Perlahan Aikha bawa plastik makanan berisi roti keluar daripada kedai serbaneka. Mata jatuh pada langit malam yang ada bintang. Nampaknya malam ni ada bintang. Mungkin takkan hujan esok.
Aikha mula melangkah sebelum mata dia tertancap pada sekeping kertas lama yang terlekat pada tiang elektrik. Perlahan, dia dekati tiang tersebut sebelum gambar lama tersebut dia teliti.
Gambar kelas Aikha sewaktu lima tahun lepas. Tapi hanya seorang yang menjadi tumpuan.
Iddean Mikael.
Aikha renung wajah Iddean Mikael di dalam gambar tersebut. Iddean, dia sedang tersenyum sehingga menampakkan giginya yang teratur.
Iddean Mikael, siapa tak kenal dia?
Seorang lelaki yang sangat bising di dalam kelas tetapi tidak pernah menimbulkan masalah.
Sering menolong orang.
Malahan rajin.
Semua orang di kawasan ini kenal dia. Iddean Mikael si periang.
Namun suatu hari, Iddean keluar memancing bersama kawan-kawan dia.
Dan sejak itu dia tidak pulang. Laporan polis dibuat.
Namun tiada bukti dapat dijumpai.
Dia... hilang tanpa jejak.
Seakan dia tak pernah wujud.
Keluarga Iddean mula berpindah setahun selepas kehilangan dia. Mungkin tidak dapat menerima hakikat kehilangan seorang anak lelaki yang periang dan ceria. Semenjak itu, tiada siapa yang pernah tinggal di rumah lama keluarga Iddean.
Rakan sekelasnya pula seakan mula melupakan Iddean.
Senangnya mereka lupakan orang yang telah menolong mereka.
Kalau.. kalau Iddean tak hilang. Aikha ingin berjumpa dia sekali lagi kerana lelaki itulah orang pertama yang menegur dia sewaktu dia berpindah ke sini.
Iddean adalah kawan pertama dia.
Takkan dia nak lupakan kebaikan yang dihulur oleh lelaki tersebut.
Pak!!
Aikha tersentak! Laju dia larikan tangan dia daripada gambar orang hilang tersebut bila sehelai kertas berwarna putih melekap pada tapak tangannya. Aikha buang kertas putih tersebut sebelum dia pandang sekeliling.
Sunyi.
Langsung tiada orang yang berjalan di sekitar rumah kedai ini.
Mungkin angin. Aikha cuba untuk tenangkan fikiran dia sendiri. Sekali lagi, Aikha teliti wajah Iddean.
Wajah putih bersih milik Iddean. Rambutnya yang hitam berkilat dan lurus. Mata bulat berwarna coklat cair. Tinggi.
Kring!
Dan bunyi pintu kedai serbaneka terbuka menarik perhatian Aikha. Pandangannya jatuh pada figura lelaki yang baru sahaja melangkah keluar daripada kedai serbaneka tersebut.
Aikha terngadah.
Tinggi. Putih bersih wajahnya tapi seakan pucat. Rambut hitam berkilat dan mata berwarna.. coklat cair.
Baju. Baju dia sama dengan baju yang dipakai Iddean sewaktu hilang.
Dan waktu itu Aikha seakan tersedar sesuatu.
Iddean!
Tapi versi yang berumur lima tahun lebih tua!
"Iddean!"
Laju kaki Aikha cuba mengejar langkah figura lelaki mirip Iddean. Lelaki tersebut melangkah laju sebelum menghala ke arah lorong di sebelah kedai serbaneka.
YOU ARE READING
What If ✓
Short Story[COMPLETED] "Sometimes people are meant to fall in love with each other but not meant to be together. " Memori. Sangat unik. Apa yang Aikha ingat mengenai lelaki itu hanyalah rakan sekelas yang hilang lima tahun lepas namun kini telah dijumpai. Lela...