Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
"NAH!" Beberapa kepingan duit RM50 dicampak tepat di muka Iman.
Terkejut bukan kepalang Iman, diperlakukan seperti itu oleh Adam. Baru saja dia membuka matanya, tiba-tiba diserang dengan kepingan duit. Wajah bengis Adam dipandang kosong. Selimut ditarik menutupi tubuh yang terdedah. Adam yang kelihatan baru selesai mandi dan masih bertuala paras pinggang itu dipandang lagi.
"Duit ni untuk apa?" Iman menyoal dalam keadaan yang masih mamai. Kantuknya masih bersisa.
"Untuk layanan tip-top kau semalam. Harap 300 tu cukuplah. Kalau aku nak lagi, aku bagitahu. Aku bayar lebih." Adam mengukirkan senyuman puas hati.
Langkah diatur menuju ke almari pakaian. Sweater berwarna hitam dikeluarkan lalu dipadankan dengan seluar jeans putih. Dengan selamba, Adam memakai pakaiannya di hadapan Iman yang masih terkial-kial di atas katil.
"Adam, ambil balik duit ni. Saya tak nak." Tangan Adam ditarik. Duit yang Adam berikan, dipulangkan semula.
Mata Iman sudah panas dan berkaca-kaca. Dia menarik selimut hingga ke paras dadanya. Sungguh, dia tak menyangka Adam akan memperlakukannya sebegini sekali. Dia dilayan seperti perempuan murahan.
Ya, dia tak sepatutnya meletakkan sebarang harapan yang tinggi. Harapan yang Adam akan menerima, menyayangi dan memperlakukannya seperti seorang isteri. Dia sedar kedudukkannya di dalam hati Adam. Adam bencikan dia. Adam jijik dengannya.
Tapi, apa yang terjadi di antara mereka semalam... hanya disebabkan nafsu semata-mata? Ini bukan kali pertama Iman menyerahkan tubuhnya pada Adam.
Kenapa Iman tak pernah serik? Adam cuma mahukan tubuhnya.
"Ambil ajelah! Anggap aje duit ni hadiah daripada aku. Servis kau tak pernah tak mantap. Pandai kau bermain dengan nafsu aku. Ni mesti dah banyak kali main dengan jan..." Belum habis Adam berkata-kata, Iman sudah melayangkan penampar pada pipi kanan Adam.
Adam terpempan. Pipi yang terasa pijar, dipegang. Dia menggigit bibir bawahnya sebelum menolak kuat tubuh isterinya hingga jatuh ke lantai. Tahap kesabarannya mula tercabar. Matanya tajam menikam anak mata Iman.
Iman lantas bangun, berdiri dan menghadap Adam semula. Dia mendongak memandang Adam yang jauh lebih tinggi darinya. Iman memukul kuat dada bidang Adam sambil menangis.
"Lepaslah perempuan! Jangan sentuh aku!" Adam membentak.
"Kenapa? Awak jijik dengan saya. Awak, saya ni isteri awak. Tolong... tolong jangan pijak maruah saya. Saya pun ada harga diri, Adam," tutur Iman perlahan. Air mata dibiarkan mengalir.
Mendengar kata-kata Iman, kedua-dua belah kening Adam terangkat. Dia terasa mahu ketawa. Iman ada harga diri? Oh, jijiknya. Maruah perempuan murahan seperti Iman tak layak dihormati! Macamlah Adam tak kenal siapa Iman. Iman, perempuan paling desperate yang Adam pernah kenal. Sanggup jual badan demi mendapatkan sekeping hati seorang Adam.
"Baik kau tutup ajelah mulut kau Iman. Tak payah nak tunjuk diri tu baik sangat. Siap cakap pasal harga diri. Dah pelacur tu, buatlah cara pelacur!" sembur Adam. Muka isterinya diludah tanpa belas kesian.
Iman tersentak. Dia terdiam kaku. Bibir dirapatkan, matanya menekur lantai.
Tidak betah berlama-lama di dalam bilik, Adam terus saja berlalu keluar dari bilik tidur. Pintu bilik dihempasnya dengan kuat.
Iman memeluk lututnya, erat. Dadanya terasa sesak. Dia menangis tersedu-sedan, menangisi nasibnya. Hatinya benar-benar terluka menerima hinaan Adam. Baru dua hari mereka berkahwin, sudah banyak air mata yang dibazirkan. Mungkin sebulan nanti, air matanya cukup untuk mengisi dua buah baldi besar.
"It's okay Iman... ALLAH ada."
"KENAPA kau datang kerja hari ni, Dam?" Aziz hairan. Sepatutnya Adam masih bercuti lagi hari ini. Cuti kahwin. Tak pergi honeymoon ke?
Adam mendengus. Menyampah pula dia dengan soalan ni. Hampir semua pekerja hotel, merangkap rakan sekerja mengajukan soalan yang sama padanya.
"Tak salah pun kalau aku datang, kan?" balas Adam tanpa perasaan. Nadanya dingin saja.
Baju cef berwarna hitam disarung ke tubuh. Kemudian, dia mencapai apron paras pinggang, lalu dipakai. Tidak lupa topi cefnya.
"Memang tak salah. Tapi, kan bos dah bagi cuti seminggu dekat kau. Takkanlah kau tak pergi honeymoon dengan bini kau?" ujar Aziz lagi. Papan pemotong kayu yang dihulur Adam disambut dan diletakkan di atas meja.
Aziz rasa pelik dengan Adam. Kebiasaan pasangan yang baru berkahwin akan duduk di rumah, menikmati cuti berbulan madu. Bermanja-manja dengan isteri, berkepit bawah ketiak. Tapi Adam, boleh pulak dia datang kerja dengan wajah tak berperasaan. Tak ada senyuman, tak ada sengihan! Tak ada seri pengantin baru pun.
Malam pertama gagal ke apa Adam ni?
"Honeymoon? Huh, membazir duit aku ajelah, bukan best mana pun," tutur Adam. Tangannya lincah memotong sayur-sayuran.
Pergi honeymoon dengan Iman? Puih! Dengar pun dah rasa seram. Dengan hubungan mereka yang tiada hala tuju, bergaduh setiap masa, tak syok rasanya nak berbulan madu. Dia tak mahu habiskan masa dan menikmati saat-saat berdua dengan seseorang yang dia tak cinta. Macam tak ada function aje pergi honeymoon tu nanti.
"Sekali-sekala keluarkan duit tak apalah, Dam. Best apa dapat spent time dengan isteri. Sementara korang belum ada anak, korang bercintalah puas-puas. Nanti bila dah ada anak, susah sikit. Nak berkepit pun anak tak bagi!" luah Aziz, suami dan ayah kepada tiga orang anak.
Bila dah ada anak, semuanya terbatas. Nak bermanja dengan isteri pun payah. Kena pandai cari masa. Bila anak tidur, keluarlah perangai merenyam laki bini.
Anak? Adam tak nak ada anak dengan Iman. Dia tak sudi menjadi ayah untuk anak yang dikandung dan dilahirkan oleh perempuan itu. Iman tak layak menjadi ibu kepada anak-anaknya.
"Kau tak faham, Aziz." Adam mengeluh lagi.
"Apa yang aku tak faham?"
Adam berdecit. Dia malas membuka cerita mengenai perkahwinan yang diatur oleh mamanya. Kalau dia buka cerita pun, dia yakin Aziz takkan menyokongnya. Jadi, Adam memilih untuk mendiamkan diri.
"Takde apalah. Baik kau tutup mulut kau tu. Tempias karang," pesan Adam. Sesekali matanya melirik ke arah Aziz yang masih memandangnya.