"Kembalikan wang milikku!" Tufail tidak berpuas hati. Jika diikutkan hati, sudah lama dia menyerang lelaki itu dan mengerjakannya dengan pedangnya. Lelaki itu mengoyakkan kantung yang dirampasnya dan mula mengira jumlah wang yang dirampasnya.
"Kamu kelihatan seperti anak orang kenamaan. Buat apa tujuanmu ke mari? Adakah kamu orang Islam?" Lelaki itu menyoalnya. Tufail teragak-agak mahu menjawabnya.
"Aku mahu berjumpa dengan ketua kamu. Aku ada urusan dengannya," Tufail terpaksa berbohong untuk menyelamatkan dirinya.
"Tuan Zeiger tidak pun memaklumkan kedatanganmu ke mari. Adakah kamu penganut Islam?" Kali ini intonasi suara lelaki itu lebih serius. Bila-bila masa sahaja dia boleh memukul Tufail. Tufail memandang sekeliling, seolah-olah semua mata yang berada di pasar itu sedang memerhatikan dirinya.
"Aku..."
"Berhenti!" Entah dari mana, seorang wanita cantik yang memakai tudung sambil membawa pedang di tangannya muncul sekaligus memotong jawapan Tufail. Tufail menarik sedikit nafas lega, namun nasibnya masih tidak menentu pada saat itu. Tufail melihat lelaki yang merampas wangnya itu bertentangan mata dengan wanita itu. Pada ketika itu, peniaga-peniaga di pasar kembali menjual seolah-olah tidak ada apa yang terjadi. Mereka kelihatannya seperti takut pada wanita muda itu.
"Pergi." Dengan sekali arahan, lelaki itu bergerak pergi meninggalkan Tufail, tetapi tidak memulangkan wangnya. Tufail masih terkeliru dengan apa yang sedang terjadi. Dia mengucapkan syukur di dalam hati. Tufail sedar, dia tidak boleh bertindak melulu dan mencuri tumpuan ramai. Lebih bagus untuk dia menyamar sebagai orang biasa yang tidak handal bertarung. Wanita itu tiba-tiba menghunuskan pedangnya tepat di hadapan padang hidung putera raja itu, membuatkan Tufail menelan liur. "Kamu, ikut aku."
Tufail mengikuti jejak langkah wanita itu dari belakang. Pelbagai persoalan datang menerpa mindanya namun dia masih belum memikirkan sebarang percaturan.
"Terima kasih, puan?" Mendengar sahaja kata-kata Tufail itu, sekali lagi wanita itu menoleh dan menghunuskan pedangnya ke arah Tufail. "Aku belum berkahwin. Berapa umurmu?"
"Dua puluh lima," jawab Tufail tanpa berselindung.
Wanita itu tertawa kecil. "Bahkan aku muda setahun daripadamu. Mengapa kamu memanggilku puan?"
"Justeru apa gelaran yang harus kuberikan padamu?"
"Maria." Wanita itu terus berjalan sehingga membawa Tufail dan untanya melalui jalan yang tidak banyak orang seperti di pasar tadi.
"Baiklah Maria. Beginilah, aku langsung tidak tahu apa-apa tentang kawasan ini. Aku seorang musafir yang datang dari kawasan yang sangat jauh dari sini. Kenapa orang di sini bersifat aneh sekali? Adakah kamu ini seorang Islam?" Tufail tidak dapat menyembunyikan persoalan yang bermain-main dalam hatinya. Mungkin dia boleh mempercayai Maria, wanita yang telah menyelamatkannya itu.
"Jangan sebut perkataan itu di sini," Maria memperlahankan suaranya.
"Perkataan Islam?" Tufail menyoal lagi. Dia dapat melihat Maria mengangguk meskipun wanita itu memakai tudung.
"Apa tujuanmu ke mari?" soal Maria dan memberhentikan langkahnya setelah diyakini tidak ada orang di kawasan itu. "Aku.. aku ingin bertemu ketua kaum kalian," Tufail cuba mereka cerita."Kamu tidak perlu membohongiku. Biar aku jelaskan, aku sudah perhatikan semua yang terjadi di antara kamu dan penjual-penjual wanita di pasar tadi. Saat si Silvia cuba memegang tanganmu, kamu menariknya dengan pantas. Jarang ada Mulhid yang akan menolak pelawaan seorang wanita, meskipun kamu bukan berasal dari sini," Maria menentang mata Tufail. Tufail melarikan kedua-dua anak matanya.
"Mulhid?"
"Nampaknya kamu bukan seorang mulhid. Berterus terang denganku, aku tidak akan membunuhmu. Sekarang beritahu aku, adakah kamu seorang Islam ataupun agama lain?" Maria cuma mendapat kepastian. Tufail berasa kedudukannya sedang terancam. Namun, Maria sudah menyelamatkannya daripada orang ramai dan wanita itu kelihatan seperti baik.
"Aku... aku Islam," perlahan Tufail mengakui. Cuma Maria harapannya saat itu. Maria membulatkan kedua-dua biji matanya.
"Apakah hal yang begitu penting sehingga menyebabkan seorang penganut Islam ke mari? Seandainya aku tidak menghalang lelaki tadi, kamu pasti sudah dibunuhnya. Di sini bukan tempatmu!" Kali ini Maria seolah-olah marah dan cuba menghalau Tufail.
"Begini, Maria. Pada saat ini, aku telah meletakkan kepercayaanku kepadamu kerana kamu telah menyelamatkan nyawaku. Aku sangat berharap kamu boleh membantuku. Aku ke sini untuk mendapatkan kaktus tidak berduri yang dijaga oleh kaummu, untuk mengubati ibuku yang jatuh sakit akibat diracuni orang. Aku sudah tidak ada pilihan lain," jelas Tufail sambil memerhatikan debu-debu pepasir yang melekat pada kasutnya yang sedang bergerak.
"Siapa namamu?""Tufail."
YOU ARE READING
Kaktus Tidak Berduri
Short Story"Masih mempersoalkan nikmat Tuhan yang telah diberikan kepadamu, wahai anak muda?" satu suara yang cukup dikenali oleh Tufail kedengaran dari belakang. Tufail bangun dan berpusing 90 darjah. Kali ini, matanya bertembung dengan anak mata tua seorang...