9

67 2 0
                                    


Langit sudah hampir gelap. Tufail perlu mencari tempat untuk bersolat, namun dalam kawasan itu, Maria sudah mengingatkan bahawa jika ada orang yang melihatnya bersolat, dia akan dibunuh pada bila-bila masa sahaja. Tufail melajukan langkahnya.


"Kamu ini memang aneh ya, Tufail? Aku yang menunjukkanmu arah, tetapi kamu yang mendahuluiku. Perlahankanlah sedikit langkahmu," ujar Maria dari belakang. Sudah hampir beberapa jam mereka berjalan seperti itu.


"Maaf ya, Maria. Aku harus memberitahumu. Wanita boleh mendatangkan fitnah kepada lelaki. Oleh itu, aku terpaksa berjalan di hadapanmu. Usah khuatir, aku akan mendengar arahanmu dengan teliti. Tetapi buat masa ini, aku perlu mencari tempat untuk solat," jelas Tufail. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan.


"Adakah kamu tidak boleh meninggalkan solat dalam keadaanmu ini?"


"Astaghfirullah, tidak boleh, Maria. Solat itu merupakan tiang kepada agama Islam. Sekiranya seorang muslim meninggalkan solatnya, bererti tiangnya akan goyah. Aku tidak mahu tiangku goyah."


Akhirnya Tufail berhenti di tepi jalan dan mengangkat tayammum. Maria cuma memerhatikan sahaja tingkah laku Tufail. Dia sudah berjanji untuk mengawasi Tufail sepanjang lelaki itu bersolat. Maria memerhatikan semuanya bermula daripada takbiratul ihram sehingga Tufail duduk tahiyyat akhir dan memberi salam. Dia cuma mengingat kembali ajaran solat yang pernah disampaikan kepadanya dahulu, namun segalanya seakan-akan kabur. Tufail mendirikan solat jamak, iaitu menghimpunkan solat Maghrib dan solat Isyak sekali. Dengan kaedah ini, dia boleh menjimatkan masanya dan tidak perlu bersusah payah untuk mencari tempat lain bagi mendirikan solat Isyak. Setelah itu, Tufail menghidupkan obor dan mereka meneruskan perjalanan sehingga tiba di hadapan sebuah kebun buah-buahan.


"Kita perlu melalui kebun ini untuk ke Taman Kaktus Larangan. Aku sendiri belum pernah ke sana. Taman Kaktus Larangan berada di sebelah sana. Aku perlu mengingatkanmu, bahawa kebun ini ada penjaganya yang aneh, Pak Hiwari. Kita harus berhati-hati dengannya," jelas Maria.


"Kita? Kamu mahu ke sana sekali? Untuk apa?" Tufail mengerutkan dahinya.


"Aku harus memastikan kamu selamat. Kamu kan tidak pandai bertarung? Aku juga teringin mahu melihat kaktus tidak berduri itu dengan mataku sendiri," Maria tersenyum sehingga mampu menggoyahkan jiwa mana-mana lelaki yang memandangnya pada saat itu. "Terpulang," Tufail berbasa-basi sambil mengikat untanya di luar.


Kawasan di situ sangat gelap sehingga obor yang dipegang oleh Tufail pun tidak dapat banyak membantu. Tufail cuba memerhatikan keadaan sekeliling. Seperti yang dikatakan Maria, terdapat sebuah kebun buah-buahan yang sangat luas di hadapan mereka. Tufail sudah tidak mahu membazir masa kerana musim bunga akan tiba dalam masa yang terdekat. Kakinya perlahan-lahan melangkah ke dalam kebun itu. Maria membuntutinya.


Tiba-tiba, mereka berdua disergah oleh Pak Hiwari, penjaga kebun itu seperti yang dijangkakan. "Tidak terlalu pantas, anak-anak muda. Apa yang kalian inginkan terhadap kebunku ini, ha?" Pak Hiwari menyoal sambit menggigit buah dalama yang dipegangnya.


"Maaf pak, kami sekadar ingin melalui kebunmu ini, untuk pergi ke Taman Larangan Kaktus. Kami tidak berniat jahat," terang Tufail. Matanya masih cuba memproses wajah Pak Hiwari yang mempunyai rambut panjang. Setelah lama diamati, ternyata Pak Hiwari juga seorang yang buta. Tufail jadi hairan. Bagaimana seorang lelaki yang buta mampu mengesan kehadiran mereka?Pak Hiwari menelan buah dalamanya sehingga habis. "Tidak ada satu orang pun yang boleh melalui kebunku sebelum menjawab pertanyaan keramatku ini. Seandainya salah satu daripada kalian mampu menjawabnya dengan tepat, maka aku akan mengizinkan kalian untuk meneruskan perjalanan. Sekiranya tidak, pulang sahajalah. Lagipula, aku yakin Tuan Zeiger sedang mencarimu, Maria."


"Bagaimana kamu boleh mengetahui nama sahabatku ini?" soal Tufail aneh. Apa pula hubungan Tuan Zeiger dan Maria? Maria terkejut apabila identitinya dikesan oleh Pak Hiwari hanya melalui suaranya, padahal baru sekali dia pernah ke situ sebelumnya untuk mengikuti ayahnya membeli buah-buahan. "Err, tidak usah kamu fikirkan tentang itu, Tufail. Lebih baik kita dengarkan soalan Pak Hiwari terlebih dahulu," Maria memberi cadangan untuk mengelakkan Tufail mengesyaki sesuatu. "Apakah kalian orang Islam?" soal Pak Hiwari terlebih dahulu. Dia tidak mahu ada penganut Islam yang melalui kebunnnya. Mendengarkan pertanyaan itu, Maria serta merta menjawab untuk melindungi Tufail. "Tidak pak, saya Mulhid." Mendengar pernyataan itu, Pak Hiwari mengangguk kecil. Tufail menambah, "Adakah sekarang kami boleh melalui kebun kamu?"

Kaktus Tidak BerduriWhere stories live. Discover now