BAB 14

20.3K 868 23
                                    

KAMELIA terkesima memandang pelbagai jenis makanan yang sudah siap dihidangkan di hadapannya, sudah lama rasanya sejak kali terakhir dia melihat makanan mewah sebegini dengan mata kepalanya sendiri. Perut yang berkeroncong hebat menyedarkan Kamelia dari lamunannya.

"Makanlah Lia... ke awak tak suka makanan ni? Kalau tak suka, saya akan suruh Pak Tam untuk sediakan makanan lain untuk Lia." Baru sahaja lelaki itu hendak bangkit memanggil pemandunya di luar, Kamelia pantas menahan. Laju dia menggeleng perlahan. Dia sebenarnya segan dengan Tengku Ian kerana sudah banyak lelaki itu membantunya, dia takut dia tidak mampu membayar semula budi baik lelaki itu.

"Saya takde duit nak bayar Ian semula. Semalam duit yang terakhir bersama saya dah dibawa peragut-peragut tu. Saya tahu makanan ni semua mahal, kalau saya ada duit nanti, saya akan bayar Ian se..."

"Hey, Lia cakap apa ni? Saya bagi Lia makanan ni bukan untuk Lia bayar semula. Saya ikhlas tolong Lia dengan anak Lia, malnutrisi sangat berbahaya kepada Lia dan juga baby. Jadi, sekarang Lia jangan fikir pasal duit atau masalah lain, Lia fokus untuk baby dan kesihatan Lia." Ucapan Tengku Ian sedikit sebanyak membuatkan Kamelia merasakan sebak. Sudah lama tiada orang yang melayannya sebaik lelaki ini. Air matanya sudah bertakung di tubir mata kembali.

Entah kenapa sejak sedar dari lena tadi, dia merasakan dirinya seakan mudah beremosi dan sensitif.

"Kenapa Ian baik dengan saya sedangkan kita tak kenal?"

Lelaki itu mencarik senyuman tipis.

"Arwah papa saya cakap 'It costs nothing to be kind, in a world where you can be anything, be kind.' Sampai sekarang pesanan tu saya dengan mama saya pegang hingga ke hari ini. Syukur alhamdulilah, bila kami diuji ujian, ada orang yang sudi membantu kami pula. Jadi, Lia jangan rasa susah hati fikir tentang bantuan yang saya berikan ni. Saya bersumpah, saya takkan claim apa-apa dari Lia. Saya cuma nak tengok Lia dengan baby selamat." Balasannya membuat esakan Kamelia akhirnya pecah. Lelaki tampan itu sudah tersentak. Dia salah cakap lagi ke?

"Terima kasih Ian, saya terhutang budi dengan awak."

"Jangan nangis lagi, Lia. Kalau Lia nangis macam ni, saya yang tak senang duduk." Sapu tangan miliknya dikeluarkan dari poket seluar lalu diberikan kepada wanita itu. Jadi panik dia kerana Kamelia tiba-tiba sahaja menangis. Dia sudahlah tidak pandai memujuk wanita.

"Maaf saya sensitif sangat pula hari ini. Selalunya saya okay je." Ujarnya dengan air mata yang dihapuskan menggunakan sapu tangan lelaki itu. Bertambah segan dia dengan Tengku Ian, sudah dua kali dia menangis di hadapan lelaki itu.

"It's okay, saya faham ibu mengandung memang sensitif."

"Lia makanlah, baby dah lapar tadi kan? Nanti baby merajuk dengan mama dia pula kalau lambat makan." Kamelia mengangguk akur, air matanya tidak henti-henti keluar cuba ditahan dari terus mengalir.

"Boleh saya makan?"

"Boleh, makanlah. Saya memang beli untuk Lia, jangan risau saya dah rujuk dengan doktor tadi. Ini semua makanan yang berkhasiat untuk kandungan Lia." Kamelia tersenyum terharu, terharu dengan kepedulian Tengku Ian kepadanya.

