi selepas itu.

Baru sahaja nama anak-anaknya dan sang suami hendak dilaung, dia dikejutkan dengan bunyi kaca pecah dari dapur. Puan Nora pantas meluru kembali ke arah dapur, hampir gugur jantungnya saat pandangannya dijamahkan dengan keadaan anak perempuannya yang sudah terbaring di atas lantai.

Bergegas Puan Nora mendapatkan anak perempuannya.

Kepala anaknya diletakkan ke atas pehanya lalu pipi Kamelia ditepuk perlahan, malangnya langsung tidak ada tanda-tanda yang anaknya akan sedar.

"Abang!" jeritnya kuat.

Dadanya sudah berombak kencang. Air matanya sudah mengalir dari tubir mata.

"Nora, kenapa je... Allah! Kamelia, kenapa ni?" Encik Ismail segera mendapatkan isterinya yang sedang memangku anak mereka, melihat gelengan sang isteri membuatkan Encik Ismail sedikit panik.

"Kita, kit..." lengannya terasa digoncang kuat.

"Aban..." suara Puan Nora seakan tidak keluar dari kerongkongnya, Encik Ismail memandang pelik saat raut wajah sang isteri kelihatan sudah pucat. Pantas matanya dialihkan ke arah yang ditunjukkan oleh isterinya. Alangkah terkejutnya dia saat matanya memandang ke arah seluar putih yang dipakai anaknya sudah dilumuri dengan darah pekat.

Jantungnya seakan ingin gugur. Otaknya seakan berhenti berfungsi saat ini.

Apa semua ni?

"Abang..." tangisan Puan Nora semakin hebat manakala Encik Ismail cuma terdiam. Sekarang ini dia sedang dalam fasa terkejut. Apa maksud semua ini?

ESPOIR [EBOOK]Where stories live. Discover now