1

376 4 1
                                    


Tufail mencangkung di hadapan beberapa helai rumput di halaman rumahnya. Kemudian, hujung jarinya menyentuh lembut rumput yang berwarna hijau itu. Maka dengan izin Allah yang Maha Kuasa, rumput yang berwarna hijau itu serta-merta berubah warnanya menjadi biru langit. Lama dia perhatikan rumput itu. Kemudian, Tufail membayangkan warna merah pula di dalam mindanya. Jarinya sekali lagi bergerak menyentuh rumput yang berwarna biru langit itu. Maka sekali lagi, dengan izin Allah, rumput itu kini berubah pula menjadi warna merah. Tufail merenung rumput merah itu tanpa berkelip.


"Masih mempersoalkan nikmat Tuhan yang telah diberikan kepadamu, wahai anak muda?" satu suara yang cukup dikenali oleh Tufail kedengaran dari belakang. Tufail bangun dan berpusing 90 darjah. Kali ini, matanya bertembung dengan anak mata tua seorang lelaki yang berjambang putih dan memakai serban yang meliliti kepalanya. Wajahnya yang sudah tua dan berkerut itu kelihatan suci, sesuci jubah putih yang sedang dipakainya.


"Pak Syibli mengejutkan aku. Sudah berapa lama Pak Syibli berdiri di situ?" Tufail mengukir senyum mesra buatnya. Lelaki di hadapannya itu merupakan lelaki yang paling dihormatinya. Pak Syibli merupakan sepupu kepada bondanya, Permaisuri Zafirah. Pak Syiblilah yang banyak membantunya dan mengambil alih tugas ayahandanya semenjak raja Kota Tuhama itu mangkat. Tufail sudah banyak terhutang budi kepada Pak Syibli.


"Baru sahaja. Pak Syibli mahu menyampaikan satu perkhabaran kepadamu, Tuan Muda. Namun nampaknya Tuan Muda sedang sibuk menguji kekuatan sendiri di sini," Pak Syibli tersenyum sehingga kedua-dua matanya terpejam. Tufail segera berjalan beriringan dengan bapa saudaranya itu kerana dia tahu Pak Syibli ingin menyampaikan satu perkhabaran yang penting.


"Adindaku, Zafirah sudah semakin tenat. Kamu tahu kan, Pak Syibli sudah menganggap Permaisuri Zafirah sebagai adikku sendiri. Pak Syibli ingin melakukan apa sahaja untuk membantunya kembali pulih. Selagi nyawanya masih belum dijemput oleh malaikat Tuhan, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan bondamu. Tetapi..."


"Tetapi apa, Pak Syibli?" Tufail memotong kata-kata Pak Syibli. Dahinya sudah berkerut.


"Anak muda, memang tidak sabar." Pak Syibli tertawa kecil. "Pak Syibli sudah tua, makin tidak berdaya, bila-bila masa sahaja malaikat Tuhan boleh menjemput Pak Syibli. Jika sudah takdirku, mungkin Pak Syibli yang pergi dahulu sebelum ibumu."


"Janganlah begitu Pak Syibli. Katakan apa yang boleh aku lakukan untuk membantumu dan juga ibuku?" Tufail menarik sebuah kerusi yang diperbuat daripada batang pohon yang paling keras terdapat di Kota Tuhama untuk Pak Syibli. Pak Syibli melabuhkan punggungnya di kerusi itu. Mahu tidak mahu, dia perlu meluahkan juga segala yang terbuku di hatinya. Amanah itu perlu diserahkan kepada anak saudaranya itu. "Beginilah Tufail. Adinda Zafirah sebenarnya diracun orang."


"Diracun orang?" Tufail membulatkan matanya. Pak Syibli mengangguk perlahan. "Siapa Pak Syibli? Siapakah dalam kalangan penduduk Kota Tuhama ini yang berniat jahat terhadap ibuku? Biar aku penggal sahaja kepalanya demi membela nasib bondaku!"


"Sabar, anak muda. Dalam Islam, Rasulullah tidak pernah mengajar kita untuk membalas perbuatan jahat orang lain. Apatah lagi sehingga menumpahkan darah. Ketika baginda rasul dicaci dan dihina oleh masyarakatnya, baginda tetap bersabar bahkan mendoakan orang-orang yang mengasarinya itu mendapat hidayah Allah. Islam tidak pernah mengajar kita menzalimi diri sendiri dan orang lain. Beristighfarlah Tuan Muda." Ketika itu, seorang pelayan lelaki datang sambil membawa dua cawan kecil yang berisi air zam-zam untuk diminum oleh mereka berdua.

Tufail dan Pak Syibli mengambil minuman tersebut."Pak Syibli, aku bersalah. Tetapi, bagaimana jika pelaku durjana itu bukannya Islam? Pak Syibli sendiri tahu kan semenjak ayahanda Raja Al-Junaid mangkat, sebahagian daripada penduduk Kota Tuhama kembali murtad. Meskipun mereka masih mentaati kepimpinan bonda, kita tak tahu kan niat masing-masing? Mereka bukan saudaraku lagi, bererti aku bolehlah menghukum mereka," Tufail ingin menuntut keadilan. Dia sudah lebih berwaspada semenjak mendengar khabar kecurian banyak berlaku dalam Kota Tuhama baru-baru ini.

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now