"Terima kasih Ian,"

Lelaki itu hanya mengangguk bersama senyuman tipis.

Seusai kalimah basmalah dibaca bersama doa makan, lauk asam rebus ikan tenggiri diceduk lalu dituangkan ke atas nasi putih yang berada di hadapannya. Isi ikan dicubit sedikit sebelum disatukan bersama nasi lalu disuapkan ke dalam mulut.

Terangguk-angguk kecil dia saat kelazatan lauk tersebut mulai terasa.

Dia benar-benar lapar sekarang ini.

Makanan tersebut disantap penuh selera.

Manakala Tengku Ian memandang simpati ke arah Kamelia yang tampak benar-benar kelaparan. Dia tertanya-tanya tentang suami wanita itu, di mana lelaki itu berada? Mengapa lelaki itu membiarkan isterinya terbiar sebegini? Sudahlah semalam wanita itu berada di kawasan gelap itu seorang diri, di tambah pula, kesihatan wanita itu juga terbiar sehingga disahkan malnutrisi.

Suami jenis apa yang tidak peduli pada isterinya yang sedang sarat mengandung?

KAMELIA menyarungkan kasut sarungnya berwarna beige yang sudah tampak lusuh ke kaki. Dia sudah mahu keluar dari hospital memandangkan dia tidak mempunyai duit untuk membayar duit bil hospital jika berterusan tinggal di sana. Sekarang ini pun otaknya sedang memikirkan cara untuk membayar bil semalaman dia berada hospital.

Hujung jari kukunya digigit. Puas otaknya dipaksa memikirkan cara tetapi semuanya berakhir buntu. Semua duit yang dia ada sudah dibawa peragut itu semalam.

Bunyi pintu ditolak membuatkan wanita itu pantas memandang ke daun pintu, muncul Tengku Ian. Lelaki itu meminta diri keluar sebentar tadi, mungkin ada urusan yang hendak diselesaikan.

"Jom, saya tolong hantarkan Lia pulang."

Kamelia menggeleng perlahan.

"Takpe Ian, saya boleh balik sendiri."

"Eh takpelah, Lia tinggal dekat mana? Mana tahu dekat dengan area rumah saya ke?" Tengku Ian masih berkeras mahu membantu. Selepas apa yang terjadi kepada wanita jelita itu, hatinya dipalu rasa khuatir hendak melepaskan Kamelia pulang sendiri.

"Taman Melati Putih,"

"Jauh sangat tu dari sini, takpelah biar saya hantarkan Lia pulang."

"Tapi Ian..."

"Rumah saya dekat area situ je," belum sempat Kamelia menolak, lelaki itu terlebih dahulu mencelah. Semakin bertambah segan dia dengan kebaikan yang tidak kunjung habis Tengku Ian berikan. Dia takut jika lelaki itu akan mengira dia menggunakan kebaikan lelaki itu.

"Dah jom,"

"Bagi saya masa sekejap untuk selesaikan bil semalaman saya tinggal di sini."

"Oh tak perlu, saya dah bayarkan semuanya. Lagipun, Lia cakap tadi semua duit Lia dah dibawa peragut kan? Anggap je ini rezeki baby okay? Saya ikhlas tolong," ucapan lelaki itu benar-benar membuatkan sekeping hatinya dihimpit rasa bersalah dan malu.

"Kalau saya ada duit di kemudian hari, saya janji saya akan bayar Ian semula."

Tengku Ian sekadar tersenyum tipis, tidak menolak atau tidak menerima kata-kata Kamelia kerana dia tahu wanita itu hanya akan membalas kembali ucapannya.

"Jom?"

Kamelia mengangguk akur. Sedikit sebanyak hatinya merasakan lega kerana tidak perlu fikir di mana dia harus mencari wang untuk membayar bil hospital. Hatinya benar-benar bersyukur Tuhan mempertemukan dia dengan lelaki sebaik Tengku Ian. 

ESPOIR [EBOOK]Where stories live. Discover now